Dec 23, 2007

banjir...adakah penyelesaiannya?

Hati ini berasa sangat sayu bila melihat berita tentang banjir beberapa minggu lalu yang melanda negeri Kelantan, Pahang, Johor dan kini Kedah pula. Sayu melihat bagaimana mangsa-mangsa banjir terpaksa berpindah ke pusat pemindahan, dengan serba-serbi kekurangan dan serba-serbi ketidak selesaan. Kalau dulunya bila hujung tahun, masuk musim tengkujuh, banjir secara sinonimnya akan melanda negeri Kelantan. Tahun lepas pula pasti kita semua tak lupa dengan banjir besar yang melanda negeri Johor. Dan tahun ini, banjir besar ini melanda negeri Pahang pula.

Bila melihat visual tv yang menayangkan mangsa banjir di Pahang yang terpaksa menggunakan air banjir itu sendiri untuk membasuh beras untuk dimasak di tingkat 2 sebuah sekolah (sebab tingkat 1 dah ditenggelami air), mmg hati ni rasa sangat kasihan kepada mangsa banjir terbabit. Itu belum lagi bila 2-3 hari lepas tengok mangsa banjir ni bertakbir dan bersolat hari raya idul adha di pusat pemindahan mangsa banjir, memang cukup mengharukan. Lihat posting blog Ustaz Nasruddin ni untuk gambaran sebenar keadaan banjir di sana, masya-Allah hebat sungguh kekuasaan Allah.

Justeru saya terfikir tentang banjir ini lagi adalah saban tahun banjir melanda Kelantan, dan kini banjir ini berkembang pula ke negeri-negeri lain, tidakkah ada caranya untuk masalah banjir ini cuba diatasi atau sekurang-kurangnya dikurangkan? Yang kita dengar adalah persiapan menghadapi banjir, dengan pusat-pusat pemindahan banjir sedia beroperasi, bantuan makan minum dan sebagainya dipersiapkan dan sebagainya yang lebih bersifat menunggu dan menghadapi banjir tersebut. Tak kesiankah kita tengok mereka ni hanya bersiap dan menunggu untuk dipindahkan bila musim banjir melanda?

Kalau kita kaji bagaimana sebuah negara bernama Belanda/Holland/Netherland yang sebahagian besar tanahnya berada di bawah paras laut dan mengikut sejarahnya pada tahun 1953 pernah dilanda satu banjir besar yang mengorbankan ribuan nyawa, menyelesaikan masalah banjir di negara tersebut. Komitmen kerajaan Belanda untuk mengatasi masalah banjir dan bagi mengelakkan rakyatnya menderita akibat musibah banjir ini adalah suatu contoh yang patut dikaji. Peruntukan kerajaan yang mencecah angka bilion dollar digunakan untuk projek mengatasi banjir di negara bawah paras laut itu. Antara projek yang terkenal adalah projek 'Delta Works'. Dan melalui projek ini, mereka berani untuk menjamin risiko banjir untuk berlaku di negara tersebut adalah 1 dalam 10,000 tahun!!

Jadi saya fikir, negara di bawah paras laut seperti Belanda itu pun mampu mengatasi/mengurangkan masalah banjir di negara mereka, pasti banjir-banjir yang melanda negeri-negeri dalam negara kita ni juga mampu diatasi. Bagi saya kerajaan yang dipilih rakyat harus mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengatasi masalah ini, tidak kiralah kerajaan sedia ada mahupun kerajaan alternatif sekiranya dilantik. Dan bagi saya keutamaan untuk mengatasi masalah banjir ini adalah tinggi, setelah 50 tahun merdeka dan setelah 50 tahun kerajaan sedia ada memerintah, fokus harus diberikan terhadap aspek ini jika benar kebajikan dan permasalahan rakyat diberikan keutamaan. Dan penyelesaian itu haruslah merupakan satu pelan jangka panjang yang teliti hasil perancangan pakar-pakar dalam bidang menyelesaikan masalah banjir ini.

Tambah membuatkan saya berfikir tentang banjir ini, sudah semestinya saya melihat ia dari perspektif banjir sebagai satu peringatan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Akan tetapi banjir ini sekarang ini biasanya digambarkan sebagai satu bencana alam di samping dinafikan pula sebagai satu bala Allah ataupun peringatan Allah kepada makhlukNya di muka bumi ini. Bukanlah dengan berfikir sebegini saya cuba mengatakan bahawa padan dengan muka mangsa-mangsa banjir di sana yang telah 'dihukum' oleh Allah dengan banjir tersebut. Akan tetapi ia adalah suatu peringatan kita di mana-mana di Malaysia ini khususnya kerana jika Allah nak turunkan balaNya, maka ia akan menimpa keseluruhan masyarakat setempat tidak kira orang baik atau orang jahat di sisi Allah.

Tatkala tsunami besar 2004 melanda Acheh dulu, ia sebenar dan sememangnya satu mesej dari Allah kepada hamba-hambaNya keseluruhannya, termasuklah kita-kita di Malaysia ini. Sama juga dengan bencana musibah banjir ini, apa jaminan di Selangor atau apa jaminan di rumah saya di Ampang ini tidak akan berlaku banjir? Jadi saya yakin musibah seperti banjir ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, hatta di tempat yang pada fikiran logik kita mustahil untuk berlaku banjir!

Banjir juga mengingatkan kita kepada kisah bahtera Nabi Nuh a.s, dalam Al-Quran surah Al-A'araf ayat 64, Allah berfirman, "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum kaum yang buta (mata hatinya)" Nauzubillah min zalik, pohon kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah sebegini...

Dec 22, 2007

idul adha dan kisah ibrahim a.s khalilullah

Sempena Idul Adha ini, saya berminat untuk berkongsikan suatu yang menarik yang saya dapat dalam usrah gabungan pemuda kawasan beberapa minggu sudah. Penyampaian dari ustaz nazmi tempoh hari memang suatu yang santai tapi penuh berisi.

Ia adalah kisah nabi Ibrahim a.s bapa kepada nabi ismail a.s. Kisah ini adalah kisah bagaimana ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s kepada perintah dan suruhan Allah ta'ala. Bagaimana pada suatu hari nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah ta'ala untuk membawa isteri keduanya, Hajar beserta anaknya yang baru dilahirkan, Ismail a.s untuk ditinggalkan di suatu tanah gersang kering kontang yang dinamakan Makkah.

Sebaik saja menerima perintah Allah tersebut, nabi Ibrahim a.s tanpa banyak soal terus membawa isteri dan anaknya itu dalam suatu perjalanan yang amat jauh (bayangkan perjalanan darat dengan tunggangan unta dari Palestin ke Makkah, berapa jauh tu) dan tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju mereka dan apakah tujuan kemusafiran itu kepada anak isterinya.

Setibanya sahaja di Makkah yang ketika itu adalah satu tempat yang gersang, kering kontang, tiada hidupan, tiada air, tiada tumbuhan, tiada orang lalu-lalang sekalipun, bak kata orang, tempat jin bertendanglah, maka diarahkanlah isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s turun dari tunggangan unta tersebut. Tanpa bercakap sepatah apa pun, hatta untuk mengucap selamat tinggal sekali pun, nabi Ibrahim a.s berlalu meninggalkan anak isterinya di situ. Maka tercengang-cenganglah isterinya dan teruslah Hajar merayu kepada nabi Ibrahim a.s agar tidak meninggalkannya di situ. Hajar juga terus bertanya kepada suaminya mengapa dan mengapa ditinggalkan mereka di situ. Akan tetapi nabi Ibrahim a.s tidak sedikitpun berpaling dari perjalanan baliknya dan tidak sedikitpun menjawab rayuan Hajar itu.

Sehingga akhirnya apabila Hajar bertanya adakah itu semua adalah suruhan dan perintah Allah? Maka barulah nabi Ibrahim a.s berhenti sebentar (tanpa berpusing melihat isteri dan anaknya) dan menjawab: "Ya, ini adalah perintah Allah", lantas disambung perjalanannya kembali dan mendengar jawapan itu, maka redhalah Hajar dengan apa yang dihadapinya itu (hebat sungguh seorang isteri kepada seorang nabi yang juga tinggi ketaqwaannya). Selepas beberapa jauh perjalanan, barulah nabi Ibrahim melihat ke belakang, akan tetapi kelibat isteri dan anaknya sudah tidak kelihatan. Lantas baginda berdoa dan bertawakkal memohon Allah memelihara isteri dan anak yang ditinggalkannya itu. Itulah nabi Ibrahim a.s yang tidak mahu melayan rayuan isterinya yang tercinta kerana baginda sedar sebagai manusia, baginda juga boleh cair dengan pujuk rayu isterinya walaupun ketika melaksanakan perintah Allah ta'ala.

Itulah kisah bagaimana hebatnya nabi Ibrahim a.s menerima dan melaksanakan perintah Allah ta'ala Tuhan Pencipta Semesta Alam sehingga mendapat gelaran "Khalilullah" yang bermakna "yang dekat dengan Allah". Macam mana lah kita ni pulak dalam menerima dan melaksanakan sesuatu tuntutan dan perintah Allah? Pasti ada ketika-ketikanya kita cuba mengkompromi atau menjustifikasikan tindakan kita untuk tidak segera atau bahkan tidak mahu langsung menjunjung perintah Allah. Bagaimana tuntutan solat fardhu lima waktu, tuntutan mengeluarkan zakat, berpuasa, menutup aurat bagi lelaki apatah lagi menutup aurat bagi perempuan yang lebih besar had-hadnya, tuntutan muamalah dan pergaulan lelaki dan wanita? Bahkan yang lebih besar lagi tuntutan melaksanakan isi kandungan AL-Quran sepenuhnya? Semoga kisah ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s ini boleh membuka sedikit ruang keinsafan dalam diri kita sempena Idul Adha ini.

Dan ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun juga harus dilihat dari perspektif taqwa dan ketaatan kepada Allah. Benar firman Allah ta'ala dalam surah Al-Hajj ayat 37: "Dan bukanlah daging mahupun darah (haiwan qurban) itu yang sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai adalah ketaqwaan kamu kepada Allah"

Alhamdulillah malam sebelum hari raya idul adha, saya hubungi Ustaz Fauze Hussen yang mengetuai program qurban di Kemboja tahun ini (tahun ni saya tak pergi, dapatla beraya di Malaysia), beliau maklumkan penyertaan korban dah hampir mencecah ke 50 ekor lembu. Alhamdulillah, moga nilaian taqwa peserta-peserta korban kali ini akan meningkat di sisi Allah...Amiin

p/s: Moga majlis qurban dan perasmian masjid yang diusahakan oleh Muslimcare Malaysia di Kemboja berjalan lancar..

Dec 11, 2007

ini bukan budaya kita??

Maaf kerana lama tak update blog ini, terlalu banyak urusan lain yang menghambat walaupun banyak perkara yang ingin dikongsikan terutama sekali pengalaman bersama himpunan raksasa bersejarah 10 November 2007 lalu.

Siang tadi saya nak turun ke Parlimen Malaysia, dengan tujuan untuk bersama-sama BERSIH menyerahkan satu memorandum kepada Parlimen Malaysia bagi membantah pindaan Perlembagaan bagi menaikkan had umur bersara bagi penjawat SPR (termasuk Pengerusi SPR) dari 65 tahun kepada 66 tahun. Tapi rupanya di zaman sekarang ni sebagai rakyat Malaysia pun bukan senang nak ke Parlimen ye, banyak betul polis buat roadblock, habis KL sesak dibuatnya. Tambah pula tu ada court order menghalang orang ramai ke Parlimen dan kawasan sekitarnya, subjektif betul perintah ni.

Disebabkan halangan polis yang terlalu ketat, saya dan sekumpulan peserta himpunan lagi hanya dapat sampai ke bulatan di hadapan Bank Rakyat/Bank Negara saja (jauh betul sekatan dibuat) dan di sini kami diarahkan oleh polis untuk berundur dan bersurai. Oleh kerana kami ni adalah warganegara Malaysia yang cintakan keamanan dan datang dengan jaminan Perlembagaan Malaysia Perkara 10: Kebebasan Bercakap dan Berhimpun, maka kami menurut arahan polis tersebut.

Maka kami pun bersurai dan bergerak ke IPK Kuala Lumpur Jalan Hang Tuah setelah mendapat maklumat bahawa beberapa pimpinan telah ditahan di hadapan bangunan parlimen. Kami berjalan , ya berjalan seperti orang lain berjalan, seperti biasa, (tiada kekacauan, tiada slogan, tiada kain rentang, tiada apa-apa....ya tiada apa-apa, hanya berjalan sebagai seorang manusia), kami dihalang pula oleh sepasukan besar anggota polis di hadapan bangunan Bar Council. Polis tu suruh kami disperse, saya pun pelik apa dan bagaimana nak disperse, sedangkan kami sememangnya dalam mode disperse, bila ditanya balik, polis tu tak tau nak explain macam mana. Apela polis ni, bagila arahan yang meyakinkan sikit, ingat rakyat ni tak tau undang-undang ke?

Akhirnya kami (beberapa orang yang memakai baju kuning BERSIH termasuk ayahanda saya) diberikan arahan untuk "ditangkap". Wah hebat jugak aku hari ni jalan-jalan kat KL pun boleh kena tangkap polis. Dalam pada kami dah nak naik van polis untuk dibawa ke IPK KL tu, pegawai polis yang bagitau kami telah ditangkap tu ubah arahan pula (dapat arahan baru agaknya) melepaskan kami dan suruh kami balik....selamat pulak aku, kalau tidak duduk lokap la malam ni :) . Dan sebelum balik, saya sempat ke hadapan IPK KL sebagai solidariti kepada pimpinan yang ditangkap.

Dalam sehari dua ni tangkapan demi tangkapan dibuat terhadap pimpinan pembangkang, di samping untuk menghalang semua jenis himpunan berlangsung. Saya pun naik pelik dan boring dengan ungkapan "ini bukan budaya kita", lepas tu guna polis buat roadblock kat tengah KL, habis la sesak jawabnya. Yang menjadikan KL sesak bukan disebabkan himpunan, tapi disebabkan roadblock. Sepatutnya fikir cara dan kaedah nak handle dan izinkan himpunan aman BERSIH dijalankan tanpa mengganggu lalulintas, macam himpunan hari ni, saya ingat polis yang buat roadblock lebih banyak daripada peserta himpunan....hey protes dan himpunan ni satu dunia buat lah!

Kalau nak kata "ini bukan budaya kita", semak balik sejarah Malaysia...masa parti keris membantah Malayan Union sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dulu tu bukan demonstrasi ke, bukan himpunan ke tu dengan sepanduk, kanak-kanak, kaum ibu semua turun ke jalanraya. Kalau dah lupa takpelah, tapi yang tahun lepas, menantu PM kita pun turun demonstrasi juga ketika membantah kehadiran Setiausaha Negara AS, Condoleza Rice, itu lagi power punye demonstrasi...so macam mana ni, yang mana satu budaya kita yang mana satu bukan budaya kita ni? susahlah kalau ada double standard macam ni, kata nak jadi perdana menteri yang adil kepada semua rakyat, tapi susah nak terima perbezaan pendapat...

sekadar membuka minda, menyemak sejarah, berfikir kritis dan tidak mudah disogok dengan begitu mudah. Allah berfirman dalam surah Hujurat ayat 6: "Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"

p/s: doa selamat saya untuk Ustaz Nasrudin Tantawi dan semua pimpinan jemaah yang ditangkap siang tadi

Oct 9, 2007

Pecutan maksima di hujung Ramadhan

Hari minggu lepas adalah hari minggu terakhir dalam bulan Ramadhan sebelum Syawal menjelang. Maka semua orang sibuk untuk menyelesaikan urusan keperluan mereka sebelum hari raya aidil fitri menjelang. Ketika ke pejabat mtd melalui pasaraya Giant Taman Permata, suasana cukup sibuk dengan orang ramai berpusu-pusu membeli-belah barangan persiapan untuk menyambut lebaran.

Namun aktiviti hujung minggu lepas saya cukup padat dan agak memenatkan. Tetapi bukan pergi membeli-belah persiapan untuk beraya, tapi melaksanakan kerja dakwah dan amanah orang-orang 'kaya' yang pemurah sempena penghujung Ramadhan ini untuk melaksanakan amal jariah mereka.

Seawal pagi lagi saya menemani ayahanda untuk ekspedisi edaran risalah dakwah penerangan di tengah kotaraya. Sasaran kami ialah orang ramai di hentian Putra dan hentian Puduraya, kami berpecah kepada dua kumpulan; hentian Puduraya diketuai Hj Mahfuz Omar dan hentian Putra diketuai ayah sendiri. Setiap inci hentian Putra kami bergerak dan tidak seorang pun yang tidak menerima risalah dakwah kami, bahkan yang di atas bas pun kami sampaikan (saspen juga kalau tiba-tiba bas terus berlepas pula)

Selesai edaran risalah, saya terus ke pejabat mtd untuk menyiapkan bungkusan kurma dan risalah untuk diedarkan kepada orang ramai di pasaraya Giant Taman Permata. Namun disebabkan kesuntukan masa, saya terpaksa beredar pula ke Gombak untuk satu lagi acara tanpa sempat menyertai rakan-rakan untuk mengedarkan bungkusan kurma tersebut. Program inilah yang utama pada hari itu, iaitu ziarah dan memberi sumbangan kepada orang-orang Asli Islam di Penempatan Orang Asli Batu 12 Gombak.

Dengan 60 bungkusan beras di dalam kereta, serta beberapa barangan keperluan lain seperti gula, tepung, telekung dan buku asas fardhu ain, saya serta beberapa orang ustaz2 dari FORKAD menuju ke destinasi kami di Batu 12 Gombak. Kedatangan kami disambut mesra beberapa orang penduduk di situ. Selesai membungkus barangan keperluan untuk diagihkan itu, kami mendaki pula bukit sejauh hampir 300 meter untuk sampai ke surau tempat berhimpun masyarakat Islam di situ.

Dalam kesempatan solat Zuhur berjamaah di situ, agak menyedihkan kerana tidak ramai yang menyertai kami menunaikan solat berbanding bilangan yang datang menyambut kami sebelumnya. Bahkan dalam ucapan yang diberikan oleh Tok Batin penempatan itu, beliau turut berharap badan-badan sukarelawan tampil untuk melakukan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat orang Asli di situ. Walaupun beliau sebut yang JAIS dan JAKIM ada datang untuk mengajar, tapi ia masih tak mencukupi dan beliau juga penuh harap meminta kerja dakwah dapat sampai kepada masyarakat Islam di situ.

Selesai menyampaikan sumbangan kepada penduduk di situ, rombongan kami pulang dengan seribu satu harapan untuk menggerakkan lagi kerja dakwah ini sehingga dapat sedikit sebanyak membantu saudara seIslam di penempatan orang Asli itu. Lihat, siapa kata aktiviti parti politik Islam hanyalah bermotifkan politik kepartian semata, bahkan usaha yang dibuat lebih luas lagi meliputi kerja-kerja dakwah, kebajikan dan amar makruf nahi munkar atas nama gerakan Islam!
Album ziarah ke penempatan orang Asli

Destinasi dan acara akhir saya pada hari itu adalah kembali ke pejabat mtd. Petang itu ada satu majlis menyampaikan sumbangan aidil fitri kepada orang-orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim sekitar kawasan hulu kelang. Saya cukup kagum melihat orang yang bermurah hati untuk menyumbang ini adalah dari sebuah keluarga Cina Muslim. Ya mereka menjalankan perniagaan keluarga, dan mereka mempunyai sebuah Yayasan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini, namun kemahuan untuk menyumbang dalam jumlah yang besar seperti ini adalah suatu yang bukan mudah untuk dilakukan.

Dengan acara itu selesai sudah program di hujung minggu terakhir dalam Ramadhan tahun ini. Masing-masing cuba melakukan pecutan akhir di penghujung Ramadhan ini. Dan dengan baki 3 hari lagi Ramadhan, marilah kita sama-sama melipat gandakan usaha kita memburu lailatul qadar serta menjamin pembebasan dari api neraka yang Allah janjikan. Dan ada dalam satu hadith, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengaminkan doa Jibril A.S yang mendoakan neraka sebagai tempat bagi orang-orang yang berlalunya Ramadhan tetapi dosanya tidak diampunkan Allah...wal'iyazubillah mohon kita dijauhkan daripada golongan ini.

Sep 30, 2007

Drama klip video menjadi semakin menarik

Ini adalah klip video VK Lingam on phone with Ahmad Fairuz yang diperkatakan ketika ini, melibatkan krisis kehakiman negara. Saya fikir wajar untuk seluruh rakyat Malaysia menontonnya supaya kita tahu apa yang sedang berlaku.

Walaupun sepengetahuan saya, berdasarkan pembacaan dan penceritaan orang-orang yang lebih arif tentang sejarah negara ini, krisis kehakiman berlaku sejak kes pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas pada tahun 1988 oleh satu tribunal. Tapi dengan kehadiran bukti dalam bentuk video sebegini, ia pasti tambah memberi keyakinan kepada orang ramai akan kebenaran berlakunya krisis dalam bidang kehakiman ini.

Jika kita membaca akhbar The Star hari ini, dalam ruangan pandangan bertajuk Weighing state of the judiciary, 3 orang bekas hakim telah ditemuramah untuk memberi komen berkenaan isu krisis kehakiman di negara ini. Saya tertarik dengan beberapa pandangan mereka
Datuk K.C. Vohrah: Judges should not be cowed by superior judges if their directions are not consonant with the principles of justice
Datuk Shaik Daud Ismail: We have many cases where seniors and seniors with merit are not promoted but juniors without merit are
Datuk V.C. George: If you appoint the right people, You don’t need some code to tell them how to behave

Dan dalam kesimpulan akhir, semua ketiga-tiga bekas hakim ini menyokong penuh satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu ini, suatu yang diperlekeh dan 'ditentang' oleh kesemua pimpinan kerajaan hadhari hari ini.

Berkenaan klip video itu, Anwar Ibrahim dalam ceramahnya semalam memberitahu baki klip video yang masih belum didedahkan itu akan didedahkan apabila tiba masanya. Dan beliau juga memberi sedikit hint tentang kandungan baki video itu sememangnya dengan jelas menyebut nama Ahmad Fairuz Abd Halim (Ketua Hakim Negara) sebagai orang yang sedang berbual di dalam telefon dengan peguam Lingam itu.

Nampaknya episod ini semakin menarik, Anwar menerangkan skandal percaturan hakim dan kaitannya dengan taikun-taikun judi di negara ini dan bagaimana percaturan di dalam perbualan telefon itu benar-benar menjadi realiti dengan akhirnya Ahmad Fairuz dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dalam tempoh 6 bulan seperti yang diaturkan.

Sebagai seorang warganegara,
dengan pengakuan-pengakuan bekas-bekas hakim yang arif dalam bidang kehakiman serta fakta-fakta kes yang jelas, saya amat berharap isu ini disiasat seadilnya, jangan akhirnya ia disapu di bawah permaidani dan rakyat terus diperbodohkan lagi. Dan Malaysiaku terus Gemilang....

Sep 29, 2007

Al-Quran, Tazkirah dan Ramadhan

Hari ini sudah masuk hari yang ke-17 Ramadhan. Pada hari inilah Al-Quran diturunkan, maka banyaklah acara-acara Nuzul Al-Quran diadakan di merata tempat, surau-surau, masjid-masjid, sekolah-sekolah, dewan-dewan dan di mana-mana saja.

Nuzul Al-Quran itu diturunkan Al-Quran oleh Allah ta'ala kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril as. Ayat 1-5 dari surah Al-'Alaq itu diturunkan:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Mahamulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka Al-Quran menjadi kitab suci umat Islam. Di dalamnya terkandung segala macam isi kandungan, sirah, sejarah, hukum, perundangan dan segalanya yang melengkapi aspek kehidupan. Bukankah Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang membawa pengertian kepada kita, dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnahnya, kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Di sini, di negara ini saban tahun Musabaqah Tilawah Al-Quran diadakan. Namun hanya bacaan Al-Quran diperdengarkan, isi kandungan Al-Quran tidak pula diambil hukum dan pengajarannya. Saya fikir memang itu sahaja taraf Al-Quran di sini, di negara ini. Setiap hari ketika saya menjamah sahur di bulan Ramadhan ini, peti televisen akan menontonkan pembaca-pembaca Al-Quran sedang membaca Al-Quran, ya memang lunak dan merdu bacaan mereka.

Di satu sisi yang lain, di negeri saya, Selangor Negeri Maju, pak menteri besarnya menghalang tazkirah diberikan di masjid-masjid ketika waktu terawih. Alasannya ialah jangan diganggu umat Islam di Selangor Negeri Maju untuk beribadah (yakni solat terawih). Adakah ibadah itu hanya solat terawih? Bukankah menuntut ilmu, mendengar tazkirah peringatan itu juga satu ibadah? Ini satu lagi takrifan sempit daripada pak menteri besar kita.

Sesungguhnya tazkirah itu suatu yang bermanfaat, umat Islam lemah dan lalai kerana tiada tazkirah dan peringatan. Buka Al-Quran surah Al-A'la ayat 9-12:
Oleh sebab itu berikanlah peringatan(tazkirah), kerana peringatan itu bermanfaat. Orang yang takut (kepada ALlah) akan mendapat pelajaran. Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya. (Iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)
Hebat bukan Al-Quran? Lihatlah sendiri apa janji Allah kepada orang-orang yang menjauhi tazkirah....inikan pula orang yang menghalang tazkirah...wal'iyazubillah

Sepatutnya benarkan sajalah tazkirah diadakan di surau-surau atau di masjid-masjid di Selangor Negeri Maju ini, jangan ganggu orang yang dah ke masjid-surau ni. Tu di luar sana, berapa lambak lagi orang Islam yang tak berpuasa, yang malam-malam Ramadhannya dihabiskan dengan arak, judi, pub, maksiat? Mengapa tak disibukkan arahan untuk membanteras aktiviti-aktiviti maksiat ini, masjid-surau pula menjadi mangsa....

Fasa kedua Ramadhan (maghfirah Allah) sudah ke penghujung, fasa ketiga (pembebasan dari api neraka) akan menjelang. Mari kita tambah kelajuan amalan kita di bulan Ramadhan ini...Allah berkatilah kami di bulan Ramadhan ini!

Antara himpunan merah dan hitam putih

Nun di bumi Burma (Myanmar nama barunya) kita melihat ratusan ribu orang-orang berbaju merah dan oren berjalan sepanjang-panjang jalan di kota Yangon itu. Tidak berkasut, tidak berselipar, meredah hujan dan panas, mereka tetap terus berjalan. Berjalan dengan aman, berjalan tanda protes. Ya bumi Burma itu sudah lama mati demokrasinya, semua orang tahu dan kenal nama Aung San Suu Kyi, dulu dia dan pengikutnya saja yang menentang pemerintah tentera, namun hari ini orang-orang berbaju merah dan oren turut sama bangkit menentang.

Asalnya himpunan itu tenang-tenang saja, juak tentera pun tak berapa ambil pusing, berlakulah ia dengan aman dan high-profile sekali di seluruh dunia. Tapi bila himpunan itu sudah semakin besar, orang-orang yang tidak berbaju merah dan oren pun sudah ikut sekali, juak tentera mula bertindak. Himpunan aman disurai dengan ganas, peluru hidup...ya PELURU HIDUP digunakan untuk menyuraikan himpunan. Maka ramailah hingga ke hari ini yang menjadi korban.

Dan ketika itu jugalah pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma ini untuk menangani masalah dan bantahan ini dengan bijak sambil terus mengecam juak tentera Burma untuk mengembalikan demokrasi di sana

Beberapa hari lepas, saya berkesempatan pula menyertai ribuan orang berbaju hitam putih di bumi saya sendiri, bumi Malaysia. Himpunan dan perarakan dari Palace of Justice ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Atas nama "Walk for Justice", orang-orang berbaju hitam putih ini menyatakan reaksi mereka terhadap institusi kehakiman yang mereka dokong selama ini. Ya klip video perbualan seorang peguam dengan seorang hakim kanan itu yang membuatkan mereka berhimpun.

Dalam perjalanan ke sana, jalan-jalan utama ke Kompleks Kerajaan telah ditutup, maka berlakulah kesesakan lalulintas yang selama ini saya fikir tidak pernah berlaku di pusat pemerintahan kerajaan Malaysia itu. Ditambah pula dengan orang-orang bertopi merah lengkap bersenjata berkawal seolah-olah satu peperangan akan meletus. Nampak sangat takut dengan bayang-bayang sendiri.

Terdetik seketika, dalam masa sama pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma untuk mengizinkan demokrasi di sana, di negaranya sendiri kalau tidak seteruk Burma pun, namun masih dihalang-halang demokrasi itu berjalan dengan baik. Juga sehari sebelum himpunan ini, seorang pak menteri terus menghentam dan menyamakan orang-orang berbaju hitam putih yang berhimpun dan menyatakan pandangan mereka ini sebagai pembangkang...

Hmm saya fikir, setakat ini sahaja kah tahap pemikiran dan kefahaman demokrasi pak-pak menteri kita di negara ini? Kalau begitu memang saya tak hairanlah dalam Indeks Demokrasi tahun lepas, Malaysia diletak dalam kategori negara yang mengamalkan demokrasi yang cacat, bahkan rankingnya lebih teruk daripada Bangladesh, Indonesia mahupun Mongolia! Aduh, Malaysiaku Gemilang....

Album himpunan berbaju hitam putih

Sep 15, 2007

anak itu bernama Insyirah - lahir 8 september

Alhamdulillah semuanya selamat untuk isteri saya melahirkan anak sulung kami...ya seorang bayi perempuan seberat 2.83 kg di Hospital Bersalin Kuala Lumpur jam 8.25 pagi 8 September 2007 lepas.

Dan alhamdulillah semalam sudah hari ke-7, anak itu sudah diaqiqahkan dengan seekor kambing, diberi nama...namanya Insyirah bt Muthanna...dan sebahagian kepalanya sudah dicukur, aduh tak larat abinya nak menggondolkan kepala Insyirah dalam satu masa...
lagi gambar Insyirah di Album Insyirah

Tika ini Insyirah masih lagi kuning dan harapnya sehari dua ni kuranglah kuning dia dan biar sihat sikit. Umminya pula alhamdulillah perlahan-lahan nak pulih selepas bersalin. Hmm pengalaman di dalam bilik bersalin? Dari jam 3 pagi hingga saat lahirnya Insyirah jam 8.25 pagi hari 8 September lepas, huh memang suatu pengalaman baru...

Pengalaman itu tak mampu diterjemah dengan kata-kata, ia satu pengalaman agung lagi membawa insaf yang bukan kepalang...bila ditanya, saya hanya mampu mengungkap kata 'POWER', apa yang power, hmm mmg tak terungkap dengan kata-kata...moga Allah rahmati kami sekeluarga....

Aug 30, 2007

Menjelang 31 Ogos 2007

Tak berapa lama saja lagi, tarikh 31 Ogos 2007 akan menjelang. Tarikh ni sejak setahun ni didendang dengan secukup-cukupnya di seluruh negara, sebabnya pada tarikh itulah genapnya 50 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan dari cengkaman penjajah. Di mana-mana bangunan dan tiang-tiang lampu telah tergantung banner dan bunting memaparkan angka 50 beserta potret 5 orang Perdana Menteri Malaysia sejak merdeka sehingga ke hari ini.

Sambutan kemerdekaan kali ini pasti dan sememangnya suatu yang luar biasa bahkan juga suatu yang extravaganza. Dan yang paling famous sekarang ini ialah pandangan masyarakat tentang erti kemerdekaan...dan jawapan yang stereotaip yang boleh kita dengar ialah, "...merdeka...bebas daripada penjajah..". Dan 2 hari lepas selepas balik kerja, saya secara tidak sengaja tertarik dengan satu dokumentari di salah satu saluran TV tentang kemerdekaan. Antara lain dokumentari itu banyak mempersoalkan sejauh mana penghayatan rakyat Malaysia terhadap erti kemerdekaan, adakah hanya dengan meraikan sambutannya pada setiap tahun? Bukan itu sahaja, sambutan itu pula adalah berbentuk hiburan semata-mata yang jauh daripada matlamat asal untuk penghayatan kemerdekaan itu sendiri, dan juga 'kononnya' jauh daripada hasrat pemimpin negara hadhari ini yang mahukan rakyat memahami erti sebenar kemerdekaan.

Pada saya penerbit rancangan dokumentari ini agak 'celaru' dan tidak mampu untuk sekurang-kurangnya mempersoalkan peranan pemerintah itu sendiri dalam menghala pemikiran dan kefahaman rakyat ke arah yang lebih tepat. Tidakkah boleh kita melihat punca permasalahan itu dari atas, orang-orang yang membenar dan menggalakkan budaya sebegini?

Kecelaruan sebegitu mungkin hasil usaha gigih pemimpin hadhari yang dengan angkuh cuba menidakkan sejarah kemerdekaan itu sendiri. Yang ditonjolkan hanyalah parti keris yang berjuang untuk kemerdekaan. Yang ditonjolkan perjuangan kemerdekaan hanya bermula ketika penentangan terhadap Malayan Union bermula. Yang ditonjolkan perjuangan kemerdekaan itu hanya apabila Tunku Abd Rahman berjaya mendapat persetujuan kemerdekaan dari British. Walhal perjuangan kemerdekaan itu bermula lebih awal daripada itu, sebelum parti keris itu wujud lagi. Di mana nama-nama yang kita belajar ketika nak ambil PMR dulu seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Hj Abd Rahman Limbong, Mat Kilau, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi...dan yang dekat lagi seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Prof Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Pak Sako dan ramai lagi. Kalau bukan atas nama kemerdekaan, atas nama apakah mereka ini berjuang?

Bahkan slogan parti keris ketika ditubuhkan hanyalah 'hidup melayu', langsung berbeza dengan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan lebih awal daripada parti keris dengan slogan "MERDEKA". Adakah mereka yang selain dari parti keris ini berjuang bukan untuk kemerdekaan? Saya cukup mual dengan 'fakta-fakta' sejarah yang cuba dipesongkan oleh pemimpin hadhari ini.

Sejarah perlu diperbetulkan. Tokoh akademik yang berautoriti dalam bidang sejarah negara ini perlu diberi ruang membetulkan kembali fakta sejarah ini. Semua pihak perlu diberi kredit atas sumbangan mereka dalam pembentukan negara Malaysia merdeka ini dan bukan hanya dimonopoli oleh orang-orang parti keris sahaja. Dari situlah kita akan berjaya membina sebuah bangsa merdeka dengan minda kelas pertama

Merdeka fizikal daripada penjajah, merdeka minda dan pemikiran, bebas menyuarakan hak dan pandangan, bebas daripada undang-undang rimba tinggalan penjajah, bersama kita membina jiwa merdeka. Jom teman-teman semua bersama Ekspedisi Dakwah edar risalah ke Dataran Merdeka petang 30 Ogos 2007. Kita bersama mengajak masyarakat kembali kepada Tuhan!

Dan dalam keheningan malam ini, debar hati saya terus memuncak, bila-bila masa saja lagi saya akan bergelar seorang ayah? Moga Allah meringankan beban isteri saya menanti saat kelahiran ini....

Aug 8, 2007

Hasan Al-Banna & 5 Mursyid Pewaris Perjuangan

Sejak tahun 1928 hingga kini, termasuk Hasan Al-Banna sebagai Mursyid Al-Am yang pertama, Ikhwan Muslimun telah memiliki tujuh orang Mursyid Al-Am.

Buku ini mengisahkan enam dari mereka yang telah pergi meninggalkan kita dengan rekod perjuangan yang amat menakjubkan.

Enam orang Mursyid Al-Am tersebut adalah:

· Hasan Al-Banna

· Hasan Al-Hudhaibi

· Umar At-Tilmisani

· Muhammad Hamid Abu Nasr

· Mustafa Masyhur

· Mamoun Al-Hudhaibi

Ikhwan Muslimun telah berdepan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi daripada rejim yang rakuskan kuasa dengan satu sahaja tujuan iaitu untuk menghapuskannya dari muka bumi.

Ratusan ribu lagi anggota Ikhwan dibunuh, diseksa dan dipenjarakan bertahun-tahun lamanya.

Berada di puncak ketabahan dan istiqamah tersebut adalah para Mursyid Al-Am Ikhwan Muslimun.

Buku ini pasti mampu menyuntik semangat perjuangan yang padu bagi aktivis gerakan Islam hari ini.

--

Tajuk : Hasan Al-Banna & 5 Mursyid Pewaris Perjuangan

Penulis : Saari Sungib

Harga : RM13 (termasuk kos penghantaran melalui pos)

Sila hubungi saya di talian 019-2676625 untuk pesanan. Stok terhad!!

Jul 7, 2007

3 hari memuhasabah diri di hospital

Alhamdulillah bengkak dah makin surut, rasa berdenyut dan ngilu juga dah makin kurang. Hmm bagus juga bila dah lama tak sakit-sakit ni, bila sakit baru kita sedar yang lemahnya diri ini. 3 hari duduk kat Hospital Kuala Lumpur, bukan sakit apa, cuma kena tahan wad untuk buat operation buang 4 batang gigi geraham bongsu yang makin lama makin menyengat sakitnya.

Dan Alhamdulillah pembedahan pada 2 Julai lepas berjalan lancar, saspen juga bila nak kena bius dengan general anaesthetic ni, ada juga kes bius yang overdose sampai koma dan terus meninggal. Kesan bius tu masih terasa sikit-sikit, selain rasa sakit pada gigi yang kena operate tu, tapi insya-Allah lepas ni sakit gigi ni tak ganggu lagi dah harapnya.

Sepanjang 3 hari saya di HKL, duduk di wad rakyat marhaen, pilu juga melihat betapa ramai lagi orang yang dihimpit masalah kesihatan. Tambahan pula wad13 tu memang khas wad pembedahan (sebab lokasinya berdekatan dengan main operation theatre) memang ramai pesakit yang keluar masuk wad untuk menjalani pembedahan. Bila melihat penderitaan orang lain, barulah kita sedar yang ujian dan penderitaan kesakitan yang kita hadapi ini taklah seteruk orang lain. Bukankah satu tarbiyah yang baik itu ialah melawat orang yang sakit di hospital?

Teringat kembali ketika saya dimasukkan ke hospital pada tahun 2002 lalu akibat dehydration (atas kempen mogok lapar solidariti tahanan ISA - termasuk ayah saya) ada seorang ustaz datang melawat sambil memberi tazkirah dan menyatakan yang dia sememangnya memperuntukkan sedikit masanya dalam seminggu untuk ziarah orang sakit.

Hmm sakit-sakit begini, teringat saya pesan Nabi SAW, "Ingat 5 sebelum 5.....masa sihat sebelum sakit" Ya saya akan sentiasa memanfaatkan masa sihat sebelum sakit. Lihatlah apa yang diperolehi jika sakit, 3 hari di hospital, lepas tu 4-5 hari pula nak pulih sedikit dari kesan sakit tu. Akhirnya amanah yang ditanggung tak tertunai, pohon maaf kepada sahabat-sahabat di atas kelewatan mengkoordinasi informasi untuk program Ekspedisi Dakwah ke Sg Lima dan Pulau Ketam pada esok hari, ditambah pula dengan pertembungan dengan program seminar jentera pilihanraya pemuda selangor, mudah-mudahan ada yang ke ekspedisi dakwah dan ada yang ke Melewar. Allah rahmati kita semua....

Jun 28, 2007

Ayuh ke himpunan umat Islam Jumaat ini!

** dipetik dari Harakahdaily. Jom kita solat Jumaat di Masjid Tabung Haji esok dan berarak ke Kedutaan AS sesudah selesai solat..ALLAHUAKBAR!!

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Hrkh) - Kerajaan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merampas kabinet Hamas, sedangkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Ismail Haniyeh itu adalah pilihan rakyat yang sah pada pilihan raya Palestin.

Justeru, ayuh! Umat Islam diseru beramai-ramai membantah kebiadapan Fatah itu dengan menyatakan sokongan terhadap Hamas pada 29 Jun ini, selepas solat Jumaat.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, NGO-NGO, dan mahasiswa Islam itu akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika, Jalan Ampang.

Kepada para pencinta kebenaran, anda diminta menyatakan bantahan atas tindakan Fatah, di samping menyatakan sokongan kepada Hamas sebagai sebuah kerajaan yang sah.

Jun 25, 2007

Permaisuri hatiku...

Permaisuri Hatiku (Hijjaz)

Di antara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan pekerti yang tinggi
Indahnya perhiasan duniawi

Di antara diriku jua dirimu
Hanya mengharap cinta yang satu
Ku binakan mahligai impian mu
Oh sayang ikhlaskanlah hati mu

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal
Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Ilahi

Benarlah! cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian di dunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga

Kau permaisuri di hatiku
Di dunia ini kau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku cuba akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih
Meniti hari

Semoga kita dapat bersama
Sampai kepadanya
Di syurga sana

Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hatiku
Untuk menemani
Dalam menggapai cintamu


**ditujukan khusus untuk isteriku, Nur Nadiah sempena Ulangtahun Pertama Perkahwinan kami....moga Allah memberkati kami dan mengurniakan kami sebuah Baitul Muslim yang berkekalan ke akhirnya

Jun 24, 2007

Bertekad untuk menang!

Merakyat perjuangan melalui fokus menjadi "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" adalah satu agenda yang paling banyak menarik perhatian dan minat saya. Fokus yang dicernakan dalam sidang muktamar baru-baru ini oleh YB Salahudin sememangnya suatu fokus yang patut diagendakan dalam gerakerja jemaah. Meliputi ruang lingkup dakwah beserta medan siasah, title "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" ini sebenarnya bukanlah suatu kerja yang mudah, bahkan ia menuntut lebih banyak komitmen.

Bercakap soal dakwah ini, saya tertarik untuk memetik sedikit kandungan buku "Jalan ke Hati" karangan al-Ustaz Abbas Assisi, "Para pendakwah hari ini perlu ada kepintaran dan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk berhadapan dengan masyarakat manusia yang semakin hari semakin bijak. Cabaran sengit itu sepatutnya menjadi pendorong yang kuat kepada setiap individu muslim yang mahu menjalankan dakwah agar bunga-bunga keberhasilan dari dipetik dan dihiaskan di persada dunia. Walau apa cara sekalipun yang digunakan namun setiap usaha dakwah yang dilakukan itu tidak akan berjaya dengan sempurna jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan kepasrahan kepada Tuhan Yang Maha Esa"

Manakala kisah sahabat dalam membela Islam dan Nabi SAW pula boleh dilihat dalam persitiwa pengIslaman Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi SAW. Yang mana sewaktu beliau baru pulang dari berburu tiba-tiba ada orang memberitahunya: "Abu Jahal mengutuk anak saudaramu Muhammad semasa baginda sedang duduk di tepi Kaabah" Beliau terus pergi ke Kaabah lalu mencekup kepala Abu Jahal dan berkata:"Bagaimana kamu berani mengutuk Muhammad sedangkan aku berada di pihak agamanya?. Kemudian beliau pun berkata: "Aku masuk Islam"

Bertekad untuk menang memerlukan komitmen yang tinggi dan juga strategi yang ulung. Yang penting ialah kita terus bekerja dan bekerja untuk kemenangan Islam. Bekerja bukan sebarang kerja, tapi seperti yang disebut, bekerja dengan strategi yang ulung, kerana kita bertekad untuk menang. Yakinlah di akhirat kelak, Allah tidak akan menyoal mengapa kita tidak menang-menang, kerana urusan kemenangan itu semuanya milik Allah, tapi Allah akan bertanya mengapa kita tidak berjuang, mengapa kita tidak bekerja untuk mencapai kemenangan tersebut.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu" (Muhammad:7)
Ini pula pesan yang cukup membekas daripada Al-Fadhil Ustaz Nasharuddin Mat Isa tatkala mengungkap ayat di atas dalam satu liqa' baru-baru ini. Ayat motivasi untuk para amilin dan murabitun supaya memahami maksud sebenar ayat ini di mana agama Allah ini tidak perlukan kita untuk menolongnya, kerana Allah yang memelihara agamanya...akan tetapi untuk kita sebagai hamba yang lemah ini ditolong Allah, maka wajiblah untuk kita terus menolong agama Allah...Wallahu A'lam

Moga Allah rahmati dan maqbulkan tekad kami untuk menang....

May 14, 2007

Memberi makna dalam perjuangan

Tatkala Rasulullah menawarkan kepada para sahabat untuk membunuh seorang Yahudi bernama Kaab bin Asraf, semua para sahabat di dalam masjid dalam pertemuan itu berebut-rebut pengen untuk melaksanakan task itu. Namun begitu akhirnya seorang sahabat bernama Muhammad bin Maslamah yang telah dipilih oleh baginda Ar-Rasul SAW dan seterusnya beliau tidak menyia-nyiakan kepercayaan Rasulullah SAW itu dan menyelesaikan misi tersebut dengan jayanya.

Itulah pesanan awal yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam program Ijtima' PAS Selangor di KOMPAS Tg Karang pada 24 Rabi'ul Akhir 1428 lepas. Jika semangat para sahabat sebegitu dapat diterapkan di dalam jiwa raga ahli jemaah, menyuburkan kembali konsep jihad dan syahid di dalam kehidupan seharian, Insya-Allah individu-individu yang dilahirkan upaya menguatkan jemaah. Dengan perkembangan semasa, konsep jihad yang sepatutnya menjiwai setiap seorang muslim kini sering disalah tanggap sebagai penyubur amalan keganasan dan terorisme yang kini sering dilabel terhadap dunia Muslim belakangan ini.

Dan kini fenomena Islamophobia yang melanda seluruh duni terus mengaitkan Islam dengan keganasan, sehingga kini lebih 30 orang masih ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka dituduh terlibat dalam kegiatan kumpulan 'Jemaah Islamiyyah' yang dituduh mengancam keselamatan negara. Tapi yang ada hanyalah tuduhan, tiada bukti, tiada perbicaraan, tiada hakim dan tiada mahkamah yang telah mengadili mereka yang sehingga kini sudah lebih 5 tahun merengkok ditahan. Penahanan mereka ini semata-mata untuk menjustifikasi kehendak Amerika Syarikat dan Presidennya, Bush yang menyatakan terdapat beratus-ratus teroris di Malaysia/Indonesia. Sah mereka yang ditahan ini teraniaya menunggu saban hari bilakah akan dibebaskan, namun yang tiba hanyalah perintah tahanan yang disambung lagi 2 tahun. Manakala para isteri dan anak-anak pula menanggung sengsara mengurus kehidupan seharian tanpa ketua keluarga di sisi....

Dan yang nak ku kongsikan adalah ucapan penggulungan PJ, Dr Hassan Ali yang bagiku amat menarik sekali ungkapannya ini, "Marilah kita memberi makna dalam perjuangan ini". Yang secara jujurnya mengajak kita-kita yang menggelarkan diri ini sebagai pejuang/da'ie/pendakwah ini untuk memberi dan menyumbang sesuatu yang bermakna dalam perjuangan ini. Sekurang-kurangnya ada saham kita dalam perjuangan ini dan dapatlah kiranya ia 'diungkit' kelak di akhirat di hadapan Yang Maha Esa Azzawajalla......Insya-Allah

Apr 30, 2007

2 hari lagi di Kulim

Hari ni 30 April 2007, tak sampai 2 hari lagi aku akan berada di Kulim. Tak sedar masa berlalu, dah hampir 2 tahun aku bermastautin di Kulim/Padang Serai ni. Dan lepas mesyuarat agung kawasan pada 1 Mei di Sg Badak nanti, aku akan balik ke Selangor.

Mungkin ini sedikit coretan akhirku di Kulim mengimbau beberapa kenangan pahit dan manis sepanjang berada di negeri Kedah Jelapang Padi ini, walaupun Kulim ni lebih dikenali dengan kawasan perindustrian daripada pertanian.

Perkenalanku dengan Zamir apabila aku masuk menyewa dalam rumah sewa dia merupakan satu anugerah yang Allah kurniakan buatku. Tak terkata syukurku pada-Nya sebab mentaqdirkanku bertemu Zamir. Dari situ bermulalah apa yang memang ku impikan, iaitu untuk bersama-sama terlibat dalam gerakan Islam ini. Dari situ aku berkenalan pula dengan sahabat-sahabat DPPKPS seperti Arzahari, Badrol, Tolib, Azwan, Yahya, Nasri, Cikgu Lan, Asmady, Abg Zan, Rizal, Firdaus, Zulkarnain, Pon dan banyak lagi yang tak mampu ku sebut namanya satu persatu. Dan dari sini jugalah aku mula mengenali sahabat2 di peringkat Kawasan dan juga di Dewan Muslimat.

Bukan mendamba sebarang jawatan, pelantikan sebagai AJK DPPKPS itu ku terima dengan tekad untuk memberi yang terbaik dan memajukan jemaah. Tatkala aku baru nak berjinak-jinak dengan tugasan yang diberi serta baru nak membiasakan diri dengan sahabat-sahabat, panggilan kerja ke US selama 3 bulan merencatkan perancanganku. Setelah 3 bulan 'bercuti', aku pulang ke Kulim dengan harapan yang tinggi untuk berkhidmat sebanyak mungkin untuk jemaah.

Kurang lebih setahun aku cuba melaksanakan amanah yang tertanggung di bahu ini, dan dalam setahun ni banyak support dan dokongan yang aku dapat dari sahabat2 terutamanya dengan akhi Azwan yang alhamdulillah dah pulih daripada sakitnya. Ukhuwwah yang terjalin antara kami ni takkan aku lupakan. Khas untuk akhi Azwan, moga usaha gigih diteruskan, ana doakan kejayaan enta dalam semua lapangan hidup, Insya-Allah. Alhamdulillah pada 14 April 2007 lalu, aku tamatkan amanah lantikan ini semasa mesyuarat agung yang lalu. Aku doakan sahabat-sahabat sekalian dapat meneruskan usaha dakwah yang murni ini untuk kemenangan Islam dan keadilan di bumi Malaysia dan khususnya di kawasan Padang Serai ini.

Insya-Allah aku akan terus berkhidmat dan bergiat di lapangan ini di Selangor tanah tumpah darah ku pula. Sesungguhnya Padang Serai - Lunas - Merbau Pulas inilah tempat aku menimba pengalaman pertama dalam medan ini. Banyak lagi yang harus ku pelajari, moga-moga aku akan terus dapat bertemu kalian dalam mana-mana kesempatan yang akan datang.

Ya Allah jadikanlah pertemuan kami ini pertemuan yang dirahmati
Dan perpisahan kami selepas ini perpisahan yang terpelihara
Amiin...

Last day in Intel

Tanggal 27 April 2007 lalu aku meninggalkan Intel Kulim setelah hampir 2 tahun menimba pengalaman bekerja di situ.



Pengalaman hampir 2 tahun di sebuah syarikat multi-nasional seperti Intel ini banyak mengajarku pelbagai sisi sama ada aspek teknikal, teknologi, pengurusan, komunikasi dan sebagainya. Peluang berurusan dengan manusia dari seluruh dunia; Filipina, China, Costa Rica, Amerika, India memang satu pengalaman yang cukup berharga buat diriku ini.

Bukan sahaja Intel yang terkenal di seluruh dunia sebagai pelopor teknologi perkomputeran telah membuka mataku sebesar-besarnya, bahkan budaya kerja di sini yang menuntutku mengerah sepenuh kudratku. Juga di sini aku dapat berinteraksi dengan kawan-kawan Cina dan India, membuatkan aku benar-benar menjadi seorang bangsa Malaysia. Kawan-kawan sekerja inilah yang menjadi pengubat di kala segala perasaan 'down', geram, sakit hati dan sebagainya memuncak melayan kerenah customer di tempat kerja

Jika ditanya isteriku, pasti banyak yang kurang enak dengan tempat kerjaku ini. Apatah lagi ketika beliau baru berpindah ke sini, mmg banyak yang dilaluinya. Hingga Saiful Bakri sahabat kerjaku mencadangkan padaku agar Nadiah menulis sesuatu, dicadangkan tajuknya pula; "Pengalaman isteri seorang IT engineer". Aku tergelak sahaja mendengar, namun aku salut pada isteriku yang setia bersamaku selama aku di sini.

Tapi bagiku, suka dan dukaku akan sentiasa terpahat dalam memoriku dan akan sentiasa aktif menyegarkan memoriku sepertimana ligatnya processor "Conroe 2 Duo" yang pernah ku terlibat sama menghasilkannya satu ketika dulu...Terima kasih Intel!!

Kini 2 tahun berlalu, meninggalkan Intel dan sahabat sekerja bukan suatu yang mudah. Namun hidup kita harus diteruskan. Banyak lagi peluang di hadapan yang perlu dicapai, untuk ku kejar cita-citaku yang lebih tinggi. Moga hijrah ku ini merupakan suatu yang lebih baik untukku dan keluargaku serta yang lebih penting untuk agamaku. Bukankah kita ini diciptakan-Nya hanya untuk mengabdikan diri kepada-Nya? Hanya rahmat dan kasih-Nya kami dambakan....

Apr 23, 2007

Memorable Futsal

Sabtu lepas mungkin dikira buah penghabisan aku untuk sahabat-sahabat DPPKPS. Walaupun aku hanya bergelar bekas AJK DPPKPS, tapi aku ttp dipanggil untuk main futsal mewakili Padang Serai dlm Kejohanan Futsal Ukhuwwah Piala Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah kat Gemilang Futsal, Sg Lalang, Sg Petani.

Dan Alhamdulillah berhasil juga main hari tu walaupun penat-penat dan habis lenguh betis ni seharian main, fully utilized kot, Padang Serai menang johan!! Mmg seronok main, dengan Bro. Badrol sebagai goallie, Bro Rizal dan Ad main defend, dan aku dan Azizul plak main serang, kami main sampai jadi johan dengan 18 gol score dan hanya 1 gol bolos, itupun masa final bolos satu. Juga Pak Ya dan Bro Al-Dikki main sbg simpanan cum tukang sorak setia, di samping Tuan Tolib Ketua Pemuda yang sentiasa tercegat di luar court tengok anak buahnya main.

Rasa seronok tu mmg ada sbb at least dapatlah buh nama Padang Serai sbg Johan Futsal 2007. Insya-Allah ni bukti geng-geng pemuda AJK Padang Serai mmg sungguh2 pemuda lah sebab masih upaya nak main sampai jadi johan, walhal pasukan lawan ada lagi yg lebih muda belia dari kami...

Dan aku lihat event-event macam ni mmg baik diteruskan bak kata Ust Musaddak, jarang Pemuda keluar dari program berbentuk kuliah, dalam dewan, wacana dan sebagainya, kali ni biar kita bersukan pula. Sebab kalau tak salah aku, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna ada sebut tentang ciri pemuda yang mana tika di medan perang dialah panglima perang, tika di tikar solat dialah yang paling khusyu', tika di dewan kuliah dialah yang paling hebat berbahas dan tika di lapangan sukan, dia jugalah yang atlet....jadi alangkah bagusnya jika semua pemuda-pemuda penegak Islam mampu mempunyai versatility sebegini

Moga kerja buat Sabtu lepas ada membuahkan iman dan amal dalam kehidupan sehari-harian. Tahniah geng-geng Padang Serai..

Feb 22, 2007

Ribut kecil semalam...

Ribut kecil? Taufan kecil? Mungkin itu yang boleh ku gambarkan lepas balik dari kerja petang semalam. Hujan lebat jam 2.30 petang semalam ketika aku masih kat office tak pula memberi sebarang petanda kurang enak akan situasi sebenar di luar.

Fenomena pertama yang ku lihat ialah di sepanjang jalan di tapak pasar malam Tmn Selasih, dua batang pokok yang ku agak dah berusia ratusan tahun yang tumbang. Tumbang bukan sebarang tumbang, tapi dengan akar-akar yang masih mencengkam pada tar jalan raya juga terbungkah keluar.

Sampai pula di jalan rumahku, nampak 2-3 biji lori MPKK di tepi jalan, rupanya tengah menebang dahan-dahan pokok-pokok di sepanjang jalan yang patah. Habis penuh dahan-dahan pokok di tepi jalan.

Satu lagi yang menghairankan ialah kebanyakan rumah di sepanjang jalan tu, atap asbestosnya tercabut, melayang terbang ku kira!! Ada rumah yang habis atapnya berterbangan, ada rumah pula tingkapnya berderai dihentam asbestos yang berterbangan. Aku suspen jugak, kalau apa-apa jadi kat rumahku. Sampai depan rumah, nampak agak berserabut, ada sekeping asbestos di laman rumah dah berderai. Tengok pula di laman belakang, ada sekeping asbestos juga atas tanah yang berderai. Ku jingkit sikit kaki dan mendongak ke atas rumah, Alhamdulillah takde pula atap rumahku yang diterbangkan angin. Keadaan dalam rumah pun boleh tahan, debu habuk semua masuk, barang-barang berdekatan tingkap pun habis berselerak.

Bila tanya jiran sebelah, katanya angin putih yang kuat datang menyerang. Atap-atap zink semuanya melambung-lambung nak diterbangkan. Hujan seolah-olah hujan batu turun di peringkat awal diikuti angin putih ini. Huh tak boleh ku bayang apa petunjuk yang Allah nak beri, ini semua terus mengingatkan aku kepada bala bencana yang Allah tunjukkan seperti banjir di Johor, tsunami di Acheh, gempa bumi di Balakot dan banyak lagi yang situasinya lebih dahsyat. Tragedi kecil ini sewajarnya mampu mengingatkan kita dan mengembalikan kita kepada Allah Yang Satu.....

Jan 30, 2007

Pengalaman meranduk air bah di Sri Gading, Johor

Cuti panjang minggu lepas sempena Awal Muharram dan Keputeraan Sultan Kedah ku manfaatkan dengan sebaiknya. Selain membuat 'kerja gila' tolong drive ayah balik ke Sg Petani untuk dia ceramah dengan Saifuddin Nasution, aku berkesempetan ikut ayah dan mama ke Sri Gading, Batu Pahat untuk menghantar bantuan banjir untuk orang yang kesusahan di sana.

Seperti yg ku maklum, akulah 'sopir' untuk perjalanan ni, dengan sebuah Nissan Frontier yang dipinjamkan sahabat mama, malam sebelum bertolak, semua barang yg nak dibawa dimasukkan ke dalam 'lori' tersebut.


Beras ada 100 pek, kali dengan 5kg, so ada 500kg = 1/2 tan. Biskut kering dalam 1 dozen tin, tin sardin pun ada dalam 1 dozen kotak, pakaian bersih, telekung dan ubat-ubatan. Penuh jugak la 'lori' tu dengan barang-barang bantuan di samping 3 orang penumpang, aku, ayah dan mama. Perjalanan semua ok, cuma bila dah exit dari highway dan lepas bayar tol yang masih belum dinaikkan kadar bayarannya tu, hati ni berdebar nak tengok suasana banjir yang menjadi topik hangat Malaysia di penghujung 2006 lalu.

Hati ni jadi sayu sungguh bila melihat rumah-rumah yg ditenggelami air, pulak tu nampak ada penduduk yang duk termenung depan rumah, tak tau nak buat apa rasanya tu. Tambah lagi bila Nissan Frontier yang aku drive tu membelah air-air banjir yang melimpah ke atas jalan raya, boleh ku bayang bagaimana ngerinya tatkala kejadian berlaku, seolah-olah berada dalam kapal dan meredah lautan yang luas!! Dan ketika melalui Kuittho, jelas kelihatan pintu masuknya ditenggelami air, entah katanya student dapat cuti seminggu??

Ada sebuah rumah makcik@ibu tunggal yang kehilangan suaminya beberapa bulan lepas. Kesian tengok dia, terharu sungguh dia hingga menitis air mata bila ayah dan mama meredah air banjir untuk sampai ke halaman rumah dia dan memberi bantuan. Begitu juga sekelompok penduduk di pusat pemindahan banjir yang semuanya menghargai sokongan dan bantuan yang diberikan. Banyak juga cerita tentang kerenah birokrasi dan diskriminasi politik yang berlaku di sana, nampak benar puak-puak ni tiada hati perut walaupun dalam keadaan musibah masih menaruh dendam politik....Moga Allah membuka hati mereka-mereka ini

Perjalanan kami di sekitar Sri Gading, Seri Tanjung, sempadan Senggarang berakhir kira-kira jam 2petang dan kami berangkat pulang awal, sebabnya aku nak kepulangan ke Kulim pula malam tu. Pengalaman yang menarik dan menginsafkan.....membuatkan kita sentiasa untuk bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengingati Allah sepanjang masa....