Dec 23, 2007

banjir...adakah penyelesaiannya?

Hati ini berasa sangat sayu bila melihat berita tentang banjir beberapa minggu lalu yang melanda negeri Kelantan, Pahang, Johor dan kini Kedah pula. Sayu melihat bagaimana mangsa-mangsa banjir terpaksa berpindah ke pusat pemindahan, dengan serba-serbi kekurangan dan serba-serbi ketidak selesaan. Kalau dulunya bila hujung tahun, masuk musim tengkujuh, banjir secara sinonimnya akan melanda negeri Kelantan. Tahun lepas pula pasti kita semua tak lupa dengan banjir besar yang melanda negeri Johor. Dan tahun ini, banjir besar ini melanda negeri Pahang pula.

Bila melihat visual tv yang menayangkan mangsa banjir di Pahang yang terpaksa menggunakan air banjir itu sendiri untuk membasuh beras untuk dimasak di tingkat 2 sebuah sekolah (sebab tingkat 1 dah ditenggelami air), mmg hati ni rasa sangat kasihan kepada mangsa banjir terbabit. Itu belum lagi bila 2-3 hari lepas tengok mangsa banjir ni bertakbir dan bersolat hari raya idul adha di pusat pemindahan mangsa banjir, memang cukup mengharukan. Lihat posting blog Ustaz Nasruddin ni untuk gambaran sebenar keadaan banjir di sana, masya-Allah hebat sungguh kekuasaan Allah.

Justeru saya terfikir tentang banjir ini lagi adalah saban tahun banjir melanda Kelantan, dan kini banjir ini berkembang pula ke negeri-negeri lain, tidakkah ada caranya untuk masalah banjir ini cuba diatasi atau sekurang-kurangnya dikurangkan? Yang kita dengar adalah persiapan menghadapi banjir, dengan pusat-pusat pemindahan banjir sedia beroperasi, bantuan makan minum dan sebagainya dipersiapkan dan sebagainya yang lebih bersifat menunggu dan menghadapi banjir tersebut. Tak kesiankah kita tengok mereka ni hanya bersiap dan menunggu untuk dipindahkan bila musim banjir melanda?

Kalau kita kaji bagaimana sebuah negara bernama Belanda/Holland/Netherland yang sebahagian besar tanahnya berada di bawah paras laut dan mengikut sejarahnya pada tahun 1953 pernah dilanda satu banjir besar yang mengorbankan ribuan nyawa, menyelesaikan masalah banjir di negara tersebut. Komitmen kerajaan Belanda untuk mengatasi masalah banjir dan bagi mengelakkan rakyatnya menderita akibat musibah banjir ini adalah suatu contoh yang patut dikaji. Peruntukan kerajaan yang mencecah angka bilion dollar digunakan untuk projek mengatasi banjir di negara bawah paras laut itu. Antara projek yang terkenal adalah projek 'Delta Works'. Dan melalui projek ini, mereka berani untuk menjamin risiko banjir untuk berlaku di negara tersebut adalah 1 dalam 10,000 tahun!!

Jadi saya fikir, negara di bawah paras laut seperti Belanda itu pun mampu mengatasi/mengurangkan masalah banjir di negara mereka, pasti banjir-banjir yang melanda negeri-negeri dalam negara kita ni juga mampu diatasi. Bagi saya kerajaan yang dipilih rakyat harus mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengatasi masalah ini, tidak kiralah kerajaan sedia ada mahupun kerajaan alternatif sekiranya dilantik. Dan bagi saya keutamaan untuk mengatasi masalah banjir ini adalah tinggi, setelah 50 tahun merdeka dan setelah 50 tahun kerajaan sedia ada memerintah, fokus harus diberikan terhadap aspek ini jika benar kebajikan dan permasalahan rakyat diberikan keutamaan. Dan penyelesaian itu haruslah merupakan satu pelan jangka panjang yang teliti hasil perancangan pakar-pakar dalam bidang menyelesaikan masalah banjir ini.

Tambah membuatkan saya berfikir tentang banjir ini, sudah semestinya saya melihat ia dari perspektif banjir sebagai satu peringatan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Akan tetapi banjir ini sekarang ini biasanya digambarkan sebagai satu bencana alam di samping dinafikan pula sebagai satu bala Allah ataupun peringatan Allah kepada makhlukNya di muka bumi ini. Bukanlah dengan berfikir sebegini saya cuba mengatakan bahawa padan dengan muka mangsa-mangsa banjir di sana yang telah 'dihukum' oleh Allah dengan banjir tersebut. Akan tetapi ia adalah suatu peringatan kita di mana-mana di Malaysia ini khususnya kerana jika Allah nak turunkan balaNya, maka ia akan menimpa keseluruhan masyarakat setempat tidak kira orang baik atau orang jahat di sisi Allah.

Tatkala tsunami besar 2004 melanda Acheh dulu, ia sebenar dan sememangnya satu mesej dari Allah kepada hamba-hambaNya keseluruhannya, termasuklah kita-kita di Malaysia ini. Sama juga dengan bencana musibah banjir ini, apa jaminan di Selangor atau apa jaminan di rumah saya di Ampang ini tidak akan berlaku banjir? Jadi saya yakin musibah seperti banjir ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, hatta di tempat yang pada fikiran logik kita mustahil untuk berlaku banjir!

Banjir juga mengingatkan kita kepada kisah bahtera Nabi Nuh a.s, dalam Al-Quran surah Al-A'araf ayat 64, Allah berfirman, "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum kaum yang buta (mata hatinya)" Nauzubillah min zalik, pohon kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah sebegini...

Dec 22, 2007

idul adha dan kisah ibrahim a.s khalilullah

Sempena Idul Adha ini, saya berminat untuk berkongsikan suatu yang menarik yang saya dapat dalam usrah gabungan pemuda kawasan beberapa minggu sudah. Penyampaian dari ustaz nazmi tempoh hari memang suatu yang santai tapi penuh berisi.

Ia adalah kisah nabi Ibrahim a.s bapa kepada nabi ismail a.s. Kisah ini adalah kisah bagaimana ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s kepada perintah dan suruhan Allah ta'ala. Bagaimana pada suatu hari nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah ta'ala untuk membawa isteri keduanya, Hajar beserta anaknya yang baru dilahirkan, Ismail a.s untuk ditinggalkan di suatu tanah gersang kering kontang yang dinamakan Makkah.

Sebaik saja menerima perintah Allah tersebut, nabi Ibrahim a.s tanpa banyak soal terus membawa isteri dan anaknya itu dalam suatu perjalanan yang amat jauh (bayangkan perjalanan darat dengan tunggangan unta dari Palestin ke Makkah, berapa jauh tu) dan tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju mereka dan apakah tujuan kemusafiran itu kepada anak isterinya.

Setibanya sahaja di Makkah yang ketika itu adalah satu tempat yang gersang, kering kontang, tiada hidupan, tiada air, tiada tumbuhan, tiada orang lalu-lalang sekalipun, bak kata orang, tempat jin bertendanglah, maka diarahkanlah isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s turun dari tunggangan unta tersebut. Tanpa bercakap sepatah apa pun, hatta untuk mengucap selamat tinggal sekali pun, nabi Ibrahim a.s berlalu meninggalkan anak isterinya di situ. Maka tercengang-cenganglah isterinya dan teruslah Hajar merayu kepada nabi Ibrahim a.s agar tidak meninggalkannya di situ. Hajar juga terus bertanya kepada suaminya mengapa dan mengapa ditinggalkan mereka di situ. Akan tetapi nabi Ibrahim a.s tidak sedikitpun berpaling dari perjalanan baliknya dan tidak sedikitpun menjawab rayuan Hajar itu.

Sehingga akhirnya apabila Hajar bertanya adakah itu semua adalah suruhan dan perintah Allah? Maka barulah nabi Ibrahim a.s berhenti sebentar (tanpa berpusing melihat isteri dan anaknya) dan menjawab: "Ya, ini adalah perintah Allah", lantas disambung perjalanannya kembali dan mendengar jawapan itu, maka redhalah Hajar dengan apa yang dihadapinya itu (hebat sungguh seorang isteri kepada seorang nabi yang juga tinggi ketaqwaannya). Selepas beberapa jauh perjalanan, barulah nabi Ibrahim melihat ke belakang, akan tetapi kelibat isteri dan anaknya sudah tidak kelihatan. Lantas baginda berdoa dan bertawakkal memohon Allah memelihara isteri dan anak yang ditinggalkannya itu. Itulah nabi Ibrahim a.s yang tidak mahu melayan rayuan isterinya yang tercinta kerana baginda sedar sebagai manusia, baginda juga boleh cair dengan pujuk rayu isterinya walaupun ketika melaksanakan perintah Allah ta'ala.

Itulah kisah bagaimana hebatnya nabi Ibrahim a.s menerima dan melaksanakan perintah Allah ta'ala Tuhan Pencipta Semesta Alam sehingga mendapat gelaran "Khalilullah" yang bermakna "yang dekat dengan Allah". Macam mana lah kita ni pulak dalam menerima dan melaksanakan sesuatu tuntutan dan perintah Allah? Pasti ada ketika-ketikanya kita cuba mengkompromi atau menjustifikasikan tindakan kita untuk tidak segera atau bahkan tidak mahu langsung menjunjung perintah Allah. Bagaimana tuntutan solat fardhu lima waktu, tuntutan mengeluarkan zakat, berpuasa, menutup aurat bagi lelaki apatah lagi menutup aurat bagi perempuan yang lebih besar had-hadnya, tuntutan muamalah dan pergaulan lelaki dan wanita? Bahkan yang lebih besar lagi tuntutan melaksanakan isi kandungan AL-Quran sepenuhnya? Semoga kisah ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s ini boleh membuka sedikit ruang keinsafan dalam diri kita sempena Idul Adha ini.

Dan ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun juga harus dilihat dari perspektif taqwa dan ketaatan kepada Allah. Benar firman Allah ta'ala dalam surah Al-Hajj ayat 37: "Dan bukanlah daging mahupun darah (haiwan qurban) itu yang sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai adalah ketaqwaan kamu kepada Allah"

Alhamdulillah malam sebelum hari raya idul adha, saya hubungi Ustaz Fauze Hussen yang mengetuai program qurban di Kemboja tahun ini (tahun ni saya tak pergi, dapatla beraya di Malaysia), beliau maklumkan penyertaan korban dah hampir mencecah ke 50 ekor lembu. Alhamdulillah, moga nilaian taqwa peserta-peserta korban kali ini akan meningkat di sisi Allah...Amiin

p/s: Moga majlis qurban dan perasmian masjid yang diusahakan oleh Muslimcare Malaysia di Kemboja berjalan lancar..

Dec 11, 2007

ini bukan budaya kita??

Maaf kerana lama tak update blog ini, terlalu banyak urusan lain yang menghambat walaupun banyak perkara yang ingin dikongsikan terutama sekali pengalaman bersama himpunan raksasa bersejarah 10 November 2007 lalu.

Siang tadi saya nak turun ke Parlimen Malaysia, dengan tujuan untuk bersama-sama BERSIH menyerahkan satu memorandum kepada Parlimen Malaysia bagi membantah pindaan Perlembagaan bagi menaikkan had umur bersara bagi penjawat SPR (termasuk Pengerusi SPR) dari 65 tahun kepada 66 tahun. Tapi rupanya di zaman sekarang ni sebagai rakyat Malaysia pun bukan senang nak ke Parlimen ye, banyak betul polis buat roadblock, habis KL sesak dibuatnya. Tambah pula tu ada court order menghalang orang ramai ke Parlimen dan kawasan sekitarnya, subjektif betul perintah ni.

Disebabkan halangan polis yang terlalu ketat, saya dan sekumpulan peserta himpunan lagi hanya dapat sampai ke bulatan di hadapan Bank Rakyat/Bank Negara saja (jauh betul sekatan dibuat) dan di sini kami diarahkan oleh polis untuk berundur dan bersurai. Oleh kerana kami ni adalah warganegara Malaysia yang cintakan keamanan dan datang dengan jaminan Perlembagaan Malaysia Perkara 10: Kebebasan Bercakap dan Berhimpun, maka kami menurut arahan polis tersebut.

Maka kami pun bersurai dan bergerak ke IPK Kuala Lumpur Jalan Hang Tuah setelah mendapat maklumat bahawa beberapa pimpinan telah ditahan di hadapan bangunan parlimen. Kami berjalan , ya berjalan seperti orang lain berjalan, seperti biasa, (tiada kekacauan, tiada slogan, tiada kain rentang, tiada apa-apa....ya tiada apa-apa, hanya berjalan sebagai seorang manusia), kami dihalang pula oleh sepasukan besar anggota polis di hadapan bangunan Bar Council. Polis tu suruh kami disperse, saya pun pelik apa dan bagaimana nak disperse, sedangkan kami sememangnya dalam mode disperse, bila ditanya balik, polis tu tak tau nak explain macam mana. Apela polis ni, bagila arahan yang meyakinkan sikit, ingat rakyat ni tak tau undang-undang ke?

Akhirnya kami (beberapa orang yang memakai baju kuning BERSIH termasuk ayahanda saya) diberikan arahan untuk "ditangkap". Wah hebat jugak aku hari ni jalan-jalan kat KL pun boleh kena tangkap polis. Dalam pada kami dah nak naik van polis untuk dibawa ke IPK KL tu, pegawai polis yang bagitau kami telah ditangkap tu ubah arahan pula (dapat arahan baru agaknya) melepaskan kami dan suruh kami balik....selamat pulak aku, kalau tidak duduk lokap la malam ni :) . Dan sebelum balik, saya sempat ke hadapan IPK KL sebagai solidariti kepada pimpinan yang ditangkap.

Dalam sehari dua ni tangkapan demi tangkapan dibuat terhadap pimpinan pembangkang, di samping untuk menghalang semua jenis himpunan berlangsung. Saya pun naik pelik dan boring dengan ungkapan "ini bukan budaya kita", lepas tu guna polis buat roadblock kat tengah KL, habis la sesak jawabnya. Yang menjadikan KL sesak bukan disebabkan himpunan, tapi disebabkan roadblock. Sepatutnya fikir cara dan kaedah nak handle dan izinkan himpunan aman BERSIH dijalankan tanpa mengganggu lalulintas, macam himpunan hari ni, saya ingat polis yang buat roadblock lebih banyak daripada peserta himpunan....hey protes dan himpunan ni satu dunia buat lah!

Kalau nak kata "ini bukan budaya kita", semak balik sejarah Malaysia...masa parti keris membantah Malayan Union sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dulu tu bukan demonstrasi ke, bukan himpunan ke tu dengan sepanduk, kanak-kanak, kaum ibu semua turun ke jalanraya. Kalau dah lupa takpelah, tapi yang tahun lepas, menantu PM kita pun turun demonstrasi juga ketika membantah kehadiran Setiausaha Negara AS, Condoleza Rice, itu lagi power punye demonstrasi...so macam mana ni, yang mana satu budaya kita yang mana satu bukan budaya kita ni? susahlah kalau ada double standard macam ni, kata nak jadi perdana menteri yang adil kepada semua rakyat, tapi susah nak terima perbezaan pendapat...

sekadar membuka minda, menyemak sejarah, berfikir kritis dan tidak mudah disogok dengan begitu mudah. Allah berfirman dalam surah Hujurat ayat 6: "Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"

p/s: doa selamat saya untuk Ustaz Nasrudin Tantawi dan semua pimpinan jemaah yang ditangkap siang tadi