Apr 16, 2006

Antara mahu cepat bebas dan mahu kekal di Kemunting

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net

inggal dalam penjara memberi ruang masa yang luas untuk membaca, berfikir, merenung dan menulis.

Kehalusan jiwa dapat dirasai ketika berada dalam penjara. Jiwa menjadi sensitif dan prihatin tentang peristiwa dan kejadian serta tabiat dan perangai manusia.

Ada kalanya masa berjalan terlalu perlahan di penjara. Ada ketikanya pula, masa berlalu sangat pantas.

Semuanya dalam minda dan perasaan.

Pada hari-hari awal saya di Kem Kamunting, saya rasakan deritanya hidup dimamah masa yang berjalan terlalu perlahan.

Namun, apabila saya mula menulis, menulis, menerbit dan menerbit, saya menjadi khuatir kalau-kalau saya dibebaskan terlalu cepat sehingga buku saya seterusnya tidak sempat diterbitkan tetapi saya sudah pun dibebaskan!

Aneh? Ya memang aneh.

Sehinggakan anak-anak saya yang sering menziarahi saya di Kem Kamunting menjadi keliru mana satu yang saya mahu. Terbit buku atau bebas?

Dalam lawatan-lawatan tersebut, mereka sedar bahawa saya lebih bercakap tentang bila buku-buku saya akan diterbitkan. Saya amat kurang bercakap tentang pembebasan.

Saya juga hairan kenapa perasaan tersebut muncul dalam diri saya. Saya mahukan buku-buku saya terbit semasa saya masih lagi ditahan dalam Kem Kamunting. Saya lambat dibebaskan pun tidak mengapa asalkan buku-buku tersebut diterbitkan terlebih dahulu.

Tidak tahu saya daripada mana sumbernya perasaan tersebut? Apa yang saya pasti saya mendapat kekuatan dengan berperasaan seperti itu pada ketika itu.

Semasa di penjara juga saya merenung sifat golongan yang terlibat memenjarakan saya serta memisahkan saya daripada isteri, anak-anak dan keluarga saya. Mereka adalah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, pegawai-pegawai kanan KDN dan SB-SB Bukit Aman.

Tarbiyyah dari penjara menyedarkan saya bahawa golongan ini amat rakus kepada kuasa. Saya sedar bahawa orang yang rakuskan kuasa sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kuasa mereka.

Always distrust people in power.

Sebelum itu pun saya sering mengungkapkan kepada rakan-rakan saya: "Always distrust people in power, including yourself. Always distrust people with wealth, especially yourself"

Maxim ini juga saya jadikan panduan dan tarbiyyah bagi diri saya. Saya mesti mencurigai diri saya sendiri jika saya memiliki kuasa dan kekayaan. Ubat penyakit rakus kuasa dan bermewah dengan harta adalah taqwa, taqarrub ilallah dan zuhud.

Antara doa saya yang berterusan kepada Allah adalah agar saya tidak dihanyutkan oleh harta benda dunia. Sebaliknya berilah kekuatan kepada saya, jika dianugerahkan dengan kesenangan dunia untuk menggunakannya di jalan kebenaran dan keadilan bagi menegakkan Islam.

Penjara juga mentarbiyyahkan saya bahawa di sana terdapat orang yang sanggup menjadi seb**g**t-b**g**t manusia kerana jawatan, pangkat dan laba serta kemewahan dunia.

Terdapat orang yang hidup hina kerana menggadai akhirat demi dunianya. Bahkan ada yang lebih hina lagi kerana menggadai akhiratnya demi dunia orang lain.

Mereka ini terdiri daripada pegawai-pegawai KDN, beberapa orang ahli Lembaga Penasihat, pegawai-pegawai Kem Kamunting dan terutamanya SB-SB Bukit Aman.

Kerana mahukan sangat untuk terus berpaut kepada jawatan sebagai penolong pengarah dan sebagainya di KDN, mereka sanggup menurunkan tandatangan mereka bagi pihak Menteri Dalam Negeri dengan kata-kata seperti:

"Dengan dukacitanya dimaklumkan, rayuan saudara ditolak. Dengan ini penahanan saudara di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting adalah diteruskan".

Saya menerima surat seperti itu berkali-kali sepanjang saya berada di Kem Kamunting. Sedangkan, sekali pun saya tidak pernah memohon apatah lagi merayu kepada mereka untuk dibebaskan.

Di hadapan mereka saya tegaskan bahawa penahanan saya adalah tidak sah dan kerajaan Umno-BN mesti meminta maaf kepada saya dan isteri serta anak-anak saya.

Pegawai-pegawai tinggi KDN ini juga tergamak menurunkan tandatangan mereka di atas surat yang ditujukan kepada isteri tahanan:

"Penahanan suami puan perlu diteruskan kerana beliau masih perlu menjalani program-program pemulihan di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting"

Begitulah b**g**tnya mereka ini!

Beberapa orang ahli Lembaga Penasihat Kem Kamunting pula sanggup menyembunyikan kebenaran walaupun mereka penuh sedar bahawa orang-orang yang ditahan di bawah ISA itu memang benar-benar dianiaya. Mereka sedar bahawa penahanan ISA adalah satu pembohongan kerajaan Umno-BN, tetapi mereka tetap pertahankan tindakan kerajaan Umno-BN.

Kenapa?

Kerana jawatan!

Pengerusi Lembaga Penasihat dilantik di kalangan orang yang pernah menjadi hakim. Ada kalanya mereka mencapai apa yang diidamkan semasa dalam profesion tersebut. Namun, terdapat juga di kalangan mereka yang belum sempat mengecapi status itu. Tiba-tiba sudah pencen. Melepas!

Status pengerusi Lembaga Penasihat adalah sama seperti status seorang hakim mahkamah tinggi. Sungguh berprestij! Banyak imbuhan dan kemudahan. Kereta Volvo. Elaun bungalo. Gred gaji setaraf hakim mahkamah tinggi, glamour!

Itu mesti dikejar!. Dipertahan!. Persetankan penderitaan tahanan yang dianiaya. Apa aku peduli pembohongan kerajaan Umno-BN. Aku mesti dapatkan habuan aku!

Tarbiyyah dari penjara juga menyedarkan saya bahawa perbuatan berbohong, berdusta, memfitnah, bermuka-muka, berdolak-dalik dan mengabaikan kehidupan akhirat adalah sifat-sifat utama para penjilat bagi golongan yang rakuskan kuasa.

Sifat-sifat buruk ini mendarah daging kepada SB-SB Bukit Aman. Anak pinak mereka dibesarkan dengan gaji rasmi dan gaji gelap kerana perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini.

Jika saya perihalkan tingkahlaku, perangai dan kelakuan mereka sepanjang soal-siasat yang saya lalui, pasti ianya memualkan.

Bukan SBlah kalau dia bukan seorang pembohong dan pendusta!

Syarat wajib untuk sah jadi SB adalah dia mesti seorang yang kuat berbohong!

Menyedari penahanan ISA adalah satu pengalaman berdepan dengan berbagai bentuk kerakusan, kepura-puraan dan pembohonganlah yang menjadikan saya berazam mendedahkan tembelang mereka.

Saya tidak boleh menjadi macam mereka. Saya tidak serupa dengan mereka. Saya boleh berpura-pura. Untuk apa? Untuk bebas? Tidak!

Kemuliaan adalah dengan berpegang teguh dengan sifat yang bersih daripada kepura-puraan dan pembohongan.

Berjuang dari penjara mentarbiyyah saya untuk yakin bahawa bertahan menegakkan hak dan kebenaran adalah lebih mulia daripada mendapatkan kebebasan kerana berpura-pura.

Lembaga Penasihat dan SB-SB yang hidup dalam kepura-puraan, mahukan tahanan ISA juga menjadi seperti mereka. Mereka mahu tahanan mengaku bersalah, menyesal, insaf serta berazam tidak mahu lagi menentang kerajaan Umno-BN.

Boleh! Apa tidak bolehnya berpura-pura.

Katakan saja apa yang dimahukan oleh Lembaga Penasihat dan SB. Puji, bodek dan junjung Umno-BN. Kutuk PAS, Keji KeADILan. Kecam Reformasi. Hina negara Islam. Selepas itu bisikkan dalam hati bahawa semua itu di bibir sahaja tetapi tidak di hati.

Apakah itu membantu? Boleh bebas?

Tidak!

Bebas atau tidak bebas dari Kem Kamunting bukan kerana seseorang tahanan itu akur kepada kata-kata Lembaga Penasihat atau SB.

Bebas atau tidak bebas semata-mata bergantung kepada sejauh mana Menteri Dalam Negeri tertekan dan ditekan!

Ingat!

Persoalan bebas atau tidak bebas dari Kem Kamunting adalah persoalan bagaimana menjadikan Menteri Dalam Negeri tertekan dan ditekan. Itu saja!

Saya sedar bahawa saya ditahan di Kem Kamunting kerana politik. Penahanan saya adalah satu keputusan politik. Satu tindakan politik. Satu langkah politik. Oleh itu, jika saya dibebaskan juga ianya adalah disebabkan oleh keputusan politik.

Mahathir boleh bertahan dengan tekanan. Tapi, sampai bila?

"Mahazalim!"

"Maha Firaun!"

"Shit PM@P*k*M*k"

"Undur Mahathir undur!"

"Zalim!"

"Kejam!"

"Diktator!"

Tarbiyyah di penjara mengajar saya bahawa saya boleh memohon kepada Allah melalui doa dan solat hajat untuk dibebaskan. Tetapi saya juga tahu bahawa Allah mahu saya berjuang untuk mendapat kebebasan tersebut.

Saya mesti tahu apa yang orang politik tidak suka. Tidak tahan. Tidak sanggup hadapi dan akhirnya tunduk.

Jawapannya?. Tekanan!

Ya saya mesti terus menerus menjalankan tekanan politik terhadap Mahathir dan Abdullah Badawi.

Dalam masa yang sama terus-menerus juga perb**g**tkan SB-SB yang menjadi penjilat kepada Mahathir dan Abdullah Badawi.

Rupa-rupanya berada dalam 'mode' dan 'gear' seperti itu menjadikan jiwa dan perasaan saya melonjak-lonjak. Masa berlalu begitu pantas. Terlalu banyak benda yang hendak dibuat. Masa sangat singkat di Kem Kamunting! Tak cukup masa!

Tarbiyyah yang paling memberi sakinah kepada jiwa saya adalah perasaan izzah yang timbul dalam jiwa apabila saya berjuang untuk mendedahkan kezaliman dan kebatilan kerajaan Umno-BN pimpinan Mahathir.

Saya dapat benar-benar merasakan manisnya menjalankan tuntutan amar makruf dan nahi munkar dalam skop saya menentang ISA dan mendedahkan pembohongan kerajaan Umno-BN sepanjang saya berada di Kem Kamunting.

Paling istimewa adalah perasaan saya bahawa menentang kezaliman itu manis, tetapi menentang kezaliman ketika diri saya sendiri sedang dizalimi adalah lebih manis.

0 comments: