Dec 23, 2007

banjir...adakah penyelesaiannya?

Hati ini berasa sangat sayu bila melihat berita tentang banjir beberapa minggu lalu yang melanda negeri Kelantan, Pahang, Johor dan kini Kedah pula. Sayu melihat bagaimana mangsa-mangsa banjir terpaksa berpindah ke pusat pemindahan, dengan serba-serbi kekurangan dan serba-serbi ketidak selesaan. Kalau dulunya bila hujung tahun, masuk musim tengkujuh, banjir secara sinonimnya akan melanda negeri Kelantan. Tahun lepas pula pasti kita semua tak lupa dengan banjir besar yang melanda negeri Johor. Dan tahun ini, banjir besar ini melanda negeri Pahang pula.

Bila melihat visual tv yang menayangkan mangsa banjir di Pahang yang terpaksa menggunakan air banjir itu sendiri untuk membasuh beras untuk dimasak di tingkat 2 sebuah sekolah (sebab tingkat 1 dah ditenggelami air), mmg hati ni rasa sangat kasihan kepada mangsa banjir terbabit. Itu belum lagi bila 2-3 hari lepas tengok mangsa banjir ni bertakbir dan bersolat hari raya idul adha di pusat pemindahan mangsa banjir, memang cukup mengharukan. Lihat posting blog Ustaz Nasruddin ni untuk gambaran sebenar keadaan banjir di sana, masya-Allah hebat sungguh kekuasaan Allah.

Justeru saya terfikir tentang banjir ini lagi adalah saban tahun banjir melanda Kelantan, dan kini banjir ini berkembang pula ke negeri-negeri lain, tidakkah ada caranya untuk masalah banjir ini cuba diatasi atau sekurang-kurangnya dikurangkan? Yang kita dengar adalah persiapan menghadapi banjir, dengan pusat-pusat pemindahan banjir sedia beroperasi, bantuan makan minum dan sebagainya dipersiapkan dan sebagainya yang lebih bersifat menunggu dan menghadapi banjir tersebut. Tak kesiankah kita tengok mereka ni hanya bersiap dan menunggu untuk dipindahkan bila musim banjir melanda?

Kalau kita kaji bagaimana sebuah negara bernama Belanda/Holland/Netherland yang sebahagian besar tanahnya berada di bawah paras laut dan mengikut sejarahnya pada tahun 1953 pernah dilanda satu banjir besar yang mengorbankan ribuan nyawa, menyelesaikan masalah banjir di negara tersebut. Komitmen kerajaan Belanda untuk mengatasi masalah banjir dan bagi mengelakkan rakyatnya menderita akibat musibah banjir ini adalah suatu contoh yang patut dikaji. Peruntukan kerajaan yang mencecah angka bilion dollar digunakan untuk projek mengatasi banjir di negara bawah paras laut itu. Antara projek yang terkenal adalah projek 'Delta Works'. Dan melalui projek ini, mereka berani untuk menjamin risiko banjir untuk berlaku di negara tersebut adalah 1 dalam 10,000 tahun!!

Jadi saya fikir, negara di bawah paras laut seperti Belanda itu pun mampu mengatasi/mengurangkan masalah banjir di negara mereka, pasti banjir-banjir yang melanda negeri-negeri dalam negara kita ni juga mampu diatasi. Bagi saya kerajaan yang dipilih rakyat harus mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengatasi masalah ini, tidak kiralah kerajaan sedia ada mahupun kerajaan alternatif sekiranya dilantik. Dan bagi saya keutamaan untuk mengatasi masalah banjir ini adalah tinggi, setelah 50 tahun merdeka dan setelah 50 tahun kerajaan sedia ada memerintah, fokus harus diberikan terhadap aspek ini jika benar kebajikan dan permasalahan rakyat diberikan keutamaan. Dan penyelesaian itu haruslah merupakan satu pelan jangka panjang yang teliti hasil perancangan pakar-pakar dalam bidang menyelesaikan masalah banjir ini.

Tambah membuatkan saya berfikir tentang banjir ini, sudah semestinya saya melihat ia dari perspektif banjir sebagai satu peringatan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Akan tetapi banjir ini sekarang ini biasanya digambarkan sebagai satu bencana alam di samping dinafikan pula sebagai satu bala Allah ataupun peringatan Allah kepada makhlukNya di muka bumi ini. Bukanlah dengan berfikir sebegini saya cuba mengatakan bahawa padan dengan muka mangsa-mangsa banjir di sana yang telah 'dihukum' oleh Allah dengan banjir tersebut. Akan tetapi ia adalah suatu peringatan kita di mana-mana di Malaysia ini khususnya kerana jika Allah nak turunkan balaNya, maka ia akan menimpa keseluruhan masyarakat setempat tidak kira orang baik atau orang jahat di sisi Allah.

Tatkala tsunami besar 2004 melanda Acheh dulu, ia sebenar dan sememangnya satu mesej dari Allah kepada hamba-hambaNya keseluruhannya, termasuklah kita-kita di Malaysia ini. Sama juga dengan bencana musibah banjir ini, apa jaminan di Selangor atau apa jaminan di rumah saya di Ampang ini tidak akan berlaku banjir? Jadi saya yakin musibah seperti banjir ini boleh berlaku di mana-mana sahaja, hatta di tempat yang pada fikiran logik kita mustahil untuk berlaku banjir!

Banjir juga mengingatkan kita kepada kisah bahtera Nabi Nuh a.s, dalam Al-Quran surah Al-A'araf ayat 64, Allah berfirman, "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum kaum yang buta (mata hatinya)" Nauzubillah min zalik, pohon kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah sebegini...

0 comments: