Sep 9, 2008

spesialnya Ramadhan al-mubarak

Hujung minggu lalu khusyu' saya mendengar siri taujihat berkenaan Ramadhan dari Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Pertama sebelum iftar di rumah Ustaz Riduan Md Nor dan keduanya sebelum majlis iftar di bangunan Perkim, Jalan Ipoh. Perbahasan yang dikupas cukup menyegarkan.

Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 183 menjelaskan puasa kita adalah untuk mendapat taqwa. Dan sifat orang bertaqwa dalam surah Al-Baqarah ayat 3 ialah orang-orang yang mempercayai perkara ghaib dan yang mendirikan solat. Di mana melalui solatnya itulah dia membuktikan keimanannya kepada perkara ghaib yang sememangnya tidak dia jelas dan lihat dengan mata kepala kita perkara ghaib itu.

Sebagaimana dalam ayat 183 juga dinyatakan yang puasa ini bukanlah syariat Allah yang beri untuk ummat Nabi Muhammad saja, bahkan telah lama diperintahkan kepada ummat terdahulu. Yang bezanya cuma kita ditentukan untuk berpuasa selama 30 hari dan di bulan Ramadhan. Dan mengapa bulan Ramadhan yang Allah pilih? Bukankah bulan-bulan Haram itu lebih mulia lagi, sejak Allah cipta langit dan bumi lagi telah dijelaskan mulianya 4 bulan Haram ini. Pastinya ada kelebihan Ramadhan ini yang tiada pada bulan lain.

Disebabkan diturunkan Al-Quran pada bulan Ramadhan, puasa berkait rapat dengan Al-Quran. Maka kita diseru memperbanyakkan bacaan Al-Quran di bulan ini, sebagai tanda kita berterima kasih kepada Allah yang menurunkan Al-Quran. Sebab Al-Quran ini adalah petunjuk buat orang bertaqwa. Jadi siapa yang berhajat petunjuk, kena berpuasa sebab puasa memberi ketaqwaan kepada kita.

Begitulah hubung kait kitaran antara Ramadhan, Al-Quran, petunjuk dan ketaqwaan. Moga kita mendapat petunjuk dan juga mendapat ketaqwaan.

0 comments: