Apr 16, 2006

ISA mengajar erti demokrasi

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net



emasa dalam tahanan ISA fikiran saya sering melayang jauh. Pelbagai penjuru kehidupan yang telah saya lalui menjelma semula di benak saya. Imbauan tersebut seolah-olah mengisi saat-saat sepi dalam sel ISA yang penuh misteri.

Sejak zaman pelajar di seberang laut pada tahun 70an lagi saya kurang percaya kepada sistem demokrasi di Malaysia. Bagi saya, demokrasi hanyalah satu sistem yang diwujudkan untuk mempertahankan satus quo pemerintah.

Amalan demokrasi berat sebelah. Di segi falsafahnya, demokrasi berlandaskan kepada sistem kepercayaan materialisme. Di segi operasionalnya pula, ia diwujudkan untuk mempertahan dan mengukuhkan ideologi liberal-kapitalisme.

Kemerdekaan Malaya adalah warisan British untuk kerajaan Umno-Perikatan. Langkah ini adalah bagi mengelakkan pemerintahan negara jatuh ke tangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang tulen. Pastinya mereka ini bakal menjadi musuh kepada kuasa Barat.

ImageCerita pelbagai penipuan pilihanraya juga telah saya dengar sejak di bangku sekolah lagi. Istilah politik kotor sudah dikumandangkan ke telinga saya oleh kakak dan abang saya. Mereka beri amaran agar saya tidak pakai lencana yang berlambangkan kapal layar!

Walau bagaimanapun, saya tidak menolak secara mutlak proses dan prosedur demokrasi. Salah satu proses demokrasi yang saya percaya ada manfaatnya kepada dakwah dan tarbiyyah adalah pilihanraya. Saya menolak demokrasi sebagai manifestasi ideologi liberal-kapitalisme. Tetapi saya tidak menolak demokrasi sebagai satu proses untuk memartabatkan suara rakyat.

Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke seberang laut, saya telah menyertai kumpulan pelajar yang anti-establishment. Paradigma saya pada masa itu simple saja, kerajaan Hussein Onn-Mahathir memusuhi Islam dan gerakan Islam. Oleh itu kerajaan seperti ini mesti ditentang dan ditumbangkan. Satu kerajaan yang lebih adil mesti ditegakkan. Kerajaan Islam!

Namun, pendedahan saya di seberang laut turut memberi peluang kepada saya bertemu dengan penentang-penentang rejim zalim dari seluruh dunia, khususnya dari dunia Arab. Daripada mereka saya dengar pelbagai kisah benar kekejaman kerajaan Arab. Puluhan ribu, bahkan ratusan ribu dihumban ke dalam penjara di Mesir, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco, Saudi Arabia, Iraq, Syria, Sudan, Somalia dan senarai ini tidak ada penghujungnya.

Pengalaman luar

Rakan-rakan Arab yang terselamat dan berjaya memboloskan diri dan keluarga mereka ke negara-negara Eropah menceritakan kekejaman yang dihadapi oleh rakan-rakan mereka. Ramai di kalangan mereka sudah pun syahid!

Hasan Al-Banna ditembak di tepi jalan. Tembakan enam das kali pertama hanya mencederakannya. Beliau dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan. Menurut doktor, keadaannya stabil. Namun pada sebelah malam ejen-ejen pemerintah telah masuk ke dalam wadnya dan menembaknya dari jarak dekat sehingga mati.

Hasan Al-Hudaibi dan Abdul Qadir Audah dihukum ke tali gantung kerana pengaruh gerakan Ikhwan yang dipimpin mereka mengancam kedudukan rejim Jamal Abdul Nasir. Al-Hudaibi disahkan doktor sakit jantung. Beliau dikecualikan dari hukuman gantung kerana Jamal Abdul Nasir menyangka beliau akan mati sakit jantung tidak lama lagi. Audah terus dihantar ke tali gantung. Namun setelah Al-Hudaibi didapati bertambah pulih, secepat kilat Jamal Abdul Nasir menangkap dan menyumbatnya ke penjara tentera.

Sayyid Qutb dan saudara-saudaranya, Muhammad Qutb, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb, semuanya disumbat ke penjara. Akhirnya Sayyid Qutb dan beberapa orang lagi pemimpin Ikhwan dihukum gantung.

Kisah Syeikh Mustafa Masyhur yang dipenjara oleh rejim Jamal Abdul Nasir di Mesir juga tiba-tiba datang dalam ingatan saya. Bagi saya beliau melambangkan imej seorang pemimpin gerakan Islam yang tabah dan cekal. Beliau merengkok dalam penjara lebih 20 tahun. Semasa dalam penjara, tapak kakinya dipukul setiap hari oleh polis intelijen sehingga hancur tulang kakinya. Kesannya dia berjalan tempang selepas bebas pada tahun 80an.

Demikian juga dengan Zainab Al-Ghazali, pemimpin sayap muslimat Ikhwan Muslimun. Beliau disebat dengan tongkat oleh seorang pegawai tinggi tentera lebih 6,800 kali sepanjang lima tahun beliau berada dalam penjara tentera. Anjing-anjing buas dilepaskan untuk membaham beliau. Zainab dimasukkan ke dalam bilik yang dipenuhi air sejuk hingga ke paras dadanya selama tiga hari tiga malam. Bila diberikan makan, Zainab dihidangkan dengan sekeping roti yang disapu dengan najis manusia!

Saya juga terkenang kisah Imam Abdulla Haron pemimpin Cape Malay yang dipenjara oleh rejim apartheid Afrika Selatan pada tahun 1969. Beliau telah dibogelkan, dipukul, dihentak ke dinding dan diseksa hingga mati. Saya sempat bertemu dengan menantunya, Ashur Shamis di London. Ashur adalah seorang pelarian politik Iraq yang diburu oleh Saddam Hussein.

SB

Rakan-rakan itu juga mengingat saya bahawa apa yang berlaku di negara mereka juga berlaku di negara saya. Mula-mula saya terkejut. Mereka memberitahu saya bahawa rejim yang menzalimi mereka adalah rejim yang diwujudkan untuk mempertahankan kepentingan kuasa Amerika-Barat. Ini kata mereka tidak ada bezanya dengan Malaysia. Oleh itu, pesanan mereka itu saya ingat baik-baik.

Sejak itu saya tahu wujudnya satu instrumen pemerintah yang kejam di Malaysia. Instrumen ini dinamakan SB atau Special Branch. Sama seperti polis politik yang melindungi mana-mana rejim di dunia, peranan SB sama seperti CIA, MI5, KGB, Mossad dan Savak. Mereka semua bertindak ala Gestapo.

Saya difahamkan bahawa SB terdiri daripada orang-orang yang senget otaknya. Seperti juga algojo-algojo di penjara-penjara Arab, SB juga kaki pukul, amat bengis dan akan hanya mencapai kemuncak kelazatan jiwa mereka dengan menyeksa tahanan. Maklumat tentang SB membogel dan merogol tahanan lelaki juga telah saya ketahui ketika itu. Ini mereka lakukan dengan menjolok dubur tahanan lelaki dengan menggunakan botol.

Berbekalkan dengan maklumat dan pengetahuan inilah saya melalui tarbiyyah getir dalam tahanan SB. Semasa dalam tahanan ISA, saya dihantui dengan cerita-cerita penyeksaan. Seperti perakam video, memori saya dipantaskan mengingat kembali apa yang telah saya ketahui tentang kebuasan golongan algojo ini.

Benar seperti yang saya duga. Saya terkejut besar sebaik saya dibawa ke tempat tahanan. Pertama, saya terkejut kerana di negara ini masih terdapat tempat rahsia bagi mencolek, menghina, mendera, membogel dan mencabul hak asasi rakyatnya sendiri.

Kedua, saya terkejut kerana pertama kali dalam hidup saya saya berdepan dengan sekumpulan manusia Melayu-Islam yang berakhlak buruk sebagaimana sekumpulan SB yang menggodam saya.

Mereka mengepung dan menghasak saya dalam bilik soal-siasat. Saya dimaki, ditengking, digertak, diugut dan diancam. Seorang daripada mereka yang bernama ASP Wan Ariffin menghamburkan kepada saya macam-macam ucapan mencarut dan nista.

Sepanjang malam itu bingit telinga saya mendengar kata-kata mencarut seperti p*k*, f**k, f**k*r, p**t*t, b*r*t, k*l*n*i*, j*b*r, b*n*o* dan bermacam %&@^>#* lagi. Namun perkataan yang paling mereka gemari adalah b*r*t dengan sebutan loghat b*gh*t!

0 comments: