Sep 29, 2007

Antara himpunan merah dan hitam putih

Nun di bumi Burma (Myanmar nama barunya) kita melihat ratusan ribu orang-orang berbaju merah dan oren berjalan sepanjang-panjang jalan di kota Yangon itu. Tidak berkasut, tidak berselipar, meredah hujan dan panas, mereka tetap terus berjalan. Berjalan dengan aman, berjalan tanda protes. Ya bumi Burma itu sudah lama mati demokrasinya, semua orang tahu dan kenal nama Aung San Suu Kyi, dulu dia dan pengikutnya saja yang menentang pemerintah tentera, namun hari ini orang-orang berbaju merah dan oren turut sama bangkit menentang.

Asalnya himpunan itu tenang-tenang saja, juak tentera pun tak berapa ambil pusing, berlakulah ia dengan aman dan high-profile sekali di seluruh dunia. Tapi bila himpunan itu sudah semakin besar, orang-orang yang tidak berbaju merah dan oren pun sudah ikut sekali, juak tentera mula bertindak. Himpunan aman disurai dengan ganas, peluru hidup...ya PELURU HIDUP digunakan untuk menyuraikan himpunan. Maka ramailah hingga ke hari ini yang menjadi korban.

Dan ketika itu jugalah pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma ini untuk menangani masalah dan bantahan ini dengan bijak sambil terus mengecam juak tentera Burma untuk mengembalikan demokrasi di sana

Beberapa hari lepas, saya berkesempatan pula menyertai ribuan orang berbaju hitam putih di bumi saya sendiri, bumi Malaysia. Himpunan dan perarakan dari Palace of Justice ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Atas nama "Walk for Justice", orang-orang berbaju hitam putih ini menyatakan reaksi mereka terhadap institusi kehakiman yang mereka dokong selama ini. Ya klip video perbualan seorang peguam dengan seorang hakim kanan itu yang membuatkan mereka berhimpun.

Dalam perjalanan ke sana, jalan-jalan utama ke Kompleks Kerajaan telah ditutup, maka berlakulah kesesakan lalulintas yang selama ini saya fikir tidak pernah berlaku di pusat pemerintahan kerajaan Malaysia itu. Ditambah pula dengan orang-orang bertopi merah lengkap bersenjata berkawal seolah-olah satu peperangan akan meletus. Nampak sangat takut dengan bayang-bayang sendiri.

Terdetik seketika, dalam masa sama pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma untuk mengizinkan demokrasi di sana, di negaranya sendiri kalau tidak seteruk Burma pun, namun masih dihalang-halang demokrasi itu berjalan dengan baik. Juga sehari sebelum himpunan ini, seorang pak menteri terus menghentam dan menyamakan orang-orang berbaju hitam putih yang berhimpun dan menyatakan pandangan mereka ini sebagai pembangkang...

Hmm saya fikir, setakat ini sahaja kah tahap pemikiran dan kefahaman demokrasi pak-pak menteri kita di negara ini? Kalau begitu memang saya tak hairanlah dalam Indeks Demokrasi tahun lepas, Malaysia diletak dalam kategori negara yang mengamalkan demokrasi yang cacat, bahkan rankingnya lebih teruk daripada Bangladesh, Indonesia mahupun Mongolia! Aduh, Malaysiaku Gemilang....

Album himpunan berbaju hitam putih

0 comments: