Dec 7, 2008

Tanah runtuh - catatan 2 dan Salam Eidul Adha

Tiada apa sangat yang saya lakukan hari ini. Entah kenapa kepala agak pening, walaupun selepas berbuka puasa hari wukuf hari ni, sakitnya agak lambat surut. Namun sepanjang hari terutamanya lewat petang tadi, bunyi helikopter agak kuat. Terasa seperti helikopter sedang mendarat di atas bumbung rumah, hingga bunyi bilah kipasnya pun dapat didengari.

Operasi menyelamat kejadian tanah runtuh hari ini banyak memindahkan penghuni2 yang terperangkap di atas bukit menggunakan helikopter. Melintasi SK Hulu Kelang melalui laluan MRR2 pagi tadi, orang ramai banyak memperlahankan kenderaan, bukan apa cuma nak melihat helikopter yang besar2 mendarat di padang sekolah berkenaan.

Mendengar laporan berita sebentar tadi, nampaknya mangsa yang dikhuatiri tertimbus juga sudah tiada. Keadaan di sana juga sudah agak terkawal dengan laluan alternatif sedang diusahakan. Insya-Allah keadaan akan menjadi lebih baik dan segalanya akan selesai dengan segera. Cuma yang agak menakutkan ialah masih terdapat pergerakan tanah lagi, yang saya kira masih tidak menentu lagi dan berisiko besar terhadap kawasan2 sekitar.

Analisa berita televisyen juga sebentar tadi mempersoalkan mengapakah selepas 15 tahun kejadian Highland Towers, walaupun ketika itu sudah ada arahan untuk menghentikan pembangunan lereng bukit, pembangunan masih terus berjalan sehingga kini? Saya kira persoalan itu wajar diajukan kepada pihak2 berkuasa yang meluluskan pelan2 pembangunan berisiko seperti itu.

Satunya pasti kerajaan negeri sepanjang 15 tahun lalu yang pastinya menerima permohonan dan melalui ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri telah meluluskan pembangunan sedemikian. Keduanya adalah pihak berkuasa tempatan (dalam kes ini MPAJ) yang memberi kelulusan terhadap segala jenis permohonan pemaju, kebenaran merancang, kebenaran membina, pelan, CF dan segala macam kelulusan berkaitan sesebuah projek pembangunan. Seperti yang saya coret sebelum ini, pemaju ni dia kira untung dia saja. Ada permintaan, ada tanah, permohonan lulus, dia buatlah pembangunan. Yang masalahnya ialah pihak yang meluluskan permohonan ni, patutnya teliti dengan baik lokasi pembangunan dan seterusnya pemantauan dan penguatkuasaan harus dilaksanakan. Saya kira di sinilah sepatutnya siasatan dilakukan. Adanya unsur RASUAH? Saya tak berani nak tuduh, tapi sepanjang hampir 9 bulan kerajaan negeri Selangor yang baru ini, banyaklah cerita2 dikemukakan.

2 hari sebelum kejadian ini, sememangnya saya melalui jalan yang tertimbus itu untuk ke Taman Bukit Utama menghadiri satu mesyuarat/dialog bersama penduduk menemani YB Pak Abu. Dan 3 hari sebelum itu juga, kami meninjau beberapa projek di sekitar Taman Melawati. Di lereng-lereng Permatang Kuarza (yang telah digazet menjadi Taman Warisan Selangor). Semuanya sedang dalam pembinaan projek-projek perumahan mewah di atas bukit. Cantik memang cantik. Dari atas bukit boleh nampak semua, seluruh Kuala Lumpur pun boleh nampak. Gerun memang gerun, sebab memang pastinya bukit itu telah dipotong dan distruktur supaya rumah2 boleh dibina. Bahkan dari pondok kawalan keselamatan nak naik ke kawasan perumahan itu adalah bercerun hampir 45 darjah. Dan salah satu projek di Taman Melawati juga, sungai ditambak. Sekali lagi cantik memang cantik, tapi kalau Empangan Klang Gates dilepaskan airnya dengan kuantiti besar, adakah sungai yang sudah diubah itu mampu menampung air besar yang tiba?


Dan bila persoalan ditanya, tak boleh ke apa2 dilakukan sebelum berlaku sesuatu? Mengapa pembangunan berisiko sebegini tidak boleh dihentikan begitu saja? Yang saya pasti perjanjian dengan pemaju sudah ditandatangani, pastinya ada aspek perundangan yang perlu dilihat dan diambilkira. Dan pastinya pemaju tidak mahu berputih mata, manakala kerajaan negeri Selangor yang baru ini sedang mengharungi masa-masa yang mencabar untuk menangani dan menyelesaikan segala macam sampah kesilapan keputusan kerajaan yang lalu.

Semoga keputusan kerajaan negeri Selangor untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan cerun kelas 3 dan 4 boleh dijadikan satu asas yang baik. Dan iltizam yang tinggi untuk memelihara alam sekitar terutamanya bukit-bukau dan gunung-ganang yang menjadi pasak bumi akan dapat terus menjadi paksi pentadbiran kerajaan ini.

Mudah2an Allah mengampuni segala macam dosa2 kita dan mangsa2 yang terlibat sama ada langsung atau tidak langsung akan memperoleh sedikit keinsafan dari tragedi ini dan diberi kekuatan olehNya.

Selamat Hari Raya Eidul Adha. Moga semangat berkorban dapat kita ambil dan jadikan iktibar dalam kehidupan...AllahuAkbar walillahilhamd..

0 comments: