Dec 25, 2008

Enakmen Ugama Bukan Islam - perlu dikaji semula?

Beberapa hari lepas, saya ikut serta dalam Taklimat Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988 anjuran Jais dan Penasihat Undang2 Negeri Selangor. Tujuan taklimat ini diadakan saya kira adalah untuk memperkenal atau mengingatkan hadirin bahawa sudah ada satu enakmen yang digubal pada 1988 walaupun hingga kini masih belum digazetkan untuk pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

Program seminar tu melibatkan Penasihat Undang2 Kerajaan Negeri Selangor dan jemputannya ialah Prof Salleh Buang (Profesor Tamu UTM) dan moderator ialah Tuan Zainurrijal (Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia).


Setelah diterangkan oleh Penasihat Undang2 tentang enakmen ugama bukan Islam ni, ia tak lain bertujuan untuk menyekat/mengawal pengembangan dakyah ugama selain Islam di kalangan orang Islam. Juga matlamatnya untuk mengekang sebarang bentuk penggunaan istilah dalam Islam digunakan oleh orang bukan Islam untuk menerangkan tentang ugama mereka. Antara istilah yang dinyatakan dalam enakmen ini adalah seperti; Allah, Rasul, Iman, Fatwa, Nabi, Syeikh, Dakwah, Ulama, Imam, Ibadah, Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Insyaallah dan beberapa yang lain (kalau begini, saya fikir Adun DAP Sekinchan lah yang pertama sekali boleh didakwa, sebab dia selalu sebut "syukur alhamduwillah..")

Dan apabila tiba sesi soaljawab, beberapa perkara dibangkitkan dan pandangan diutarakan. Audiens dari kalangan Pejabat Agama Daerah, NGO2 dan juga ADUN2 dan Ahli2 Parlimen Selangor. Yang saya minat untuk quote di sini adalah pandangan yang menyatakan undang2 ini dilihat terlalu mengongkong umat Islam itu sendiri. Seolahnya orang Islam itu terlalu mudah untuk dipengaruhi dan dicairkan pegangan aqidahnya. Walhal orang Islam itu sendiri punyai keimanan yang membentengi dirinya daripada diresapi dakyah2 yang cuba disebarkan oleh mubaligh2 ugama selain Islam ini. Persepsi audiens terhadap undang2 ini saya kira pastinya Islam ini adalah satu ugama yang opresif, menekan dan terlalu mengongkong. Pendekatan yang sepatutnya adalah dengan mendidik masyarakat Islam terhadap kefahaman Islam yang sebenar, bukan dengan menguatkuasakan undang2 opresif sebegini.

Pandangan seterusnya yang saya minat juga adalah bagaimana kerajaan negeri pada tahun 1988 dahulu yang menggubal undang2 ini, mereka tidak mahu orang Islam di negeri ini mendapat kefahaman Islam yang sebenar, tapi dalam masa yang sama mereka takut orang Islam ini keluar daripada Islam (murtad). Lalu diguballah undang2 ini, supaya orang Islam terus-menerus 'jahil' Islam yang sebenar, tetapi tidak sampai murtad! Menarik bukan?

Juga dinyatakan tentang penggunaan istilah ALLAH oleh ugama bukan Islam. Dinyatakan bahawa istilah ini merujuk kepada maksud Tuhan di dalam bahasa Arab. Semua orang Arab tidak kira ugama menggunakan Allah untuk merujuk kepada Tuhan. Maka sekiranya istilah Allah ini dihalang penggunaannya di kalangan orang bukan Islam, maka ia akan mengesahkan bahawa Allah itu adalah Tuhan untuk bangsa Arab, dan Islam itu ugama untuk bangsa Arab dan sekaligus menolak keimanan kepada Allah itu meliputi semua manusia tak kira bangsa, keturunana, bahasa, sempadan geografi dan sebagainya. Begitu lah sekiranya kefahaman saya terhadap pandangan beliau ini.

Juga untuk menyokong hujahnya, beliau petik ayat 40 surah Al-Hajj: "Yaitu orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami ialah Allah." Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa"

Saya tak baca lagi tafsir-tafsir tentang ayat ini, so carilah sendiri ye apa tafsiran ayat tersebut yang berkaitan dengan penggunaan istilah ALLAH. Tapi walau macamanapun, saya fikir ia satu wacana yang sangat menarik dan membina.

0 comments: