Aug 12, 2008

apabila mahasiswa sudah 'berani'

Apabila pagi tadi sejumlah besar mahasiswa UiTM Shah Alam berhimpun dan berarak dari Dataran Shah Alam ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan menyerahkan memorandum kepada wakil MB Selangor, saya katakan, "waaa, mahasiswa yang masih di bawah Auku sudah 'berani' sekarang!!"

Isunya adalah apabila MB Selangor menyuarakan pendapatnya supaya 10% kuota kemasukan ke universiti ini dibuka kepada bukan bumiputera. Banyak pandangan yang sempat saya dengar sepanjang hari ini, sudah semestinya dari corong Radio 24. Antara yang bersuara termasuk Presiden Persatuan Pelajar UiTM (yg juga ketua perarakan pagi tadi) dan juga Dato Seri Naib Canselor UiTM.

Tapi bukanlah isu pendapat sesiapa yang ingin saya coretkan di sini. Tetapi lebih kepada tindakan dan 'keberanian' lah yang saya boleh katakan di sini terhadap perhimpunan dan perarakan pagi tadi. Walaupun mahasiswa ini masih tertakluk di bawah Auku, namun atas sebab-sebab tertentu terhadap isu ini, mereka 'berani' menyuarakan pendapat dan bantahan terhadap kenyataan seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri (yang mana kampus utama UiTM ini terletak di dalam negeri MB ini). Dan tiada pula sebarang kejadian tangkapan atau tindakan dikenakan terhadap mahasiswa-mahasiswa yang ramai ini atas nama Auku. Itu yang menjadi kekaguman saya, nampak kerajaan negeri lebih terbuka menerima perbezaan pendapat yang tidak bersetuju dengannya.

Walhal sebelum-sebelum ini sudah banyak mahasiswa yang berusaha menyuarakan pendapat dan bantahan mereka terhadap kerajaan seperti isu ISA, isu pilihanraya kampus dan sebagainya, namun mahasiswa ini yang akan menerima tindakan universiti akibat pendapat yang disuarakan, alasannya mahasiswa punyai Auku yang mengawal batang tengkuk mereka. Maka berlakulah siri-siri tangkapan dan sehingga didakwa di mahkamah, kes ISA 7 yang famous satu ketika dulu membabitkan himpunan mahasiswa membantah ISA.

Implikasi tindakan atas nama Auku ini lah yang banyak membuatkan mahasiswa sedikit kendur daripada menyuarakan pendapat mahupun bantahan terhadap apa-apa tindakan di pihak kerajaan. Siapa tak takut kena buang atau kena gantung universiti? Saya pun takut beb masa mengaji universiti dulu. Itupun sempat juga 'buat kesalahan Auku' barang sekali dua, tapi yang paling high-profile ialah masa buat mogok lapar lah tahun 2002 dulu!! Tapi alhamdulillah, tak kena apa-apa, sempat juga naik dewan konvokesyen :-)

Ini juga yang baru-baru ni diperkatakan tentang usaha untuk meminda Auku bagi membolehkan para mahasiswa lebih aktif terlibat dalam perkembangan semasa dalam dan luar negara, maknanya sedarlah juga di pihak kerajaan yang Auku selama ini memang ada keburukannya! So kalau begini rupa 'berani' MPP UiTM dan mahasiswa di sana untuk isu ini, lagi bagus kalau lepas ni mereka lebih 'berani' lagi memperjuangkan isu-isu secara menyeluruh, dan bukan setakat apabila kena batang hidung mereka saja.

Jadi harap-harapnya lepas ni dan lepas Auku dipinda (jika berlaku), para mahasiswa di seluruh negara akan lebih berani menyuarakan pendapat secara ilmiah dan bebas dan betul-betul berani membela isu-isu yang menjadi kepentingan masyarakat...student power!!

3 comments:

ijad said...

salam.. apa khabar...

Aku oku! said...

berani kerana benar takpe..jangan berani kerana berbayar!
salam abang muth!

rainman said...

tu kt pelajar UITM tu sepupu Oci tu, hehehehe.... dulu org kite