Oct 9, 2007

Pecutan maksima di hujung Ramadhan

Hari minggu lepas adalah hari minggu terakhir dalam bulan Ramadhan sebelum Syawal menjelang. Maka semua orang sibuk untuk menyelesaikan urusan keperluan mereka sebelum hari raya aidil fitri menjelang. Ketika ke pejabat mtd melalui pasaraya Giant Taman Permata, suasana cukup sibuk dengan orang ramai berpusu-pusu membeli-belah barangan persiapan untuk menyambut lebaran.

Namun aktiviti hujung minggu lepas saya cukup padat dan agak memenatkan. Tetapi bukan pergi membeli-belah persiapan untuk beraya, tapi melaksanakan kerja dakwah dan amanah orang-orang 'kaya' yang pemurah sempena penghujung Ramadhan ini untuk melaksanakan amal jariah mereka.

Seawal pagi lagi saya menemani ayahanda untuk ekspedisi edaran risalah dakwah penerangan di tengah kotaraya. Sasaran kami ialah orang ramai di hentian Putra dan hentian Puduraya, kami berpecah kepada dua kumpulan; hentian Puduraya diketuai Hj Mahfuz Omar dan hentian Putra diketuai ayah sendiri. Setiap inci hentian Putra kami bergerak dan tidak seorang pun yang tidak menerima risalah dakwah kami, bahkan yang di atas bas pun kami sampaikan (saspen juga kalau tiba-tiba bas terus berlepas pula)

Selesai edaran risalah, saya terus ke pejabat mtd untuk menyiapkan bungkusan kurma dan risalah untuk diedarkan kepada orang ramai di pasaraya Giant Taman Permata. Namun disebabkan kesuntukan masa, saya terpaksa beredar pula ke Gombak untuk satu lagi acara tanpa sempat menyertai rakan-rakan untuk mengedarkan bungkusan kurma tersebut. Program inilah yang utama pada hari itu, iaitu ziarah dan memberi sumbangan kepada orang-orang Asli Islam di Penempatan Orang Asli Batu 12 Gombak.

Dengan 60 bungkusan beras di dalam kereta, serta beberapa barangan keperluan lain seperti gula, tepung, telekung dan buku asas fardhu ain, saya serta beberapa orang ustaz2 dari FORKAD menuju ke destinasi kami di Batu 12 Gombak. Kedatangan kami disambut mesra beberapa orang penduduk di situ. Selesai membungkus barangan keperluan untuk diagihkan itu, kami mendaki pula bukit sejauh hampir 300 meter untuk sampai ke surau tempat berhimpun masyarakat Islam di situ.

Dalam kesempatan solat Zuhur berjamaah di situ, agak menyedihkan kerana tidak ramai yang menyertai kami menunaikan solat berbanding bilangan yang datang menyambut kami sebelumnya. Bahkan dalam ucapan yang diberikan oleh Tok Batin penempatan itu, beliau turut berharap badan-badan sukarelawan tampil untuk melakukan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat orang Asli di situ. Walaupun beliau sebut yang JAIS dan JAKIM ada datang untuk mengajar, tapi ia masih tak mencukupi dan beliau juga penuh harap meminta kerja dakwah dapat sampai kepada masyarakat Islam di situ.

Selesai menyampaikan sumbangan kepada penduduk di situ, rombongan kami pulang dengan seribu satu harapan untuk menggerakkan lagi kerja dakwah ini sehingga dapat sedikit sebanyak membantu saudara seIslam di penempatan orang Asli itu. Lihat, siapa kata aktiviti parti politik Islam hanyalah bermotifkan politik kepartian semata, bahkan usaha yang dibuat lebih luas lagi meliputi kerja-kerja dakwah, kebajikan dan amar makruf nahi munkar atas nama gerakan Islam!
Album ziarah ke penempatan orang Asli

Destinasi dan acara akhir saya pada hari itu adalah kembali ke pejabat mtd. Petang itu ada satu majlis menyampaikan sumbangan aidil fitri kepada orang-orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim sekitar kawasan hulu kelang. Saya cukup kagum melihat orang yang bermurah hati untuk menyumbang ini adalah dari sebuah keluarga Cina Muslim. Ya mereka menjalankan perniagaan keluarga, dan mereka mempunyai sebuah Yayasan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini, namun kemahuan untuk menyumbang dalam jumlah yang besar seperti ini adalah suatu yang bukan mudah untuk dilakukan.

Dengan acara itu selesai sudah program di hujung minggu terakhir dalam Ramadhan tahun ini. Masing-masing cuba melakukan pecutan akhir di penghujung Ramadhan ini. Dan dengan baki 3 hari lagi Ramadhan, marilah kita sama-sama melipat gandakan usaha kita memburu lailatul qadar serta menjamin pembebasan dari api neraka yang Allah janjikan. Dan ada dalam satu hadith, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengaminkan doa Jibril A.S yang mendoakan neraka sebagai tempat bagi orang-orang yang berlalunya Ramadhan tetapi dosanya tidak diampunkan Allah...wal'iyazubillah mohon kita dijauhkan daripada golongan ini.

0 comments: