Jul 29, 2008

kasihkan perjuangan ini...

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." (Al-Maidah : 54)

Membaca ayat ini serta menterjemah tafsirannya dari konteks ahli gerakan Islam hujung minggu lalu di tepi Sungai Congkak. Ia menuntut istiqamah yang tinggi serta hikmah dan kebijaksanaan berdakwah yang tinggi, sama ada sesama mukmin, mahupun terhadap yang masih belum menerima hidayah-Nya.

"Tidak takut celaan orang yang mencela"

Apabila kita memperkatakan kebenaran, pasti ada yang akan mencela dan mencemuh. Biasa kita dibacakan (tak sure hadith atau kata sahabat), "Katakan yang hak walau pahit sekalipun". Jangan kita berdolak-dalik, jangan pula disembunyikan kebenaran, dan lebih teruk lagi jangan kita menipu atau berbohong.

Orang munafiq itu sifatnya menipu. Apabila ia berkata atau berjanji, ia akan mungkiri. Kepala munafiq adalah Abdullah bin Ubai bin Salul. Dia dengki kepada Rasulullah s.a.w yang 'merampas' jawatan Ketua Negara Madinah, sedang jika Rasulullah tidak dibai'ah untuk menjadi kepala negara Madinah, kemungkinan besar dia akan menjadi kepala negara. Akibatnya jadilah dia seorang munafiq, berpura-pura Islam lantaran hasad dengki dan bencinya kepada Ar-Rasul s.a.w.

Kita ini pula janganlah menipu. Apa ertinya kerja-kerja dakwah Islamiyyah yang kita lakukan selama ini tetapi disulami pula dengan penipuan. Jangan seperti kisah cereka rakyat, seorang gembala kambing menipu penduduk kampung berkali-kali bahawa kambing-kambingnya diserang serigala. Saya ingat cereka ini masa kecil-kecil dulu, ia memberi banyak pengajaran besar.

Jangan juga kita ikut arahan untuk berbohong. Teringat pula filem Nujum Pak Belalang, "Bapak kau ada Belalang?", "Pakcik, bapak suruh bilang dia tak ada". Begitulah sedikit sebanyak dialog filem ini.

Sudah menipu mahupun berbohong, kita akan dipanggil mengkhianat kepercayaan orang kepada kita. Ini harus kita jaga, jangan sampai orang tak percaya kepada kita. Jangan sampai fitnah penipu, pembohong, pengkhianat itu merosakkan Islam itu sendiri....Allah lindungi kami, lindungi perjuangan ini...Amiiin

0 comments: