Apr 22, 2006

Mimpi perjuangan terus bersemarak walau tubuh terpenjara

Oleh Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
dipetik dari Harakahdaily.net

emasa saya dalam 'mode' dan 'gear' untuk mendedahkan pembohongan kerajaan Umno-BN dan SB-SB yang menyoal siasat saya, saya dapat rasanya getaran dan gelombang yang amat tinggi pada jasad fizikal saya.

Pada ketika itu dengan menggunakan kuasa minda saya, saya dapat mengarahkan tasbih yang saya pegang di tangan kanan saya untuk berpusing-pusing dalam bulatan di atas tapak tangan kiri saya.

Lebih kuat saya arahkan tasbih tersebut berpusing, semakin laju ia berpusing. Sebaik sahaja saya arahkan ia berhenti, tasbih itu akan berhenti. Bukanlah saya seorang jedi dalam filem Star Wars, tetapi apa yang berlaku itu memang dapat dijelaskan secara saintifik mahupun secara spiritual.

Tanpa berada dalam penjara pun saya percaya seseorang itu boleh melakukan apa yang telah saya lakukan. Cubalah! Hanya bezanya, mungkin tahap kepekaan dan kekuatannya lebih tinggi bagi mereka yang berazam menentang kezaliman semasa dalam penjara!!

Malam-malam di Kem Kamunting saya tidur penuh dengan mimpi yang indah. Mimpi-mimpi perjuangan!

Semua mimpi tersebut saya catatkan dalam buku nota. Semasa saya meninggalkan Kem Kamunting, saya membawa keluar bersama saya lima buah buku catatan mimpi-mimpi saya sepanjang berada di sana.

Setiap hari di Kem Kamunting saya menamatkan satu hingga dua juzu tilawah Al-Quran. Setiap malam sebelum tidur, saya pastikan yang saya sudah membaca surah-surah Ya Sin, Al-Mulk, Al-Waqi'ah. As-Sajdah dan Ad-Dukhan. Saya akan tambah dengan membaca Surah Al-Kahfi setiap malam Jumaat.

Selepas membaca doa tidur saya akan mengenang kisah Nabi Yusuf seperti yang terkandung dalam Surah Yusuf dan berharap Allah memberi isyarat-isyarat kemenangan bagi saya ke atas golongan yang zalim.

Mimpi-mimpi saya sepanjang di Kem Kamunting memberi kesegaran kepada jiwa saya. Ia menyuntik kekuatan kepada saya. Tarbiyyah yang telah saya lalui mengajar saya mimpi soleh itu adalah satu dari empat puluh enam bahagian daripada nubuwwah!

Surah Yusuf memperihalkan mimpi Nabi Yaaqub, mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara.

Setiap mimpi ada maqamnya menurut kedudukan dan kemuliaan orang yang bermimpi. Saya turut memohon kepada Allah memberi isyarat-isyarat kepada saya bagi kemenangan Islam dan kebenaran di atas kebatilan dan pembohongan.

Saya menanti-nanti isyarat daripada Allah dalam mimpi saya agar satu hari nanti akan runtuhnya kerajaan Umno-BN hasil perjuangan rakyat menegakkan Islam dan kebenaran.

Harinya pasti tiba, bi iznillah!

Bila saya mula menulis dan mendedahkan pembohongan Umno-BN, saya merasakan perkara itu satu kesempatan yang amat berharga. Bahkan ia lebih berharga daripada kesempatan untuk mempercepatkan pembebasan diri saya sendiri.

Gelombang daya ingatan saya tiba-tiba melonjak. Saya tidak tahu bagaimana semua yang telah saya serap sepanjang tempoh soal-siasat, satu persatu boleh muncul secara terperinci dalam ingatan saya. Ingatan itu terus mengalir melalui pena untuk dituliskan ke atas kertas!

Pada peringkat itu, empat belas hingga enam belas jam dalam sehari saya mampu menulis. Itu pun hanya dengan menggunakan pena! Tidak pernah saya menulis sebanyak itu tanpa menggunakan komputer.

