Sep 29, 2007

Al-Quran, Tazkirah dan Ramadhan

Hari ini sudah masuk hari yang ke-17 Ramadhan. Pada hari inilah Al-Quran diturunkan, maka banyaklah acara-acara Nuzul Al-Quran diadakan di merata tempat, surau-surau, masjid-masjid, sekolah-sekolah, dewan-dewan dan di mana-mana saja.

Nuzul Al-Quran itu diturunkan Al-Quran oleh Allah ta'ala kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril as. Ayat 1-5 dari surah Al-'Alaq itu diturunkan:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Mahamulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka Al-Quran menjadi kitab suci umat Islam. Di dalamnya terkandung segala macam isi kandungan, sirah, sejarah, hukum, perundangan dan segalanya yang melengkapi aspek kehidupan. Bukankah Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang membawa pengertian kepada kita, dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnahnya, kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Di sini, di negara ini saban tahun Musabaqah Tilawah Al-Quran diadakan. Namun hanya bacaan Al-Quran diperdengarkan, isi kandungan Al-Quran tidak pula diambil hukum dan pengajarannya. Saya fikir memang itu sahaja taraf Al-Quran di sini, di negara ini. Setiap hari ketika saya menjamah sahur di bulan Ramadhan ini, peti televisen akan menontonkan pembaca-pembaca Al-Quran sedang membaca Al-Quran, ya memang lunak dan merdu bacaan mereka.

Di satu sisi yang lain, di negeri saya, Selangor Negeri Maju, pak menteri besarnya menghalang tazkirah diberikan di masjid-masjid ketika waktu terawih. Alasannya ialah jangan diganggu umat Islam di Selangor Negeri Maju untuk beribadah (yakni solat terawih). Adakah ibadah itu hanya solat terawih? Bukankah menuntut ilmu, mendengar tazkirah peringatan itu juga satu ibadah? Ini satu lagi takrifan sempit daripada pak menteri besar kita.

Sesungguhnya tazkirah itu suatu yang bermanfaat, umat Islam lemah dan lalai kerana tiada tazkirah dan peringatan. Buka Al-Quran surah Al-A'la ayat 9-12:
Oleh sebab itu berikanlah peringatan(tazkirah), kerana peringatan itu bermanfaat. Orang yang takut (kepada ALlah) akan mendapat pelajaran. Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya. (Iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)
Hebat bukan Al-Quran? Lihatlah sendiri apa janji Allah kepada orang-orang yang menjauhi tazkirah....inikan pula orang yang menghalang tazkirah...wal'iyazubillah

Sepatutnya benarkan sajalah tazkirah diadakan di surau-surau atau di masjid-masjid di Selangor Negeri Maju ini, jangan ganggu orang yang dah ke masjid-surau ni. Tu di luar sana, berapa lambak lagi orang Islam yang tak berpuasa, yang malam-malam Ramadhannya dihabiskan dengan arak, judi, pub, maksiat? Mengapa tak disibukkan arahan untuk membanteras aktiviti-aktiviti maksiat ini, masjid-surau pula menjadi mangsa....

Fasa kedua Ramadhan (maghfirah Allah) sudah ke penghujung, fasa ketiga (pembebasan dari api neraka) akan menjelang. Mari kita tambah kelajuan amalan kita di bulan Ramadhan ini...Allah berkatilah kami di bulan Ramadhan ini!

0 comments: