Jul 17, 2008

koperasi muslim dan pertelingkahan larut malam

Semalam satu taklimat penubuhan koperasi pengguna muslim hulu kelang diadakan dan saya turut mendengar taklimat itu bersama ayah. Disampaikan oleh seorang usahawan gigih, Haji Hisyamuddin yang mempunyai sebuah pasaraya muslim yang besar. Tengok Pasaraya Pak Aji untuk pasaraya yang dah beliau usahakan.

Walaupun kebanyakan masyarakat di Malaysia ni mempunyai sejarah yang buruk dan pahit apabila menyebut tentang konsep koperasi, tapi taklimat semalam membuktikan sebaliknya bahawa koperasi juga boleh membawa kejayaan dan keuntungan kepada pesertanya sekiranya diurus tadbir dengan strategi perniagaan dan standard operating procedure yang tepat.

Juga atas kesedaran sebagai pengguna muslim yang semestinya kita perlu mencari dan mengguna makanan mahupun keperluan harian yang halal dan jauh daripada syubhah (bak kempen ubat gigi mukmin,"mencari yg halal tu fardhu bagi umat Islam"), maka idea penubuhan koperasi yang menjurus kepada penubuhan sebuah pasaraya di Hulu Kelang ini diterima pakai. Dan akhirnya satu jawatankuasa penaja dipersetujui ditubuhkan, aduhai kena jadi setiausaha pulak, bertambah lagi satu kerja...

Selesai mesyuarat, sambung di kedai makan pula. Sekadar teman ayah nak makan. Hampir selesai makan, datang sekumpulan penduduk di perumahan tu nak berbincang 'sesuatu' dengan YB, katanya. Sedia ada duduk di meja kami adalah sekumpulan penduduk yang merupakan AJK Pusat Khidmat Masyarakat Zon.

Bermula dengan isu kenapa PKNS buang penutup pintu rumah sampah tanpa berbincang dengan penduduk, dan dituduhnya Pengerusi Pusat Khidmat sengaja tidak bincang walaupun dah tahu awal (walhal mengikut pengerusi tu, dia baru saja diberitahu lewat petang tu), sehingga dibangkit isu lama, ketika proses ambil-simpan-pulangkan meja dan kerusi dewan orang ramai, berjangkit pula ke isu dewan digunakan geng-geng tertentu, disentuh pula kenapa pengerusi tidak jemput mereka masuk ke dalam pejabat dewan untuk bersembang-sembang / mesyuarat tidak formal....huh penat juga nak mendengar hujah masing-masing. Berdentam-dentum, jam di tangan pula dah tunjuk 1 pagi lebih, mata pun dah berat ni.

Nasib baik akhirnya mereka pun sedar yang pertelingkahan tu adalah perkara kecil, tak perlu YB pun nak selesaikan. Tapi alhamdulillah juga pada saya, kalau tak dipanggil mendengar dan berbincang secara berdepan, tak tau pula kami apa masalah di akar umbi ni. Dan bagi saya memang isunya remeh-temeh pun, tapi disebabkan ia datang dari kelompok yang 'dulunya' (sebelum 8 Mac 2008) 'memerintah di Selangor', dan pada malam itu mengaku telah tertarik dengan kepimpinan baru (Alhamdulillah, biar Allah bukakan hati lebih ramai lagi untuk melihat kebenaran) dan menegur dengan niat untuk memperbetulkan keadaan sebelum lebih jauh dan lebih teruk lagi, saya fikir ia adalah suatu yang wajar dan berbaloi.

Sememangnya sikap tegur-menegur sebegini jarang berlaku di kalangan masyarakat Melayu, iaitu untuk menegur secara berdepan. Umum mengetahui masyarakat kita ni lebih suka memendam apabila berhadapan, tetapi lebih berminat untuk 'mengata di belakang'. Juga sekiranya mereka sebagai satu kelompok penduduk di perumahan rumah pangsa sebegitu dapat berkomunikasi dengan lebih baik, setiap perkara selalu dibincang bersama, kenal-mengenal antara satu sama lain, ukhuwwah sesama mereka mantap, pasti perselisihan faham kecil sebegini dapat dielakkan (dapat juga elak curi masa YB tengah-tengah malam macam ni :-)

Itulah kesimpulan saya dan ayah dalam perjalanan balik ke rumah. Sampai rumah ayah, Insyirah dah tidur lena, tak sampai hati nak balik pula, tidur rumah atok lah Insyirah jawabnya..

0 comments: