Dec 17, 2006

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah - Memoir Said Zahari


Tersentuh hati bila membaca ruangan dedikasi dalam buku kedua Pak Said, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah, Memoir Said Zahari,

"Kepada semua tahanan politik dan keluarga tapol dahulu dan sekarang. Yakinlah perjuangan dan pengorbanan kita para tapol tidak sia-sia walaupun hasilnya tidak kita kecapi.
Sebelum kita, di seluruh dunia sudah tampil bahkan ribuan mereka yang berani dan gigih berjuang, berkorban lebih hebat daripada kita tanpa meraih hasil, tanpa meminta penghargaan.
Perjuangan untuk kebebasan, kebenaran dan keadilan untuk insan dan kemanusiaan akan berterusan hingga ke akhir zaman. Individu mungkin kalah, tetapi kebenaran akan menang!
"

Ini baru bahagian dedikasi dah tersentuh hati, tapi memang tak boleh nak dinafikan, membaca buku Memoir pertama Pak Said, Meniti Lautan Gelora sudah cukup untuk ku kagumi kekentalan dan pengorbanan Pak Said.

17 tahun ditahan tanpa bicara oleh rejim Lee Kuan Yew, dipisahkan daripada isteri dan anak-anak. Kerana apa? Cuma untuk mempertahankan keimanan politiknya dan daya ketahanan untuk tidak tunduk kepada kehendak pemerintah yang zalim.

Ini mengingatkan kisah Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara oleh pemerintah Khalifah Al-Makmun. Bukan saja dipenjara, bahkan dipukul hingga cuba diaibkan kehormatannya bila mana pukulan dan seksaan di dalam penjara hampir melucutkan pakaian yang menutup auratnya. Keimanannya teguh, keyakinannya tinggi hingga tak mampu digugat oleh apa sekalipun.

Insya-Allah akan dicuba untuk concentrate habiskan buku ni dalam masa terdekat, walaupun duk baca buku Habiburrahman el-Shirazy, Ayat-ayat Cinta, pun menarik juga. Apa pun, tribute untuk Pak Said Zahari....

Jul 19, 2006

Ekspedisi Dakwah ke Pulau Ketam

9 Julai 2006 - Satu ekspedisi dakwah ke Pulau Ketam dan Sungai Lima di Kelang dianjurkan secara bersama oleh beberapa NGO Kebajikan Islam, lead by Yayasan Amal Malaysia. Hari tu dengan Nadiah, Ustaz Riduan dan Ustaz Toliban, kami membawa nama Muslimcare sebagai sukarelawan ekspedisi sehari tu.

Jumlah sukarelawan semua lebih kurang 300 orang dipecahkan kepada 2 kumpulan. Satu ke Pulau Ketam dan satu lagi ke Sungai Lima, kami pula masuk grup ke Sungai Lima. Perjalanan naik bot makan masa lebih kurang sejam untuk sampai ke destinasi.

Aktivitinya ialah khidmat pemeriksaan kesihatan di dewan utama Sungai Lima, kami pula bergerak dari rumah ke rumah untuk berjumpa penduduk, beramah mesra di samping memberi sedikit bantuan.

Selesai aktiviti di Sungai Lima lebih kurang jam 1 tengah hari, kami bergerak ke Pulau Ketam pula untuk join grup kedua yang lebih besar di sana. Disebabkan tenaga sukarelawan yang dah banyak, kami pun singgah sebentar saja dan terus kembali ke Jeti di Southport, naik bot laju ni 30 minit saja.

Signifikannya Pulau Ketam ni dalam operasi dakwah ialah sebab Pulau Ketam ni majoritinya adalah penduduk bangsa Cina, tapi terdapat ramai yang memeluk Islam. Yang menjadi isunya ialah mereka ini tidak mendapat perhatian sewajarnya untuk mendalami dan menghayati ajaran Islam sebenar. Maka banyaklah kes-kes murtad berlaku di sini, jika tidak murtad pun, mereka tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Menjadi tanggungjawab kita lah untuk mengambil berat dan memberi sumbangan sedaya yang mampu untuk saudara-saudara seIslam kita ini.

Insya-Allah, Pulau Ketam bakal menjadi destinasi dakwah utama yang seterusnya.....

Apr 22, 2006

Mimpi perjuangan terus bersemarak walau tubuh terpenjara

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net

emasa saya dalam 'mode' dan 'gear' untuk mendedahkan pembohongan kerajaan Umno-BN dan SB-SB yang menyoal siasat saya, saya dapat rasanya getaran dan gelombang yang amat tinggi pada jasad fizikal saya.

Pada ketika itu dengan menggunakan kuasa minda saya, saya dapat mengarahkan tasbih yang saya pegang di tangan kanan saya untuk berpusing-pusing dalam bulatan di atas tapak tangan kiri saya.

Lebih kuat saya arahkan tasbih tersebut berpusing, semakin laju ia berpusing. Sebaik sahaja saya arahkan ia berhenti, tasbih itu akan berhenti. Bukanlah saya seorang jedi dalam filem Star Wars, tetapi apa yang berlaku itu memang dapat dijelaskan secara saintifik mahupun secara spiritual.

Tanpa berada dalam penjara pun saya percaya seseorang itu boleh melakukan apa yang telah saya lakukan. Cubalah! Hanya bezanya, mungkin tahap kepekaan dan kekuatannya lebih tinggi bagi mereka yang berazam menentang kezaliman semasa dalam penjara!!

Malam-malam di Kem Kamunting saya tidur penuh dengan mimpi yang indah. Mimpi-mimpi perjuangan!

Semua mimpi tersebut saya catatkan dalam buku nota. Semasa saya meninggalkan Kem Kamunting, saya membawa keluar bersama saya lima buah buku catatan mimpi-mimpi saya sepanjang berada di sana.

Setiap hari di Kem Kamunting saya menamatkan satu hingga dua juzu tilawah Al-Quran. Setiap malam sebelum tidur, saya pastikan yang saya sudah membaca surah-surah Ya Sin, Al-Mulk, Al-Waqi'ah. As-Sajdah dan Ad-Dukhan. Saya akan tambah dengan membaca Surah Al-Kahfi setiap malam Jumaat.

Selepas membaca doa tidur saya akan mengenang kisah Nabi Yusuf seperti yang terkandung dalam Surah Yusuf dan berharap Allah memberi isyarat-isyarat kemenangan bagi saya ke atas golongan yang zalim.

Mimpi-mimpi saya sepanjang di Kem Kamunting memberi kesegaran kepada jiwa saya. Ia menyuntik kekuatan kepada saya. Tarbiyyah yang telah saya lalui mengajar saya mimpi soleh itu adalah satu dari empat puluh enam bahagian daripada nubuwwah!

Surah Yusuf memperihalkan mimpi Nabi Yaaqub, mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara.

Setiap mimpi ada maqamnya menurut kedudukan dan kemuliaan orang yang bermimpi. Saya turut memohon kepada Allah memberi isyarat-isyarat kepada saya bagi kemenangan Islam dan kebenaran di atas kebatilan dan pembohongan.

Saya menanti-nanti isyarat daripada Allah dalam mimpi saya agar satu hari nanti akan runtuhnya kerajaan Umno-BN hasil perjuangan rakyat menegakkan Islam dan kebenaran.

Harinya pasti tiba, bi iznillah!

Bila saya mula menulis dan mendedahkan pembohongan Umno-BN, saya merasakan perkara itu satu kesempatan yang amat berharga. Bahkan ia lebih berharga daripada kesempatan untuk mempercepatkan pembebasan diri saya sendiri.

Gelombang daya ingatan saya tiba-tiba melonjak. Saya tidak tahu bagaimana semua yang telah saya serap sepanjang tempoh soal-siasat, satu persatu boleh muncul secara terperinci dalam ingatan saya. Ingatan itu terus mengalir melalui pena untuk dituliskan ke atas kertas!

Pada peringkat itu, empat belas hingga enam belas jam dalam sehari saya mampu menulis. Itu pun hanya dengan menggunakan pena! Tidak pernah saya menulis sebanyak itu tanpa menggunakan komputer.

Satu persatu pembohongan kerajaan Umno-BN, Ketua Pengarah SB, Dato' Yusuf Abdul Rahman dan SB-SB yang menyoal siasat saya muncul dalam ingatan saya.

Pada satu hari sebuah buku kecil berwarna hitam diterima oleh Ezam dalam lawatan keluarganya ke Kem Kamunting. Saya terus meminjam dan membacanya.

Masya' Allah, getaran gelombang yang sama!

Pada ketika saya menulis di Kem Kamunting, ada seorang pejuang rakyat yang saya tidak kenali juga mempunyai perasaan yang sama seperti saya.

Bezanya beliau menulis puisi yang indah.

Puisi itu berjodol "Bertanya Sarjan Pada Kopral". Penulisnya hanya dicatat sebagai Sarjan Tua.

Bahagian kemuncak puisi tersebut berbunyi:

........

Tapi kini Kopral

apa rakyat menggelar kita?

apa rakyat panggil kita?

aku bagai tak percaya

Anjing-anjing layaknya kita

Israel dibangsakan kita

Bab-babi diumpamakan kita

Setan dinisbahkan perangai kita

Polis Mossad diserupakan kita

Polis Savak disamakan kita

Yahudi dikatakan keturunan kita

tak terasakah hinanya kita

bila...

Polis SB orang bilang Siput Babi si Laknat

Polis FRU orang kata Kepala Merah Hati Batu

Polis PPH disebut Pasukan Polis Hantu

Polis Trafik adalah sikit baik

Walaupun mereka kata Pacak Ifrit.

Kau tahu Kopral?

ketika anakmu di sekolah

dia diejek teman sedarjah

dia dipandang endah tak endah

kerana teman sekolahnya semua marah

setelah heboh satu sekolah

cerita polis membelasah

hatta wanita tua yang tak bersalah

dipukul jua cucunya sampai berdarah-darah

ketika pulang dari membeli belah

ketika melintasi Jalan TAR yang dah basah.

Cota dan rotan tiba-tiba singgah

di kepala, di badan dan terus rebah

bukan kerana merusuh atau buat salah

tapi Polis dah borong semua salah

itulah cerita yang tersebar di seluruh lembah

bumi Kuala Lumpur digenangi darah

rakyat lemah yang enggan menyerah

kepada kezaliman pemerintah

meskipun hadapi polis yang serba salah

kau tahu....

kawan-kawannya menjuih mulut padanya

mereka membisik sesama menghina dirinya

mereka menjauhi bila dia didekati mereka

kerana mereka tahu secara nyata

bapa kepada anakmu itu

atau kawan kepada bapa anakmu itu

terlibat memukul ibu bapa rakannya

sehingga seminggu berdarahnya

sehingga terganggu pendapatannya.

Kau tahu Kopral?

bila isterimu ke tempat kerja

temannya menyendiri tak mau bicara

bila didekati mereka tiada bersuara

mereka mengesyaki sesuatu darinya

kerana mereka menyangka

isteri polis mana-mana jua

tak dapat menyimpan rahsia

takut keluarga mereka teraniaya

selepas diketahui apa-apa cerita.

Tak sakit jiwakah anak kita

tak menderitakah isteri kita

tak terasa malukah diri kita

sampai bila hidup begini kita

menjadi asing di dalam keluarga?

Patutkah Kopral?

kita terus hidup bermuslihat

bersubahat dengan pemerintah jahat

disuruh berkasar umpama penjahat

meskipun ada polis tali barut

yang tiada hati perut

bekerja jadi pak turut

semata bermatlamat mengisi perut

adakah patut?

rambut wanita ditarik-tarik

wanita mengandung ditolak diterajang

muka yang licin disiku ditampar

kepala bertopi dipukul cota

orang berjalan disimbah asid

orang bersolat dilempar gas

orang makan disergah, disuruh pindah

kereta parking diketuk cerminnya

yang berlari dikejarnya

yang berjalan dihalaunya

yang duduk dipijaknya?

Apa bukan orangkah kau Kopral?

beginikah cara kita mencari makan?

meminta ganjaran upah membelasah?

Kau tahu Kopral?

bapamu di kampung kepalang malu

ke surau tiada lagi dia mahu

kenduri jiran pun berat selalu

kalau mati pun mungkin tiada siapa tahu.

Kau tahu Kopral?

wang yang kau bawa pulang

untuk susu anakmu

untuk roti isterimu

untuk nasi keluargamu

malah ada belanja haji bapamu,

wang itu Kopral....

adalah upah memukul kepala

ibu saudaramu yang tak berdosa

adalah upah menitiskan darah

anak muda yang mencari benar

adalah upah memusnahkan harta

insan-insan lemah yang takut bersuara

adalah upah menghenyak pak tua

yang bertongkat berpapah

adalah upah memedihkan mata

mereka yang selama ini terseksa.

Wang itu Kopral...

adalah upah

dari seorang memanda

dari seorang mamak bendahara

dari seorang maharaja

dari seorang dewa

yang ingin menjaga hartanya

yang ingin mempertahan singgahsananya

yang ingin menyusui wanitanya

yang ingin menyelamatkan cucunya

tergamak kamu mengambil upah darinya

tergamak kau menelan nasi yang diberinya!


Kau tahu Kopral?

tak akan senang hidupmu

kalau rakyat membenci dirimu

tak akan sejahtera hidupmu

kalau rakyat pandang serong padamu

tak akan bahagia masa tuamu

kalau kau sendiri memusuhi rakyatmu

tak akan selamat rohmu nanti

kalau rakyat berdoa sepenuh hati

minta dibinasakan mereka yang membenci

membenci perjuangan yang murni.

kerana Allah berjanji

doa yang dizalimi

tiada hijab lagi

antara Yang Esa dan yang mohon simpati

pasti termakbul segala yang dihajati

amat benar janji Ilahi

*Kampung Melayu Kepong - Depok

Puisi ini terkandung dalam koleksi antologi puisi "Dari Derita Bangsa" yang diselenggerakan oleh Osman Awang dan Dino S.S.

Semasa saya membaca puisi ini, Osman Awang atau Tongkat Warrant sudah pun tiada di dunia ini. Dia telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Dulu Osman Awang bangga dengan tugasnya sebagai sebagai seorang polis pegawai warrant kelas satu. Beliau ke sana sini mengepit sebatang tongkat. Lantas, sebagai seorang penulis Osman Awang memilih nama pena, Tongkat Warrant!

Tetapi....

Semasa saya dalam Kem Kamunting saya ada membaca keluhan hati Osman Awang yang anehnya telah disiarkan dalam sebuah akhbar kerajaan Umno-BN. Ruangan tersebut sebagai mengenang pemergiannya.

Tongkat Warrant malu dan kecewa dengan pasukan polis yang ada pada detik-detik beliau menghembus nafasnya yang terakhir.

Saya rasa Sarjan Tua yang menulis puisi di atas adalah Tongkat Warrant sendiri. Ya, besar kemungkinan Sarjan Tua adalah Osman Awang, Sasterawan Negara dan Seniman Agung yang disayangi.

Saya kemukakan puisi di atas kepada Lembaga Penasihat Kem Kamunting dalam representasi saya. Saya percaya mereka baca puisi ini. Mereka mungkin bersetuju dengan Osman Awang perihal betapa hapraknya polis sekarang!.

Mengenang hebatnya persamaan getaran hati antara saya di Kem Kamunting dengan Sarjan Tua, maka saya muatkan seluruh puisi yang panjang itu dalam buku saya yang ketiga, Suara Dari Kamunting 3.

Bagi merakamkan ucapan terima kasih saya kepada penyelenggara buku antologi puisi tersebut, saya meminta anak saya, Anfal untuk menghubungi Dino S.S melalui nombor telefon yang tercatat di kulit buku tersebut.

Ternyata nombor dan alamat yang tercatat dalam buku tersebut hanya nombor dan alamat samaran dan palsu.

Demikianlah hebatnya, negaraku Malaysia, hinggakan untuk menulis puisi kebenaran pun seorang seniman agung terpaksa menyembunyikan identiti dan lokasinya.

Apa yang pasti, jika tidak.... para SB-SB yang b**g**t itu akan datang menyerang dan menggeledah lokasi tersebut!

Apr 16, 2006

Antara mahu cepat bebas dan mahu kekal di Kemunting

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net

inggal dalam penjara memberi ruang masa yang luas untuk membaca, berfikir, merenung dan menulis.

Kehalusan jiwa dapat dirasai ketika berada dalam penjara. Jiwa menjadi sensitif dan prihatin tentang peristiwa dan kejadian serta tabiat dan perangai manusia.

Ada kalanya masa berjalan terlalu perlahan di penjara. Ada ketikanya pula, masa berlalu sangat pantas.

Semuanya dalam minda dan perasaan.

Pada hari-hari awal saya di Kem Kamunting, saya rasakan deritanya hidup dimamah masa yang berjalan terlalu perlahan.

Namun, apabila saya mula menulis, menulis, menerbit dan menerbit, saya menjadi khuatir kalau-kalau saya dibebaskan terlalu cepat sehingga buku saya seterusnya tidak sempat diterbitkan tetapi saya sudah pun dibebaskan!

Aneh? Ya memang aneh.

Sehinggakan anak-anak saya yang sering menziarahi saya di Kem Kamunting menjadi keliru mana satu yang saya mahu. Terbit buku atau bebas?

Dalam lawatan-lawatan tersebut, mereka sedar bahawa saya lebih bercakap tentang bila buku-buku saya akan diterbitkan. Saya amat kurang bercakap tentang pembebasan.

Saya juga hairan kenapa perasaan tersebut muncul dalam diri saya. Saya mahukan buku-buku saya terbit semasa saya masih lagi ditahan dalam Kem Kamunting. Saya lambat dibebaskan pun tidak mengapa asalkan buku-buku tersebut diterbitkan terlebih dahulu.

Tidak tahu saya daripada mana sumbernya perasaan tersebut? Apa yang saya pasti saya mendapat kekuatan dengan berperasaan seperti itu pada ketika itu.

Semasa di penjara juga saya merenung sifat golongan yang terlibat memenjarakan saya serta memisahkan saya daripada isteri, anak-anak dan keluarga saya. Mereka adalah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, pegawai-pegawai kanan KDN dan SB-SB Bukit Aman.

Tarbiyyah dari penjara menyedarkan saya bahawa golongan ini amat rakus kepada kuasa. Saya sedar bahawa orang yang rakuskan kuasa sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kuasa mereka.

Always distrust people in power.

Sebelum itu pun saya sering mengungkapkan kepada rakan-rakan saya: "Always distrust people in power, including yourself. Always distrust people with wealth, especially yourself"

Maxim ini juga saya jadikan panduan dan tarbiyyah bagi diri saya. Saya mesti mencurigai diri saya sendiri jika saya memiliki kuasa dan kekayaan. Ubat penyakit rakus kuasa dan bermewah dengan harta adalah taqwa, taqarrub ilallah dan zuhud.

Antara doa saya yang berterusan kepada Allah adalah agar saya tidak dihanyutkan oleh harta benda dunia. Sebaliknya berilah kekuatan kepada saya, jika dianugerahkan dengan kesenangan dunia untuk menggunakannya di jalan kebenaran dan keadilan bagi menegakkan Islam.

Penjara juga mentarbiyyahkan saya bahawa di sana terdapat orang yang sanggup menjadi seb**g**t-b**g**t manusia kerana jawatan, pangkat dan laba serta kemewahan dunia.

Terdapat orang yang hidup hina kerana menggadai akhirat demi dunianya. Bahkan ada yang lebih hina lagi kerana menggadai akhiratnya demi dunia orang lain.

Mereka ini terdiri daripada pegawai-pegawai KDN, beberapa orang ahli Lembaga Penasihat, pegawai-pegawai Kem Kamunting dan terutamanya SB-SB Bukit Aman.

Kerana mahukan sangat untuk terus berpaut kepada jawatan sebagai penolong pengarah dan sebagainya di KDN, mereka sanggup menurunkan tandatangan mereka bagi pihak Menteri Dalam Negeri dengan kata-kata seperti:

"Dengan dukacitanya dimaklumkan, rayuan saudara ditolak. Dengan ini penahanan saudara di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting adalah diteruskan".

Saya menerima surat seperti itu berkali-kali sepanjang saya berada di Kem Kamunting. Sedangkan, sekali pun saya tidak pernah memohon apatah lagi merayu kepada mereka untuk dibebaskan.

Di hadapan mereka saya tegaskan bahawa penahanan saya adalah tidak sah dan kerajaan Umno-BN mesti meminta maaf kepada saya dan isteri serta anak-anak saya.

Pegawai-pegawai tinggi KDN ini juga tergamak menurunkan tandatangan mereka di atas surat yang ditujukan kepada isteri tahanan:

"Penahanan suami puan perlu diteruskan kerana beliau masih perlu menjalani program-program pemulihan di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting"

Begitulah b**g**tnya mereka ini!

Beberapa orang ahli Lembaga Penasihat Kem Kamunting pula sanggup menyembunyikan kebenaran walaupun mereka penuh sedar bahawa orang-orang yang ditahan di bawah ISA itu memang benar-benar dianiaya. Mereka sedar bahawa penahanan ISA adalah satu pembohongan kerajaan Umno-BN, tetapi mereka tetap pertahankan tindakan kerajaan Umno-BN.

Kenapa?

Kerana jawatan!

Pengerusi Lembaga Penasihat dilantik di kalangan orang yang pernah menjadi hakim. Ada kalanya mereka mencapai apa yang diidamkan semasa dalam profesion tersebut. Namun, terdapat juga di kalangan mereka yang belum sempat mengecapi status itu. Tiba-tiba sudah pencen. Melepas!

Status pengerusi Lembaga Penasihat adalah sama seperti status seorang hakim mahkamah tinggi. Sungguh berprestij! Banyak imbuhan dan kemudahan. Kereta Volvo. Elaun bungalo. Gred gaji setaraf hakim mahkamah tinggi, glamour!

Itu mesti dikejar!. Dipertahan!. Persetankan penderitaan tahanan yang dianiaya. Apa aku peduli pembohongan kerajaan Umno-BN. Aku mesti dapatkan habuan aku!

Tarbiyyah dari penjara juga menyedarkan saya bahawa perbuatan berbohong, berdusta, memfitnah, bermuka-muka, berdolak-dalik dan mengabaikan kehidupan akhirat adalah sifat-sifat utama para penjilat bagi golongan yang rakuskan kuasa.

Sifat-sifat buruk ini mendarah daging kepada SB-SB Bukit Aman. Anak pinak mereka dibesarkan dengan gaji rasmi dan gaji gelap kerana perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini.

Jika saya perihalkan tingkahlaku, perangai dan kelakuan mereka sepanjang soal-siasat yang saya lalui, pasti ianya memualkan.

Bukan SBlah kalau dia bukan seorang pembohong dan pendusta!

Syarat wajib untuk sah jadi SB adalah dia mesti seorang yang kuat berbohong!

Menyedari penahanan ISA adalah satu pengalaman berdepan dengan berbagai bentuk kerakusan, kepura-puraan dan pembohonganlah yang menjadikan saya berazam mendedahkan tembelang mereka.

Saya tidak boleh menjadi macam mereka. Saya tidak serupa dengan mereka. Saya boleh berpura-pura. Untuk apa? Untuk bebas? Tidak!

Kemuliaan adalah dengan berpegang teguh dengan sifat yang bersih daripada kepura-puraan dan pembohongan.

Berjuang dari penjara mentarbiyyah saya untuk yakin bahawa bertahan menegakkan hak dan kebenaran adalah lebih mulia daripada mendapatkan kebebasan kerana berpura-pura.

Lembaga Penasihat dan SB-SB yang hidup dalam kepura-puraan, mahukan tahanan ISA juga menjadi seperti mereka. Mereka mahu tahanan mengaku bersalah, menyesal, insaf serta berazam tidak mahu lagi menentang kerajaan Umno-BN.

Boleh! Apa tidak bolehnya berpura-pura.

Katakan saja apa yang dimahukan oleh Lembaga Penasihat dan SB. Puji, bodek dan junjung Umno-BN. Kutuk PAS, Keji KeADILan. Kecam Reformasi. Hina negara Islam. Selepas itu bisikkan dalam hati bahawa semua itu di bibir sahaja tetapi tidak di hati.

Apakah itu membantu? Boleh bebas?

Tidak!

Bebas atau tidak bebas dari Kem Kamunting bukan kerana seseorang tahanan itu akur kepada kata-kata Lembaga Penasihat atau SB.

Bebas atau tidak bebas semata-mata bergantung kepada sejauh mana Menteri Dalam Negeri tertekan dan ditekan!

Ingat!

Persoalan bebas atau tidak bebas dari Kem Kamunting adalah persoalan bagaimana menjadikan Menteri Dalam Negeri tertekan dan ditekan. Itu saja!

Saya sedar bahawa saya ditahan di Kem Kamunting kerana politik. Penahanan saya adalah satu keputusan politik. Satu tindakan politik. Satu langkah politik. Oleh itu, jika saya dibebaskan juga ianya adalah disebabkan oleh keputusan politik.

Mahathir boleh bertahan dengan tekanan. Tapi, sampai bila?

"Mahazalim!"

"Maha Firaun!"

"Shit PM@P*k*M*k"

"Undur Mahathir undur!"

"Zalim!"

"Kejam!"

"Diktator!"

Tarbiyyah di penjara mengajar saya bahawa saya boleh memohon kepada Allah melalui doa dan solat hajat untuk dibebaskan. Tetapi saya juga tahu bahawa Allah mahu saya berjuang untuk mendapat kebebasan tersebut.

Saya mesti tahu apa yang orang politik tidak suka. Tidak tahan. Tidak sanggup hadapi dan akhirnya tunduk.

Jawapannya?. Tekanan!

Ya saya mesti terus menerus menjalankan tekanan politik terhadap Mahathir dan Abdullah Badawi.

Dalam masa yang sama terus-menerus juga perb**g**tkan SB-SB yang menjadi penjilat kepada Mahathir dan Abdullah Badawi.

Rupa-rupanya berada dalam 'mode' dan 'gear' seperti itu menjadikan jiwa dan perasaan saya melonjak-lonjak. Masa berlalu begitu pantas. Terlalu banyak benda yang hendak dibuat. Masa sangat singkat di Kem Kamunting! Tak cukup masa!

Tarbiyyah yang paling memberi sakinah kepada jiwa saya adalah perasaan izzah yang timbul dalam jiwa apabila saya berjuang untuk mendedahkan kezaliman dan kebatilan kerajaan Umno-BN pimpinan Mahathir.

Saya dapat benar-benar merasakan manisnya menjalankan tuntutan amar makruf dan nahi munkar dalam skop saya menentang ISA dan mendedahkan pembohongan kerajaan Umno-BN sepanjang saya berada di Kem Kamunting.

Paling istimewa adalah perasaan saya bahawa menentang kezaliman itu manis, tetapi menentang kezaliman ketika diri saya sendiri sedang dizalimi adalah lebih manis.

ISA: Kan ku londehkan semua kebejatannya

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net

erasaan yang paling gejolak dalam sanubari ketika saya ditahan di bawah ISA adalah takut dan berharap. Sebagai insan biasa, takut bererti merasa gerun jika saya terus dipenjara bertahun-tahun lamanya. Berharap pula bererti perasaan yang berterusan menanti-nanti saat dan ketika agar dibebaskan secepat mungkin.

Sebagai manusia kerdil, sudah pasti ingatan terhadap anak-anak, isteri dan bapa yang sudah tua membawa saya untuk sentiasa berharap bahawa penahanan saya tidak lama. Mungkin enam bulan. Mungkin tiga bulan!

Itulah perasaan yang bermain di lubuk hati saya.

Saya dan Ezam, rakan seblok tahanan saya, pada hari-hari pertama kami di Kem Kamunting tidak mahu bercakap banyak tentang masa depan kami. Masing-masing memendamkan perasaan. Mungkin Ezam juga tidak mahu dikurung lama.

Saya sembunyikan perasaan saya. Saya tidak membuka mulut tentang perkara tersebut. Tidak saya zahirkan saya bersedia ditahan lama. Tidak pula saya zahirkan yang saya mahu dibebaskan segera.

Jujur?

Apapun itulah perasaan saya ketika itu. Saya bukan wira. Saya pun tidak mahu jadi hero. Saya mahu..........bebas!

Pada minggu pertama saya di Kem Kamunting, tidak terlintas bahawa saya akan ditahan lebih dari satu tahun. Saya enggan memikirkan kemungkinan tersebut!

Terasa seram. Gerun. Meremang bulu roma!

Bagi saya mustahil penahanan kami akan berlangsung hingga satu tahun. Raja Petra dan Pak Din dibebaskan sebelum cukup 60 hari soal-siasat. Ghani dan Gobi pula dibebaskan oleh keputusan mahkamah. Kempen di luar begitu semarak. Isteri-isteri dan anak-anak turut menyumbang meningkatkan kempen untuk membebaskan kami.

Tekanan masyarakat dan badan-badan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa memuncak mengutuk penahanan kami. Tidak mungkin Mahathir dapat bertahan.

Dengan itu semua, mustahil saya akan ditahan sehingga satu tahun di Kem Kamunting. Paling lama enam bulan. Mungkin tiga bulan. Hati kecil saya memujuk diri saya bahawa mungkin seminggu dua lagi saya akan dibebaskan. Entah-entah esok ada SB datang dari Bukit Aman menyampaikan berita yang saya boleh balik!!!

Begitulah kerdilnya jiwa ini. Begitu daifnya perasan hati. Tinggi sekali kemahuan insan terhadap kebebasan.

Semasa disoal-siasat oleh SB, setelah berlalu 40 hari, perasaan saya mula menjadi cemas. Terdetik di hati: "Eh, aku akan ke Kamunting ke?".

Tetapi saya cuba menguatkan perasaan saya berkali-kali dengan berkata dalam hati " Tidak..tidak..tidak. Bebas..bebas..bebas". kata orang dalam bahasa Orang Puteh: "I was in the state of denial"

Doa dan permintaan saya kepada Allah adalah agar dibebaskan. Tidak dihantar ke Kem Kamunting.

Pada masa itu saya benar-benar merasakan saya diletakkan dalam satu terowong gelap yang tiada penghujungnya. Tiada cahaya kelihatan di hujung terowong. Oh, panjangnya terowong itu. Oh gelapnya, tiada sebarang petanda.

Sehari sebelum saya dihantar ke Kem Kamunting, saya membaca sepotong ayat Al-Quran.

Tersentak jiwa raga saya. Bagai nak tercabut jantung saya! Seolah-olah ayat tersebut ditujukan kepada saya. Bukan tidak pernah saya dengar ayat tersebut. Ayat itu sudah banyak kali saya dengar dalam program-program usrah dan tarbiyyah. Bahkan saya sendiri menyampaikan tazkirah beberapa kali berpandukan ayat tersebut!

Seolah-olah ada satu suara yang membisikkan kepada saya. Dihantar ke Kamunting adalah baik bagi kamu. Hanya kini kamu tidak sedar dan tidak nampak kebaikannya. Setelah kamu melaluinya, pasti ianya baik bagi kamu.

Bukan! Bukan! Bukan! Bukan untuk saya. Bukan ke Kamunting! Tidak ada baiknya merengkok di Kem Kamunting. Tidak ada baiknya dipisahkan daripada anak-anak dan isteri tercinta. Yang ada adalah penyiksaan. Pilu. Sedih. Sengsara!

Ayat itu adalah ayat 216, Surah Al-Baqarah yang mafhumnya : "....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"

Bagi mengukuhkah jiwa, saya membaca sirah sahabah. Saya menekuni kisah-kisah Mus'ab bin Umayr, Salim Maula Abi Hudhayfah, Nu'man bin Al-Muqarrin, Utbah bin Ghazwan, Zaid bin Al-Khattab, Khabbab bin Al-Arat, Al-Bara bin Malik Al-Ansari, Abbad bin Bishr dan lain-lain lagi.

Tiba-tiba perasaan saya tersentak. Tidak saya sedari air mata saya mengalir deras. Sederas denyutan nadi saya.

Seorang sahabah Rasulullah s.a.w telah ditawan oleh musuh. Beliau dihadapkan kepada para pemimpin musuh. Beliau diperintahkan untuk menghina Rasulullah s.a.w. Beliau enggan. Seorang pahlawan datang menetak sebelah tangannya dengan pedang tajam hingga putus.

Beliau diperintah lagi untuk menghina Rasulullah s.a.w. Sekali lagi beliau enggan. Sekali lagi juga tangannya yang sebelah lagi ditetak dengan pedang tajam. Putus dan kudung kedua-dua belah tangannya.

Beliau tetap bertahan. Teguh iman. Cekal pendirian!

Sekali lagi beliau diarahkan menghina Rasulullah s.a.w. Beliau tetap bertahan. Kali ini kakinya pula dipancung hingga putus. Maka ia jatuh dan terus dibunuh.

Syahid!

Membaca kisah ini terasa kerdil sangat diri saya. Saya hanya bergelut mahu dibebaskan sedangkan sahabah Rasulullah s.a.w bertahan dan tidak sedikit pun runsing walaupun bergelut antara hidup ataupun mati.

Saya merasa diri saya begitu kerdil kerana para sahabah diuji aqidah dan keimanan mereka. Sedangkan saya hanya disoal-siasat dan dipaksa oleh SB untuk meninggalkan komitmen dan kepercayaan politik saya.

Terasa begitu kerdil. Malu kepada Allah. Teresak-esak saya menangis dalam keheningan malam di Kem Kamunting.

Saya mengaku menjadi anggota gerakan Islam. Pernah menerajui gerakan Islam. Pernah melalui tarbiyyah dengan aneka jenisnya; usrah, tamrin, qiyamullail, iftar jama'i, rehlah, katibah dan mukhayyam. Tetapi inikah sifat seorang pejuang Islam? Beginikah kualiti seorang da'i?.

Saya insaf. Beristighfar kepada Allah. Terasa benar-benar malu kepada Allah. Apalah ertinya kebebasan jika bebas dengan segala kedhaifan dan kelesuan jiwa?

Saya mesti bangkit. Saya mesti lawan. Bangkit melawan. Bebas sebagai seorang yang melawan. Bukan bebas sebagai seorang yang tewas. Patah semangat. Berjiwa bacul!

Hari-hari seterusnya membuka ruang seluas-luasnya bagi tajdid diri saya. Saya bangkit dari terlalu berharap inginkan bebas tanpa melawan. Saya mesti memenuhi tuntutan tarbiyyah. Penjara adalah medan penting bagi tarbiyyah.

Beberapa hari kemudian saya dapati saya berada dalam satu perjuangan menentang kezaliman. Menentang pembohongan dan kebatilan. Senjata saya adalah pena dan kertas. Saya bongkar satu persatu. Saya dedahkan segala kepalsuan.

Meletup!

Afidavit kami meletup di seluruh dunia. Afidavit yang kami kemukakan bagi permohonan habeas corpus kami melondehkan pekong dan pembohongan kerajaan Umno-BN serta kebobrokan dan tembelang SB.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Anum telah mengecam Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai yang telah memalukan kerajaan.

Memang! kerajaan Umno-BN memang tidak tahu malu!

Saya terus menulis dan menulis. Bila dua buah buku saya "Suara dari Kamunting 1 & 2" terbit hanya selepas lima bulan saya berada di Kem Kamunting, sedarlah saya:

Sadaqallahul 'Azim.

Allah itu benar. Benar! Benar! Benar!

"....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya" (Al-Baqarah:216)

Ketika itu tidak dalam rancangan saya untuk terus menerbit. Rupa-rupannya sepuluh buah lagi buku menyusul selepas itu.

Dengan izin Allah, saya adalah tahanan ISA pertama di negara ini yang telah menulis dan menerbitkan 8 buah buku dan menyunting dan seterusnya menerbitkan 4 buah buku semasa masih lagi ditahan di Kem Kamunting.

Saya ditahan di Kem Kamunting kurang dua jam setengah genap dua tahun!

Dua tahun yang amat berbaloi!.

Allahu Akbar!

ISA mengajar erti demokrasi

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net



emasa dalam tahanan ISA fikiran saya sering melayang jauh. Pelbagai penjuru kehidupan yang telah saya lalui menjelma semula di benak saya. Imbauan tersebut seolah-olah mengisi saat-saat sepi dalam sel ISA yang penuh misteri.

Sejak zaman pelajar di seberang laut pada tahun 70an lagi saya kurang percaya kepada sistem demokrasi di Malaysia. Bagi saya, demokrasi hanyalah satu sistem yang diwujudkan untuk mempertahankan satus quo pemerintah.

Amalan demokrasi berat sebelah. Di segi falsafahnya, demokrasi berlandaskan kepada sistem kepercayaan materialisme. Di segi operasionalnya pula, ia diwujudkan untuk mempertahan dan mengukuhkan ideologi liberal-kapitalisme.

Kemerdekaan Malaya adalah warisan British untuk kerajaan Umno-Perikatan. Langkah ini adalah bagi mengelakkan pemerintahan negara jatuh ke tangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang tulen. Pastinya mereka ini bakal menjadi musuh kepada kuasa Barat.

ImageCerita pelbagai penipuan pilihanraya juga telah saya dengar sejak di bangku sekolah lagi. Istilah politik kotor sudah dikumandangkan ke telinga saya oleh kakak dan abang saya. Mereka beri amaran agar saya tidak pakai lencana yang berlambangkan kapal layar!

Walau bagaimanapun, saya tidak menolak secara mutlak proses dan prosedur demokrasi. Salah satu proses demokrasi yang saya percaya ada manfaatnya kepada dakwah dan tarbiyyah adalah pilihanraya. Saya menolak demokrasi sebagai manifestasi ideologi liberal-kapitalisme. Tetapi saya tidak menolak demokrasi sebagai satu proses untuk memartabatkan suara rakyat.

Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke seberang laut, saya telah menyertai kumpulan pelajar yang anti-establishment. Paradigma saya pada masa itu simple saja, kerajaan Hussein Onn-Mahathir memusuhi Islam dan gerakan Islam. Oleh itu kerajaan seperti ini mesti ditentang dan ditumbangkan. Satu kerajaan yang lebih adil mesti ditegakkan. Kerajaan Islam!

Namun, pendedahan saya di seberang laut turut memberi peluang kepada saya bertemu dengan penentang-penentang rejim zalim dari seluruh dunia, khususnya dari dunia Arab. Daripada mereka saya dengar pelbagai kisah benar kekejaman kerajaan Arab. Puluhan ribu, bahkan ratusan ribu dihumban ke dalam penjara di Mesir, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco, Saudi Arabia, Iraq, Syria, Sudan, Somalia dan senarai ini tidak ada penghujungnya.

Pengalaman luar

Rakan-rakan Arab yang terselamat dan berjaya memboloskan diri dan keluarga mereka ke negara-negara Eropah menceritakan kekejaman yang dihadapi oleh rakan-rakan mereka. Ramai di kalangan mereka sudah pun syahid!

Hasan Al-Banna ditembak di tepi jalan. Tembakan enam das kali pertama hanya mencederakannya. Beliau dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan. Menurut doktor, keadaannya stabil. Namun pada sebelah malam ejen-ejen pemerintah telah masuk ke dalam wadnya dan menembaknya dari jarak dekat sehingga mati.

Hasan Al-Hudaibi dan Abdul Qadir Audah dihukum ke tali gantung kerana pengaruh gerakan Ikhwan yang dipimpin mereka mengancam kedudukan rejim Jamal Abdul Nasir. Al-Hudaibi disahkan doktor sakit jantung. Beliau dikecualikan dari hukuman gantung kerana Jamal Abdul Nasir menyangka beliau akan mati sakit jantung tidak lama lagi. Audah terus dihantar ke tali gantung. Namun setelah Al-Hudaibi didapati bertambah pulih, secepat kilat Jamal Abdul Nasir menangkap dan menyumbatnya ke penjara tentera.

Sayyid Qutb dan saudara-saudaranya, Muhammad Qutb, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb, semuanya disumbat ke penjara. Akhirnya Sayyid Qutb dan beberapa orang lagi pemimpin Ikhwan dihukum gantung.

Kisah Syeikh Mustafa Masyhur yang dipenjara oleh rejim Jamal Abdul Nasir di Mesir juga tiba-tiba datang dalam ingatan saya. Bagi saya beliau melambangkan imej seorang pemimpin gerakan Islam yang tabah dan cekal. Beliau merengkok dalam penjara lebih 20 tahun. Semasa dalam penjara, tapak kakinya dipukul setiap hari oleh polis intelijen sehingga hancur tulang kakinya. Kesannya dia berjalan tempang selepas bebas pada tahun 80an.

Demikian juga dengan Zainab Al-Ghazali, pemimpin sayap muslimat Ikhwan Muslimun. Beliau disebat dengan tongkat oleh seorang pegawai tinggi tentera lebih 6,800 kali sepanjang lima tahun beliau berada dalam penjara tentera. Anjing-anjing buas dilepaskan untuk membaham beliau. Zainab dimasukkan ke dalam bilik yang dipenuhi air sejuk hingga ke paras dadanya selama tiga hari tiga malam. Bila diberikan makan, Zainab dihidangkan dengan sekeping roti yang disapu dengan najis manusia!

Saya juga terkenang kisah Imam Abdulla Haron pemimpin Cape Malay yang dipenjara oleh rejim apartheid Afrika Selatan pada tahun 1969. Beliau telah dibogelkan, dipukul, dihentak ke dinding dan diseksa hingga mati. Saya sempat bertemu dengan menantunya, Ashur Shamis di London. Ashur adalah seorang pelarian politik Iraq yang diburu oleh Saddam Hussein.

SB

Rakan-rakan itu juga mengingat saya bahawa apa yang berlaku di negara mereka juga berlaku di negara saya. Mula-mula saya terkejut. Mereka memberitahu saya bahawa rejim yang menzalimi mereka adalah rejim yang diwujudkan untuk mempertahankan kepentingan kuasa Amerika-Barat. Ini kata mereka tidak ada bezanya dengan Malaysia. Oleh itu, pesanan mereka itu saya ingat baik-baik.

Sejak itu saya tahu wujudnya satu instrumen pemerintah yang kejam di Malaysia. Instrumen ini dinamakan SB atau Special Branch. Sama seperti polis politik yang melindungi mana-mana rejim di dunia, peranan SB sama seperti CIA, MI5, KGB, Mossad dan Savak. Mereka semua bertindak ala Gestapo.

Saya difahamkan bahawa SB terdiri daripada orang-orang yang senget otaknya. Seperti juga algojo-algojo di penjara-penjara Arab, SB juga kaki pukul, amat bengis dan akan hanya mencapai kemuncak kelazatan jiwa mereka dengan menyeksa tahanan. Maklumat tentang SB membogel dan merogol tahanan lelaki juga telah saya ketahui ketika itu. Ini mereka lakukan dengan menjolok dubur tahanan lelaki dengan menggunakan botol.

Berbekalkan dengan maklumat dan pengetahuan inilah saya melalui tarbiyyah getir dalam tahanan SB. Semasa dalam tahanan ISA, saya dihantui dengan cerita-cerita penyeksaan. Seperti perakam video, memori saya dipantaskan mengingat kembali apa yang telah saya ketahui tentang kebuasan golongan algojo ini.

Benar seperti yang saya duga. Saya terkejut besar sebaik saya dibawa ke tempat tahanan. Pertama, saya terkejut kerana di negara ini masih terdapat tempat rahsia bagi mencolek, menghina, mendera, membogel dan mencabul hak asasi rakyatnya sendiri.

Kedua, saya terkejut kerana pertama kali dalam hidup saya saya berdepan dengan sekumpulan manusia Melayu-Islam yang berakhlak buruk sebagaimana sekumpulan SB yang menggodam saya.

Mereka mengepung dan menghasak saya dalam bilik soal-siasat. Saya dimaki, ditengking, digertak, diugut dan diancam. Seorang daripada mereka yang bernama ASP Wan Ariffin menghamburkan kepada saya macam-macam ucapan mencarut dan nista.

Sepanjang malam itu bingit telinga saya mendengar kata-kata mencarut seperti p*k*, f**k, f**k*r, p**t*t, b*r*t, k*l*n*i*, j*b*r, b*n*o* dan bermacam %&@^>#* lagi. Namun perkataan yang paling mereka gemari adalah b*r*t dengan sebutan loghat b*gh*t!

ISA, instrumen untuk takutkan rakyat

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net


ali kedua saya ditahan ISA, saya dikejarkan secara tergesa-gesa ke Kem Kamunting. Belum sempat saya menyusun pemikiran saya tentang apa yang telah saya lalui selama 54 hari disoal-siasat SB, terpaksa pula saya bersedia menghadapi secara mental, spiritual dan fizikal hari-hari yang bakal mendatang di Kem Kamunting.

ISA kejam. Ia adalah instrumen pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat. Tujuannya adalah untuk menekan dan menindas aktivis. Dalam ungkapan yang sering digunakan oleh sahabat setahanan saya, Isham Rais, tujuan utamanya adalah untuk memadamkan ingatan kolektif rakyat.

Ini kerana jika rakyat dibenarkan secara kolektif berkongsi serta mencita-citakan satu perubahan, pasti status qua pemerintah akan tergugat. Demi memastikan ingatan rakyat tidak membentuk ke tahap gelombang besar, maka wajibnya ia dicantas. ISA adalah instrumen paling ampuh untuk mencantas sebarang pembentukan gelombang besar perubahan yang akan dikongsi oleh rakyat.

Saya dan rakan-rakan ditahan di bawah ISA di ambang "Hari Pertahan Hak Rakyat" pada 14 April 2001. Tarikh 14 April memang sudah kami nobatkan sebagai "Black 14" dan juga "Hari Mengenang Kezaliman Mahathir". Pada tahun itu kami mahu mengajak rakyat beramai-ramai mempertahankan hak mereka daripada terus dicabul oleh Mahathir.

Sedih. Kecewa. Marah. Geram. Sakit hati. Keliru. Ya, itulah rencam perasaan saya sebaik saja saya dihumban di Kem Kamunting. Namun, tarbiyyah bertahun-tahun melalui gerakan Islam dan gerakan perubahan telah membantu saya.

Sedih dan kecewa

Sedih kerana mengenangkan anak-anak dan isteri terpaksa menanggung perpisahan dengan orang yang mereka sayangi dan orang yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Kecewa kerana rasa tertipu dengan seluruh proses soal-siasat yang tidak gentleman. Ini kerana alasan tahanan ke Kem Kamunting tidak ada kena mengena langsung dengan soalan-soalan yang diajukan sepanjang 54 hari soal-siasat.

Marah dan geram kerana SB-SB penyoal-siasat tidak lebih hanya sebagai segolongan yang bacul. Mereka menghina saya dan melemparkan pelbagai tuduhan tetapi tidak memberi ruang sedikitpun untuk saya membela diri.

Image
Aliza dan anak yang paling banyak berkorban untuk saya
Rasa sakit hati membengkak bila mengenang semula perlakuan SB-SB yang beraja ke atas saya sepanjang sesi soal-siasat. Sakit hati terhadap Mahathir yang terus berkuasa walaupun melakukan pelbagai kezaliman, pembohongan dan penyelewengan. Sakit hati terhadap Abdullah Badawi yang tanpa usul periksa terus menurunkan tanda tangannya mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun ke atas saya dan rakan-rakan.

Keliru, ya keliru kerana tidak tahu mana yang benar mana yang bohong. Sepanjang 54 hari disoal-siasat saya sedar saya mahu dibrain-wash, diturn-over dan dibuli sepuas-puasnya oleh SB-SB. Pada dasarnya, tarbiyyah yang saya lalui mengingatkan saya SB-SB adalah instrumen pemerintah yang zalim. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi menurut perintah tuan-tuan mereka. Namun, keliru tetap keliru. Jika tidak keliru pun, ada ketikanya saya menjadi ragu. Dan ragu pun cukup bagi SB-SB itu.

Sebenarnya SB-SB ini hanyalah sekumpulan penjilat yang b*****t. Mereka diarah untuk mengikut skrip yang disediakan oleh tuan-tuan atasan mereka yang cukup jahat dan licik. Skrip ini tujuan akhirnya adalah untuk memastikan Umno-BN kekal berkuasa. Bagi mereka Umno-BN tidak boleh digugat. Bahkan sudah menjadi aqidah bagi golongan SB bahawa Umno-BN tidak boleh digugat. Siapa gugat dia kena cantas. SB diberi oleh tuan-tuan mereka lesen besar mencantas musuh Umno-BN.

Seorang tahanan ISA adalah umpama sitting duck. Tidak boleh ke mana-mana. Tidak boleh buat apa-apa. Oleh itu SB-SB akan membuli semahu-mahunya.

Tarbiyyah

Dalam konteks trauma dan kejutan yang saya lalui dihantar ke Kem Kamunting pada 2 Jun 2001, tarbiyyah memainkan peranan yang amat penting. Tarbiyyah mengajar saya untuk kembali kepada akar umbi permasalahan yang saya hadapi. Tarbiyyah unggul adalah tarbiyyah yang berlandaskan kepada an-nahjus sahih atau metodologi yang betul.

An-nahjus sahih dalam tarbiyyah mendidik saya untuk kembali merujuk kepada prinsip. Memang betul segala macam perasaan timbul pada masa itu. Tetapi, bilakah perasaan seperti ini dibenarkan dan bila pula ianya ditegah?. Bukankah sedih, kecewa, marah dan sakit hati itu semuanya daripada syaitan dan bersumber dari lubuk hati yang telah dikuasai syaitan?

Jika benar ianya daripada syaitan, maka hapuskan sahajalah perasaan-perasaan keji tersebut. Lupakan dan maafkan segaal-galanya. Laluilah hari-hari di Kem Kamunting dengan penuh kesabaran, rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama muslim... termasuk terhadap SB-SB yang b******t itu.

Namun pada hari-hari awal di Kem Kamunting hati kecil saya tidak pernah berasa tenang. Saya terus mencari jawapannya. Di antara buku-buku terawal yang dibawa oleh isteri saya semasa melawat saya di Kem Kamunting adalah terjemahan Fi Zilal Al-Quran oleh Sayyid Qutb. Kitab-kitab tersebut saya tekuni.

Saya berdialog dengan diri saya sendiri. Bolehkah saya merujuk kepada Sayyid Qutb yang mungkin ketika menulis Fi Zilal juga sedang berada dalam gejolak kemarahan dan kekecewahan yang menggunung?. Bukankah Sayyid Qutb juga dianiaya, dizalimi dan ditindas oleh sebuah rejim yang rakus mengekalkan kuasa. Sayyid Qutub juga adalah seorang TAPOL – Tahanan Politik! Bolehkah saya merujuk kepada Sayyid Qutb untuk mengutip mutiara-mutiara berharga sebagai bekalan bagi hari-hari getir yang bakal saya lalui di Kem Kamunting?

Lantas saya terfikir, jika semasa bebas pun saya sudah meletakkan Sayyid Qutb sebagai salah seorang ideolog dan arkitek pemikir gerakan Islam, maka apa salahnya kini saya terus mengambil kata-katanya.

Dalam ribuan barisan tulisan Fi Zilal, saya terkejut kerana tiba-tiba Sayyid Qutb datang memberi tahu saya dengan kata-kata:"Memaafkan adalah satu akhlaq yang terpuji. Namun golongan mustakbirin yang menindas dan menzalimi orang tidak pernah mengiktiraf perbuatan memaafkan itu sebagai suatu akhlaq terpuji. Seandainya kamu dianiaya dan dizalimi dan dengan memaafkan golongan ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih angkuh dalam kezaliman dan penindasannya, maka memaafkan itu tidaklah lagi menjadi akhlaq terpuji. Kamu mesti lawan dan dedahkan kezaliman dan kejahatan mereka".

Itulah suara Sayyid Qutb dari lembaran Fi Zilal Al-Quran yang telah menyuntik kekuatan kepada jiwa saya untuk terus menentang kezaliman. Itulah di antara tarbiyyah awal saya dari penjara.

22 Mac 2006

Jan 15, 2006

Wasilah sambung Tahfiz hari ni lepas cuti lama

Hari ni Silah dah balik semula ke Tahfiz Al-Imam di Kubang Kerian untuk sambung semula persekolahannya. Tahun ni 2006, Silah dah masuk darjah 2. Insya-Allah makin bertambah juzu' untuk Silah baca dan makin pandailah Silah!! :-) Posted by Picasa

Jan 7, 2006

Sehari di Konvensyen UKJ DPPP 2005


Konvensyen UKJ 2005 Posted by Picasa
Team UKJ DPP Negeri Kedah muncul Johan Pertandingan Pameran DPP Negeri di Konvensyen UKJ DPPP 2005 di Taman Melewar pada 24 Disember 2005 lalu. Kanan sekali ialah Ustaz Musoddak Ahmad, Ketua DPP Negeri Kedah dan yang pegang sijil Johan pertandingan ialah saudara Arzahari, Ketua DPPKPS. Tahniah buat kontinjen Kedah, moga kita terus diberi kekuatan menuju 2008 untuk mencapai kemenangan untuk Islam.

Ekspedisi Dakwah DPPP di KLCC


Ekspedisi Dakwah Posted by Picasa
Malam tahun baru 2006 lalu join DPPP yang diketuai Ustaz Idris Ahmad bersama beberapa EXCO DPPP lain, antaranya Ustaz Riduan Mohamad Nor dan Ustaz Nasruddin Tantawi di KLCC untuk program ekspedisi dakwah DPPP. YB Salahuddin tak dapat nak join sebab ada majlis meraikan petugas Pengakalan Pasir.
So kami bermula jam 11pm dan tamat untuk round pertama pada lebih kurang jam 12.30pm lepas dentuman bunga api yang pastinya memakan belanja ratusan ribu ringgit. Kami bergerak dalam 3 kumpulan besar dan bergerak di tengah orang ramai sambil mengedarkan risalah dakwah. Pusingan kedua bermula selepas itu untuk menyeru orang ramai pulang dan tidak lagi berpeleseran di kawasan sekitar. Moga-moga usaha kita akan diredhai dan diberkati Allah...amiin.

Jan 2, 2006

Langkah pertama....

Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah tergerak juga nak start blog. Ini pun atas motivasi Ustaz Nasruddin Tantawi yang tanya macam mana nak upload photo dalam weblog. Ana cakap tak biasa pakai tapi yakin memang ada cara yang mudah nak upload, so nak tak nak kena cuba sendiri dulu, mudah nak support Ustaz :)



Jemput sahabat ke Laman Web Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat