May 10, 2008

hanya selepas 8 mac 2008

Alhamdulillah dapat kembali menulis selepas sekian lama tak menulis. Saya cuma nak merujuk satu berita dari Utusan Online hari ni:
"

Diumum Isnin ini bagi kurangkan beban rakyat – PM, Pelan atasi inflasi

KUALA LUMPUR 9 Mei – Kerajaan akan mengumumkan pelan tindakan khusus Isnin ini bagi membendung masalah inflasi terutama kenaikan harga beras, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu diharap dapat mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga barangan serta minyak yang turut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM45 bilion pada tahun ini.

Katanya, atas arahan Kabinet, Jawatankuasa Menangani Inflasi dalam mesyuarat minggu depan akan menghalusi beberapa cadangan yang bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya telah jelaskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini tentang tindakan yang telah dicadangkan dan akan diambil apabila Jawatankuasa Menangani Inflasi bermesyuarat Isnin ini.

“Kita nak pastikan negara tidak mengalami kekurangan bekalan beras yang merupakan bahan makanan yang sangat penting.

“Selepas mesyuarat itu, satu keputusan akan dikeluarkan,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Abdullah menjelaskan, kerajaan akan memastikan rakyat tidak terbeban walaupun terdapat kenaikan harga barangan.

Menurut beliau, dalam mesyuarat hari ini MT UMNO juga dimaklumkan mengenai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed ke Thailand untuk membincangkan rancangan membeli beras dari negara pengeluar beras terbesar dunia itu.

Abdullah memberitahu, isu kenaikan harga padi dan beras berkait rapat dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang diperkatakan di seluruh dunia.

Pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 29 April lalu, Abdullah mengumumkan mekanisme baru bagi mengawal kenaikan mendadak harga barangan termasuk bahan-bahan binaan.

Mekanisme itu bertujuan memastikan projek-projek yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat dilaksanakan sebaik mungkin."

Baguslah kalau begitu jika kerajaan sudah "menyedari sedikit" apa yang kita rakyat di bawah sedang lalui. Kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barangan keperluan harian yang juga terus meningkat semuanya memerlukan pelan tindakan yang bijaksana daripada orang-orang yang memerintah di atas sana.
Saya kira rakyat telah membuat satu keputusan yang sangat tepat untuk menidakkan kuasa besar Barisan Nasional selama ini yang ramai kira sudah merasakan dirinya terlalu gah dan tiada tandingan. Malaysia pasca 8 Mac 2008 menyaksikan beberapa siri kenyataan pimpinan-pimpinan kerajaan yang mula menyedari permasalahan sebenar yang rakyat sedang hadapi.
Teringat saya tatkala kita dihadiahkan dengan kenaikan harga petrol sehingga RM1.92 seliter kira-kira 2 tahun lalu, apa yang pimpinan cakap?.."Ubah gaya hidup...ubah gaya hidup!!" Namun kini setelah kekurangan kuasa, barulah nada percakapan itu berubah dan lebih cuba untuk sekurang-kurangnya memahami permasalahan rakyat....
Alhamdulillah sepatutnya beginilah peranan yang boleh kita mainkan sebagai rakyat kepada kepimpinan negara.....suara rakyat suara keramat....

0 comments: