Dec 7, 2008

Tanah runtuh - catatan 1

Penat dan lewat malam tadi saya bermain futsal dengan kawan2. Subuh saya tadi dikejut oleh panggilan bro Zaharin bertanya tentang kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Alamak, ada tanah runtuh lagi ke, dekat rumah aku pula tu! Siap solat subuh, saya buka berita tv RTM1, ya memang sah ada tanah runtuh lagi jadi. Dalam 10 hari ni, bencana tanah runtuh saja jadi berita utama. Pertama di Ulu Yam, lepas tu di Jalan Semantan KL dan terkini di Hulu Kelang, tempat kami sekeluarga semua menetap dan bergiat.

Sempat juga saya menyelinap berhampiran tapak kejadian jam 11 pagi tadi. Dan ketika itu MB Selangor dan Exco serta ADUN2 kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang dan Lembah Jaya baru selesai membuat tinjauan bersama Timbalan Perdana Menteri. Dari jauh dapat juga saya dilihat timbunan tanah runtuh yang sememangnya besar dan tinggi itu, agak mustahil kalau nak diikut akal dan pengukuran saya sebagai layman ini bahawa ada mangsa tertimbus masih mampu bernafas. Apapun kita doa agar yang masih tertimbus masih dapat diselamatkan dengan bantuan puluhan agensi2 kerajaan dan profesional serta ratusan anggota keselamatan dan penyelamat.

Orang ramai (termasuk saya lah tu!) memang ramai di kawasan tersebut. Suasana agak 'huru-hara' sikit disebabkan sesaknya kawasan tu. Bahasa mudahnye, "macam kiamat dah haa", tapi kalau itu pun orang dah kata macam kiamat, hari kiamat sebenar pasti lebih dahsyat, wal'iyazubillah. Dan petang tadi hujan turun dengan amat sangat lebat sekali, gerun saya nak fikir bagaimana operasi menyelamat nak dilaksanakan!!

Sebaik melihat keadaan ini, terus saya membuat keputusan untuk mengambil Nadiah dan Insyirah dari rumah saya yg jaraknya tidak jauh dari kawasan kejadian dan menetap sementara di rumah ayah. Tambah pula memikirkan access road ke rumah saya juga dikongsi bersama penduduk Bukit Antarabangsa.

Jika didengar berita radio dan tv, pasti akan mengimbau kembali segala kejadian tanah runtuh yang berlaku khusus di kawasan Ampang Ulu Kelang ini. Bukan sikit korban nyawa dan harta benda dalam tragedi2 ini, namun kejadian sama masih berulang. Dimaklumkan oleh Exco Perumahan Negeri Selangor bahawa kawasan tragedi ini adalah kawasan bercerun kelas 4, iaitu satu kelas di bawah kelas 5 yang sememangnya tidak sesuai untuk dijalankan pembangunan.

Akan tetapi saya fikir disebabkan lokasi kawasan Ulu Kelang ini agak strategik, iaitu hampir dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (kalau jalan clear, 5 minit je dah sampai KLCC), dihubungkan dengan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) nak ke Utara, nak ke Pantai Timur, nak ke Selatan semuanya boleh terus ikut laluan ni, dan terkini dalam pembinaan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (boleh terus sampai Jalan Duta, cepat ni!!), maka permintaan terhadap pembangunan perumahan adalah sentiasa tinggi. Tak hairanlah banyak orang-orang ternama pun mendiami kawasan ni.

Pembangunan perumahan terkini di kawasan Ulu Kelang ni adalah pembinaan rumah-rumah mewah di atas bukit-bukit di kawasan ini. Beberapa kali saya berpeluang menemani YB Pak Abu untuk meninjau kawasan pembangunan yang semuanya di atas bukit. Nilai rumah2 ni bukan seratus ke tiga ratus ribu, tapi sejuta ke tiga juta ringgit!! Dan kebanyakannya dibeli oleh warga asing, mane lagi, orang Singapore la!! Pemaju mana yang taknak untung, bila ada permintaan, apa pun sanggup dibuat. Potong bukit? Ratakan bukit? Luruskan sungai? Tambak sungai? Semua boleh, asal rumah mewah dapat dibuat. Akibatnya kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku hari ni.

Tapi bagi rakyat kebanyakan seperti saya ni (yang sememangnya dari kecil membesar di kawasan Ulu Kelang ni), lokasi kawasan ini yang berdekatan dengan tempat kerja dan segala kemudahan yang lain adalah sebab utama mengapa kediaman di kawasan ini yang dicari. Biarlah atas bukit pun, asalkan tidak perlu jauh daripada tempat kerja. Mungkin begitu fikiran orang yang mendiami kawasan ini. Entah2 perumahan pangsapuri yang saya diami sekarang ini pun berada di kelas 3 atau 4 dan berisiko besar mengalami tragedi seperti di Bukit Antarabangsa, wal'iyazubillah mohon Allah jauhkan..

2 comments:

afitri said...

assalamualaikum.. muthanna duk ulu klang ke? apa nama kawasan tu? apa nama apartment tu?

Muthanna Saari said...

yup ukay perdana, apt sri baiduri