Satu persatu pembohongan kerajaan Umno-BN, Ketua Pengarah SB, Dato' Yusuf Abdul Rahman dan SB-SB yang menyoal siasat saya muncul dalam ingatan saya.

Pada satu hari sebuah buku kecil berwarna hitam diterima oleh Ezam dalam lawatan keluarganya ke Kem Kamunting. Saya terus meminjam dan membacanya.

Masya' Allah, getaran gelombang yang sama!

Pada ketika saya menulis di Kem Kamunting, ada seorang pejuang rakyat yang saya tidak kenali juga mempunyai perasaan yang sama seperti saya.

Bezanya beliau menulis puisi yang indah.

Puisi itu berjodol "Bertanya Sarjan Pada Kopral". Penulisnya hanya dicatat sebagai Sarjan Tua.

Bahagian kemuncak puisi tersebut berbunyi:

........

Tapi kini Kopral

apa rakyat menggelar kita?

apa rakyat panggil kita?

aku bagai tak percaya

Anjing-anjing layaknya kita

Israel dibangsakan kita

Bab-babi diumpamakan kita

Setan dinisbahkan perangai kita

Polis Mossad diserupakan kita

Polis Savak disamakan kita

Yahudi dikatakan keturunan kita

tak terasakah hinanya kita

bila...

Polis SB orang bilang Siput Babi si Laknat

Polis FRU orang kata Kepala Merah Hati Batu

Polis PPH disebut Pasukan Polis Hantu

Polis Trafik adalah sikit baik

Walaupun mereka kata Pacak Ifrit.

Kau tahu Kopral?

ketika anakmu di sekolah

dia diejek teman sedarjah

dia dipandang endah tak endah

kerana teman sekolahnya semua marah

setelah heboh satu sekolah

cerita polis membelasah

hatta wanita tua yang tak bersalah

dipukul jua cucunya sampai berdarah-darah

ketika pulang dari membeli belah

ketika melintasi Jalan TAR yang dah basah.

Cota dan rotan tiba-tiba singgah

di kepala, di badan dan terus rebah

bukan kerana merusuh atau buat salah

tapi Polis dah borong semua salah

itulah cerita yang tersebar di seluruh lembah

bumi Kuala Lumpur digenangi darah

rakyat lemah yang enggan menyerah

kepada kezaliman pemerintah

meskipun hadapi polis yang serba salah

kau tahu....

kawan-kawannya menjuih mulut padanya

mereka membisik sesama menghina dirinya

mereka menjauhi bila dia didekati mereka

kerana mereka tahu secara nyata

bapa kepada anakmu itu

atau kawan kepada bapa anakmu itu

terlibat memukul ibu bapa rakannya

sehingga seminggu berdarahnya

sehingga terganggu pendapatannya.

Kau tahu Kopral?

bila isterimu ke tempat kerja

temannya menyendiri tak mau bicara

bila didekati mereka tiada bersuara

mereka mengesyaki sesuatu darinya

kerana mereka menyangka

isteri polis mana-mana jua

tak dapat menyimpan rahsia

takut keluarga mereka teraniaya

selepas diketahui apa-apa cerita.

Tak sakit jiwakah anak kita

tak menderitakah isteri kita

tak terasa malukah diri kita

sampai bila hidup begini kita

menjadi asing di dalam keluarga?

Patutkah Kopral?

kita terus hidup bermuslihat

bersubahat dengan pemerintah jahat

disuruh berkasar umpama penjahat

meskipun ada polis tali barut

yang tiada hati perut

bekerja jadi pak turut

semata bermatlamat mengisi perut

adakah patut?

rambut wanita ditarik-tarik

wanita mengandung ditolak diterajang

muka yang licin disiku ditampar

kepala bertopi dipukul cota

orang berjalan disimbah asid

orang bersolat dilempar gas

orang makan disergah, disuruh pindah

kereta parking diketuk cerminnya

yang berlari dikejarnya

yang berjalan dihalaunya

yang duduk dipijaknya?

Apa bukan orangkah kau Kopral?

beginikah cara kita mencari makan?

meminta ganjaran upah membelasah?

Kau tahu Kopral?

bapamu di kampung kepalang malu

ke surau tiada lagi dia mahu

kenduri jiran pun berat selalu

kalau mati pun mungkin tiada siapa tahu.

Kau tahu Kopral?

wang yang kau bawa pulang

untuk susu anakmu

untuk roti isterimu

untuk nasi keluargamu

malah ada belanja haji bapamu,

wang itu Kopral....

adalah upah memukul kepala

ibu saudaramu yang tak berdosa

adalah upah menitiskan darah

anak muda yang mencari benar

adalah upah memusnahkan harta

insan-insan lemah yang takut bersuara

adalah upah menghenyak pak tua

yang bertongkat berpapah

adalah upah memedihkan mata

mereka yang selama ini terseksa.

Wang itu Kopral...

adalah upah

dari seorang memanda

dari seorang mamak bendahara

dari seorang maharaja

dari seorang dewa

yang ingin menjaga hartanya

yang ingin mempertahan singgahsananya

yang ingin menyusui wanitanya

yang ingin menyelamatkan cucunya

tergamak kamu mengambil upah darinya

tergamak kau menelan nasi yang diberinya!


Kau tahu Kopral?

tak akan senang hidupmu

kalau rakyat membenci dirimu

tak akan sejahtera hidupmu

kalau rakyat pandang serong padamu

tak akan bahagia masa tuamu

kalau kau sendiri memusuhi rakyatmu

tak akan selamat rohmu nanti

kalau rakyat berdoa sepenuh hati

minta dibinasakan mereka yang membenci

membenci perjuangan yang murni.

kerana Allah berjanji

doa yang dizalimi

tiada hijab lagi

antara Yang Esa dan yang mohon simpati

pasti termakbul segala yang dihajati

amat benar janji Ilahi

*Kampung Melayu Kepong - Depok

Puisi ini terkandung dalam koleksi antologi puisi "Dari Derita Bangsa" yang diselenggerakan oleh Osman Awang dan Dino S.S.

Semasa saya membaca puisi ini, Osman Awang atau Tongkat Warrant sudah pun tiada di dunia ini. Dia telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Dulu Osman Awang bangga dengan tugasnya sebagai sebagai seorang polis pegawai warrant kelas satu. Beliau ke sana sini mengepit sebatang tongkat. Lantas, sebagai seorang penulis Osman Awang memilih nama pena, Tongkat Warrant!

Tetapi....

Semasa saya dalam Kem Kamunting saya ada membaca keluhan hati Osman Awang yang anehnya telah disiarkan dalam sebuah akhbar kerajaan Umno-BN. Ruangan tersebut sebagai mengenang pemergiannya.

Tongkat Warrant malu dan kecewa dengan pasukan polis yang ada pada detik-detik beliau menghembus nafasnya yang terakhir.

Saya rasa Sarjan Tua yang menulis puisi di atas adalah Tongkat Warrant sendiri. Ya, besar kemungkinan Sarjan Tua adalah Osman Awang, Sasterawan Negara dan Seniman Agung yang disayangi.

Saya kemukakan puisi di atas kepada Lembaga Penasihat Kem Kamunting dalam representasi saya. Saya percaya mereka baca puisi ini. Mereka mungkin bersetuju dengan Osman Awang perihal betapa hapraknya polis sekarang!.

Mengenang hebatnya persamaan getaran hati antara saya di Kem Kamunting dengan Sarjan Tua, maka saya muatkan seluruh puisi yang panjang itu dalam buku saya yang ketiga, Suara Dari Kamunting 3.

Bagi merakamkan ucapan terima kasih saya kepada penyelenggara buku antologi puisi tersebut, saya meminta anak saya, Anfal untuk menghubungi Dino S.S melalui nombor telefon yang tercatat di kulit buku tersebut.

Ternyata nombor dan alamat yang tercatat dalam buku tersebut hanya nombor dan alamat samaran dan palsu.

Demikianlah hebatnya, negaraku Malaysia, hinggakan untuk menulis puisi kebenaran pun seorang seniman agung terpaksa menyembunyikan identiti dan lokasinya.

Apa yang pasti, jika tidak.... para SB-SB yang b**g**t itu akan datang menyerang dan menggeledah lokasi tersebut!

0 comments: