Apr 16, 2006

ISA, instrumen untuk takutkan rakyat

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net


ali kedua saya ditahan ISA, saya dikejarkan secara tergesa-gesa ke Kem Kamunting. Belum sempat saya menyusun pemikiran saya tentang apa yang telah saya lalui selama 54 hari disoal-siasat SB, terpaksa pula saya bersedia menghadapi secara mental, spiritual dan fizikal hari-hari yang bakal mendatang di Kem Kamunting.

ISA kejam. Ia adalah instrumen pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat. Tujuannya adalah untuk menekan dan menindas aktivis. Dalam ungkapan yang sering digunakan oleh sahabat setahanan saya, Isham Rais, tujuan utamanya adalah untuk memadamkan ingatan kolektif rakyat.

Ini kerana jika rakyat dibenarkan secara kolektif berkongsi serta mencita-citakan satu perubahan, pasti status qua pemerintah akan tergugat. Demi memastikan ingatan rakyat tidak membentuk ke tahap gelombang besar, maka wajibnya ia dicantas. ISA adalah instrumen paling ampuh untuk mencantas sebarang pembentukan gelombang besar perubahan yang akan dikongsi oleh rakyat.

Saya dan rakan-rakan ditahan di bawah ISA di ambang "Hari Pertahan Hak Rakyat" pada 14 April 2001. Tarikh 14 April memang sudah kami nobatkan sebagai "Black 14" dan juga "Hari Mengenang Kezaliman Mahathir". Pada tahun itu kami mahu mengajak rakyat beramai-ramai mempertahankan hak mereka daripada terus dicabul oleh Mahathir.

Sedih. Kecewa. Marah. Geram. Sakit hati. Keliru. Ya, itulah rencam perasaan saya sebaik saja saya dihumban di Kem Kamunting. Namun, tarbiyyah bertahun-tahun melalui gerakan Islam dan gerakan perubahan telah membantu saya.

Sedih dan kecewa

Sedih kerana mengenangkan anak-anak dan isteri terpaksa menanggung perpisahan dengan orang yang mereka sayangi dan orang yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Kecewa kerana rasa tertipu dengan seluruh proses soal-siasat yang tidak gentleman. Ini kerana alasan tahanan ke Kem Kamunting tidak ada kena mengena langsung dengan soalan-soalan yang diajukan sepanjang 54 hari soal-siasat.

Marah dan geram kerana SB-SB penyoal-siasat tidak lebih hanya sebagai segolongan yang bacul. Mereka menghina saya dan melemparkan pelbagai tuduhan tetapi tidak memberi ruang sedikitpun untuk saya membela diri.

Image
Aliza dan anak yang paling banyak berkorban untuk saya
Rasa sakit hati membengkak bila mengenang semula perlakuan SB-SB yang beraja ke atas saya sepanjang sesi soal-siasat. Sakit hati terhadap Mahathir yang terus berkuasa walaupun melakukan pelbagai kezaliman, pembohongan dan penyelewengan. Sakit hati terhadap Abdullah Badawi yang tanpa usul periksa terus menurunkan tanda tangannya mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun ke atas saya dan rakan-rakan.

Keliru, ya keliru kerana tidak tahu mana yang benar mana yang bohong. Sepanjang 54 hari disoal-siasat saya sedar saya mahu dibrain-wash, diturn-over dan dibuli sepuas-puasnya oleh SB-SB. Pada dasarnya, tarbiyyah yang saya lalui mengingatkan saya SB-SB adalah instrumen pemerintah yang zalim. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi menurut perintah tuan-tuan mereka. Namun, keliru tetap keliru. Jika tidak keliru pun, ada ketikanya saya menjadi ragu. Dan ragu pun cukup bagi SB-SB itu.

Sebenarnya SB-SB ini hanyalah sekumpulan penjilat yang b*****t. Mereka diarah untuk mengikut skrip yang disediakan oleh tuan-tuan atasan mereka yang cukup jahat dan licik. Skrip ini tujuan akhirnya adalah untuk memastikan Umno-BN kekal berkuasa. Bagi mereka Umno-BN tidak boleh digugat. Bahkan sudah menjadi aqidah bagi golongan SB bahawa Umno-BN tidak boleh digugat. Siapa gugat dia kena cantas. SB diberi oleh tuan-tuan mereka lesen besar mencantas musuh Umno-BN.

Seorang tahanan ISA adalah umpama sitting duck. Tidak boleh ke mana-mana. Tidak boleh buat apa-apa. Oleh itu SB-SB akan membuli semahu-mahunya.

Tarbiyyah

Dalam konteks trauma dan kejutan yang saya lalui dihantar ke Kem Kamunting pada 2 Jun 2001, tarbiyyah memainkan peranan yang amat penting. Tarbiyyah mengajar saya untuk kembali kepada akar umbi permasalahan yang saya hadapi. Tarbiyyah unggul adalah tarbiyyah yang berlandaskan kepada an-nahjus sahih atau metodologi yang betul.

An-nahjus sahih dalam tarbiyyah mendidik saya untuk kembali merujuk kepada prinsip. Memang betul segala macam perasaan timbul pada masa itu. Tetapi, bilakah perasaan seperti ini dibenarkan dan bila pula ianya ditegah?. Bukankah sedih, kecewa, marah dan sakit hati itu semuanya daripada syaitan dan bersumber dari lubuk hati yang telah dikuasai syaitan?

Jika benar ianya daripada syaitan, maka hapuskan sahajalah perasaan-perasaan keji tersebut. Lupakan dan maafkan segaal-galanya. Laluilah hari-hari di Kem Kamunting dengan penuh kesabaran, rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama muslim... termasuk terhadap SB-SB yang b******t itu.

Namun pada hari-hari awal di Kem Kamunting hati kecil saya tidak pernah berasa tenang. Saya terus mencari jawapannya. Di antara buku-buku terawal yang dibawa oleh isteri saya semasa melawat saya di Kem Kamunting adalah terjemahan Fi Zilal Al-Quran oleh Sayyid Qutb. Kitab-kitab tersebut saya tekuni.

Saya berdialog dengan diri saya sendiri. Bolehkah saya merujuk kepada Sayyid Qutb yang mungkin ketika menulis Fi Zilal juga sedang berada dalam gejolak kemarahan dan kekecewahan yang menggunung?. Bukankah Sayyid Qutb juga dianiaya, dizalimi dan ditindas oleh sebuah rejim yang rakus mengekalkan kuasa. Sayyid Qutub juga adalah seorang TAPOL – Tahanan Politik! Bolehkah saya merujuk kepada Sayyid Qutb untuk mengutip mutiara-mutiara berharga sebagai bekalan bagi hari-hari getir yang bakal saya lalui di Kem Kamunting?

Lantas saya terfikir, jika semasa bebas pun saya sudah meletakkan Sayyid Qutb sebagai salah seorang ideolog dan arkitek pemikir gerakan Islam, maka apa salahnya kini saya terus mengambil kata-katanya.

Dalam ribuan barisan tulisan Fi Zilal, saya terkejut kerana tiba-tiba Sayyid Qutb datang memberi tahu saya dengan kata-kata:"Memaafkan adalah satu akhlaq yang terpuji. Namun golongan mustakbirin yang menindas dan menzalimi orang tidak pernah mengiktiraf perbuatan memaafkan itu sebagai suatu akhlaq terpuji. Seandainya kamu dianiaya dan dizalimi dan dengan memaafkan golongan ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih angkuh dalam kezaliman dan penindasannya, maka memaafkan itu tidaklah lagi menjadi akhlaq terpuji. Kamu mesti lawan dan dedahkan kezaliman dan kejahatan mereka".

Itulah suara Sayyid Qutb dari lembaran Fi Zilal Al-Quran yang telah menyuntik kekuatan kepada jiwa saya untuk terus menentang kezaliman. Itulah di antara tarbiyyah awal saya dari penjara.

22 Mac 2006

0 comments: