Jul 19, 2008

RM625 dari pejabat pos malaysia

RM625 tunai dari pejabat pos malaysia semalam. Satu malam saya bersembang dengan member lepas penat main futsal. "Eh kau dah ambik rebet minyak ke belum? Baik cepat sebelum kerajaan ubah keputusan nak batalkan pemberian ni. Atau kau nak tunggu agak-agak kerajaan nak tambah lebih lagi daripada RM625 ni?". Terus saya teringat, "Em esok aku amiklah, orang tamak selalu rugi, hahaha"...bukan apa, sekadar mengambil apa yang hak saja :-)

Itulah yang buat saya rajin ke pejabat pos semalam untuk amik. Tapi ambik semalam pun tak lah kena beratur macam hari pertama tuntutan rebet minyak dibuka tempoh hari. Isi borang, tunggu nombor giliran kena panggil, dapat cash dan selesai.

Pemberian rebet minyak ni pun jadi isu juga yang saya dengar. Kenapa diberi kepada Pos Malaysia untuk uruskan, adakah sebab ada kaitan ECM Libra, berkaitan dengan komisen yang Pos Malaysia dapat dan macam-macam cerita lagi. Juga cakap-cakap yang mengatakan perbelanjaan pemberian rebet minyak ni akan melebihi jumlah sekiranya kerajaan mengekalkan jumlah subsidi minyak sebelum kenaikan harga minyak baru-baru ni.
So saya rajin sikit nak tau apa penjelasan kerajaan tentang isu pemberian rebet ni dalam sidang parlimen baru-baru ni. Full hansard boleh dapat di sini.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya akan
berbincang perkara ini dalam Kabinet. Ahli Yang Berhormat Pematang Pauh membangkitkan isu pemberian rebat tunai yang hanya dibuat melalui Pos Malaysia Berhad sahaja dan kenapa tidak dilaksanakan oleh agensiagensi kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, Pos Malaysia merupakan salah satu agen pungutan yang menjalankan aktiviti pembayaran bil setempat termasuk pembaharuan lesen dan cukai jalan di samping cukai tanah, transaksi pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan sebagainya. Pos Malaysia mempunyai 686 buah cawangan di seluruh negara yang dilengkapi dengan sistem online dengan Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ, dan mengendalikan 60% daripada aktiviti pembaharuan lesen dan cukai jalan. Oleh itu Pos Malaysia telah dipilih untuk mengendalikan pembayaran rebat tunai kerana telah sedia ada dengan maklumat yang diperlukan untuk memproses permohonan di samping lokasinya yang mudah akses oleh orang ramai.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat
Rasah.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Ya.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya hendak
tanya Yang Berhormat Menteri mengenai dengan keselamatan sistem pemberian balik rebat ini,
kerana di Seremban saya ada satu aduan bahawa beliau pergi ke pejabat pos untuk
mendapatkan rebatnya, tetapi rebatnya telah diambil oleh orang lain di Melaka.
Jadi, saya rasa ada isu keselamatan di sini kerana ada orang yang mungkin telah
menyalahgunakan identiti seseorang untuk mendapatkan rebat itu. Jadi, saya pohon apakah
langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh pihak kerajaan supaya memastikan tidak ada
orang yang menyalahgunakan identiti seseorang itu? Terima kasih.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Kalau ada kes seperti ini boleh merujuk kepada pihak
pos, tetapi kebanyakan dari jumlah yang telah dibayar balik, setakat ini jumlah yang telah dibayar balik ialah RM839.6 juta kepada 1.8 juta penduduk
.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Isu ini tidak timbul. Ini kali pertama saya mendengar
tentang isu yang berhubung dengan salah guna kes ini, tetapi dalam sistem yang ada sebab kita menggunakan IC dan juga check online dengan JPJ, tidak sepatutnya timbul isu ini.
Namun, dalam sistem macam mana pun ada juga sekali dua dan itu biasa dan kita akan
mengambil tindakan untuk melengkapkan lagi sistem yang wujud.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Serdang bangun Yang Berhormat.
Tuan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya minta sedikit
penjelasan. Saya hendak tahu sama ada Kerajaan Pusat ada membayar apa-apa caj
perkhidmatan kepada Pos Malaysia untuk menjalankan tugas ini?
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Belum, kita masih berunding dan saya memberi
jaminan caj yang dibayar kita akan pastikan adalah caj yang munasabah.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: [Bangun]
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Sekiranya perlu, bukan sekiranya perlu. Saya akan
memberitahu kepada Parlimen ini jumlah caj yang dibayar kepada pejabat pos.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Wangsa Maju.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Kita buat secara transparent.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat Wangsa
Maju.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga
terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri kerana memberi jalan untuk saya bertanya
penjelasan sedikit sebanyaklah. Mengenai dengan kes ini, bolehkah Yang Berhormat menjelaskan bahawa kenapakah ada banyak syarikat dalam negara kita, Menteri Kewangan ini mesti memilih ECM Libra untuk menguruskan apa yang...

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ECM Libra tidak ada syer langsung. ECM Libra tidak
ada satu syer pun dalam pos.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Sekejap.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Saya bagi tahu.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Tunggu!
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ECM Libra tidak ada satu syer pun dalam pos.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Saya belum habis. Jangan melenting Yang
Berhormat Menteri.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Tak, tak. Saya beritahulah sebabnya.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Saya tahu perkataan ECM Libra ini amat
sensitif termasuk menantu pun amat sensitif juga, ya... [Ketawa] Nanti dulu. Kenapa berita
ataupun khabar mengenai ECM Libra ini amat hangat mengenai dengan kes road tax ini, refund ini? Kalau ECM Libra tak terlibat, syarikat yang mana terlibat dalam kes ini?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Baik, Yang Berhormat.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Tak, tak terlibat Tuan Yang di-Pertua. Itu satu fakta
boleh check. Tak terlibat langsung. Ahli Yang Berhormat Gombak meminta kerajaan menyatakan...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat Pokok Sena
Yang Berhormat.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Ya?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Isu yang sama Yang Berhormat.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Isu Yang Berhormat, saya kena habiskan dulu.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak, tak. Saya hendak minta penjelasan
orang kampung suruh tanya... [Ketawa] Depa dok keliru Yang Berhormat, adakah rebat ini hanya untuk tahun ini sahaja ataupun ia berterusan sampai selama-lamanya? Itu dia. Depa kata, depa nak minta penjelasanlah sebab tadi Yang Berhormat kata, minyak tak naik dah sampai hujung tahun ini. Hujung tahun ini pun tinggal lima bulan sahaja lagi... [Ketawa]
Jadi, lepas lima bulan tak menentulah. Adakah makna setiap kali harga minyak naik,
maka rebat ini akan diberi ataupun rebat ini tetap akan diberikan untuk sepanjang masa?
Dato' Ibrahim bin Ali [Pasir Mas]: [Bangun]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Yang Berhormat Pokok Sena, rebat ini diberi untuk satu
cycle dari bulan April hingga hujung bulan Mac 2009, iaitu rebat ini melindungi semua pemilik
kereta. Satu cycle dari awal bulan April sehingga hujung bulan Mac 2009.
Kemudian, sama ada kita hendak melanjutkan sistem yang sudah wujud ataupun
mencari satu kaedah yang lebih baik untuk memberi bantuan dan subsidi atau pertolongan, itu kita sedang kaji sama ada kita dapat mewujudkan satu sistem yang lebih lengkap, lebih
sempurna, lebih adil.
Dato' Ibrahim bin Ali [Pasir Mas]: Yang Berhormat...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pasir Mas, Yang
Berhormat.
Dato' Ibrahim bin Ali [Pasir Mas]: Soalan sama. Ini bukan soalan orang kampung.
Soalan ini saya sendiri. Saya hendak bertanya Yang Berhormat, apakah Yang Berhormat sedar, yang dapat rebat ini kereta 2,000 cc ke bawah. Manakala, ada kereta yang dibeli oleh pengguna di mana katakan kereta 2,500 cc hingga 3,000 cc lebih murah daripada kereta yang dibeli oleh pengguna yang 2,000 cc ke bawah. Namun, kereta 3,000 cc ke atas, 2,500 cc ke atas lebih murah daripada 2,000 cc, secondhand, tetapi mereka tak dapat rebat.
Ini boleh dipertimbangkan supaya kereta seumpama ini diberikan rebat juga. Terima
kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat guna berapa cc
Yang Berhormat? [Ketawa]
Dato' Ibrahim bin Ali [Pasir Mas]: Saya guna 2,000 cc ke bawah. Rakyat marhaen.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Okey... [Ketawa]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Terima kasih Yang Berhormat. Memang dalam pasaran
secondhand dengan izin, kereta yang cc tinggi lebih murah dari yang cc rendah, tetapi dalam
membuat keputusan, kerajaan boleh membuat satu keputusan yang popular untuk memberi
semua 300 cc, 400 cc, tetapi hasil yang dikutip oleh kerajaan begitu terhad dan kerajaan
terpaksa membuat satu keputusan dari segi perbelanjaan sama ada hendak beri RM625 ini
kepada mereka yang mempunyai kereta besar, tetapi dibeli dengan harga murah ataupun
memberi lebih kepada mereka yang mempunyai kereta yang cc rendah.
Macam mana kita membuat keputusan pun, mesti ada yang kritik sebab semua tidak
kena, tetapi mengikut kebijaksanaan kerajaan mungkin kaedah yang lain lebih bijaksana, tetapi mengikut kebijaksanaan kerajaan kita berfikir, kita memberi rebat ini kepada mereka yang mempunyai kereta cc yang rendah dan kita anggap...
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: [Bangun]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ...Mungkin anggapan itu tak begitu kena tapi kita
anggap dalam membuat keputusan bahawa mereka yang mempunyai kereta yang cc tinggi
adalah mereka yang mampu membayar harga petrol yang lebih tinggi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat Kuala Krai.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Kuala Krai minta penjelasan sikit
berkenaan dengan perkara yang sama. Mengenai pembayaran rebat melalui Pos Malaysia ini. Kita dimaklumkan bahawa jumlah rebat yang akan dibayarkan adalah RM5 bilion ya Yang
Berhormat? Lebih kurang RM5 bilion dan ada pun dalam peruntukan tambahan yang dimohon, dan saya dimaklumkan bahawa Pos Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, dan mereka mempunyai senarai yang lengkap mengenai rebat-rebat yang bakal dibayar kepada kereta-kereta kerana senarai itu ada kepada Jabatan Pengangkutan Jalan. Saya hendak minta penjelasan sama ada betul atau tidak bahawa yang diberikan kepada Pos Malaysia adalah satu jumlah mengikut senarai ini, dan ia akan dibayar apabila tuan empunya kereta datang. Jikalau wang itu dibagi sekali dan dianggap sebagai habis akan dibayar, tak kira ada unclaimed atau tidak, ia akan terus tidak dipulangkan. Itu yang pertama. Yang keduanya, kita dimaklumkan komisen yang diberikan kepada Pos Malaysia adalah sebanyak 1% daripada jumlahnya. Kita bercakap mengenai RM50 bilion Tuan Yang di-Pertua. 1% bagi RM50 bilion ini, RM50 juta dalam masa setahun business Pos Malaysia dapat RM50 juta hanya dengan membayar wang ini kepada orang. Tidakkah ini dirasakan sebagai pengeksploitasian kepada wang rakyat oleh satu-satu syarikat sebegini?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Baik Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Jumlah rebat pada perkiraan terkini Tuan Yang di-
Pertua dan Yang Berhormat ialah RM6.13 bilion. Jumlah ini diberi kepada pejabat pos secara
berperingkat-peringkat. Kita tak beri RM6 bilion kepada pejabat pos, kita beri beberapa ratus juta bila habis kita beri lagi. Dalam tempoh sehingga penghujung bulan Mac tahun depan, kita hanya memanjangkan kepada Pos jumlah yang mereka bayar, satu sen pun kita tidak bagi lebih. Komisennya memanglah bukan 1%, kita pun tidaklah perlu bayar 1% kepada Pos. Caj itu akan ditentukan berasaskan kepada kerja yang akan dibuat. Saya ingin mengesahkan bahawa ia bukan 1% dan caj ini belum ditentukan, sedang dirundingkan. Segala caj yang diberi akan saya beritahu kepada Parlimen. Itu janji saya.
Datuk Wira Ahmad Hamzah [Jasin]: [Bangun]
Tuan Chua Tian Chang [Batu]: [Bangun]
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: [Bangun]
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Saya hendak sambung Saya hendak habiskan...,
untuk memberi keadilan kepada...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Teruskan Yang Berhormat Menteri.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ...Mereka yang telah banyak berbincang isu-isu...
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih,
Yang Berhormat. Berkaitan dengan rebet ini, ia telah diumumkan oleh kerajaan dalam konteks apa yang dinamakan penstrukturan semula subsidi minyak dan ia dilandaskan kepada kereta, cc kereta, cycle tahunan dan sebagainya. Namun kalau dasar kerajaan - sebenarnya penstrukturan semula subsidi, malah Ahli-ahli Yang Berhormat yang bijaksana dalam Dewan ini mengatakan bahawa rakyat masih menanggung konsep yang baru, hakikat yang baru, harga minyak yang melambung tinggi dan sebagainya. Jadi, kalau ia penstrukturan semula, kenapakah pemberian ini dikaitkan dengan kereta, dikaitkan dengan cc kereta, dikaitkan dengan maksimum lima kereta? Kenapa tidak diberikan juga kepada orang yang tidak ada kereta atau orang yang menggunakan komuter? Itu barulah pemikiran semula dan penstrukturan semula! Kenapa tidak diberikan kepada warganegara yang berumur 20 tahun lebih? 21 tahun lebih? Semuanya diberi. Barulah unsur-unsur keadilan itu jelas dan benar-benar pengertian penstrukturan semula. Kalau tidak kita hanya membantu orang yang sudah ada kereta, orang yang banyak kereta dan cc kereta yang tertentu sahaja. Jadi, ketidakadilan itu lebih ketara kalau dibandingkan jika kita beri kepada semua rakyat selepas umur yang sekian dan sebagainya. Terima kasih.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Terima kasih, Yang Berhormat Tumpat. Mungkin saya
jawab soalan itu kerana banyak juga isu-isu yang berkaitan. Saya mengucapkan terima kasih
kepada Yang Berhormat Tumpat kerana membangkitkan isu ini. Tadi ada juga soalan tentang subsidi. Subsidi pada tahun 2007 adalah sebanyak RM8.8 bilion. Oleh kerana harga minyak meningkat dengan begitu mendadak sekali pada tahun ini kerajaan harus membuat satu keputusan. Kalau kita tidak membuat keputusan ada banyak angka yang kita umumkan dan ada banyak lagi angka yang terbaru tetapi yang pentingnya, yang perlu kita sedar bahawa dalam suasana sekarang, subsidi bukan lagi pada tahap RM8.8 bilion. Subsidi akan naik dalam perkiraan baru kalau harga kekal pada USD140 bagi satu barrel dan kita tidak berbuat apa-apa iaitu akan melebihi RM31.63 bilion. Dalam menghadapi masalah ini, kerajaan harus membuat satu keputusan. Kerajaan tahu bahawa dalam keadaan yang bukan sahaja tsunami ekonomi tetapi juga tsunami politik, adalah lebih baik bagi kerajaan membuat suatu keputusan yang popular. Kerajaan mana dalam dunia yang tidak mahu membuat keputusan yang popular! Kita ada satu pilihan untuk membuat satu keputusan yang popular ataupun membuat satu keputusan yang bertanggungjawab dan beramanah. Kita tahu bahawa mungkin ada banyak pihak yang tidak bersetuju dan akan mengkritik. Namun begitu kalau kita takut dikritik dan membuat satu keputusan yang tidak bijak - hanya untuk menjadi popular, kita akan dikritik oleh generasi akan datang. Kita akan dikritik oleh anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit kita. Jadi, daripada RM8.8 bilion jumlah subsidi kita akan meningkat. Itu sudah tentu akan meningkat pada tahun ini melebihi RM30 bilion. Angka 8.8 atau 30 itu tidak penting, tetapi ia merupakan satu jumlah yang banyak. Kita juga tahu bahawa keadaan dunia sudah berubah dan kenaikan harga minyak ini bukan satu keadaan yang hanya akan berlaku pada tahun ini. Kenaikan harga minyak tidak merupakan satu isu cyclical, ia sudah menjadi satu isu dengan izin, structural. Kita juga tahu bahawa bagi lima atau sepuluh tahun yang akan datang mungkin harga minyak akan kekal tinggi dan mungkin naik ke paras USD200. Ini mungkin berlaku dalam masa yang singkat. Ini disebabkan oleh kerana banyak perubahan dalam dunia. Pertama, tahun ini adalah tahun pertama pengeluaran minyak lebih rendah daripada penggunaan minyak. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah, ini kali pertama. Kedua, isu-isu geopolitik begitu sengit, Iran, Iraq, Nigeria dan lain-lain. Ketiga ialah pertambahan dalam penggunaan...

0 comments: