Feb 13, 2009

Palestin terus di hati kita..

Wakil Kerajaan Hamas Palestin, Dr Sami Abu Zuhri bertandang ke kawasan Hulu Kelang dalam satu ceramah anjuran Muslimcare hari Selasa lepas. Beliau adalah jurucakap rasmi kerajaan Hamas dan akan berada di Malaysia untuk memberi penerangan kepada rakyat Malaysia di samping menerima sumbangan-sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia.


Muslimcare yang bertanggungjawab menganjurkan ceramah penerangan ini baru-baru ini dalam misi bantuan kemanusiaannya kepada rakyat Palestin di Ghazzah telah berjaya menyusup masuk ke bumi Ghazzah. Walaupun dengan sekatan ketat di sempadan Rafah oleh kerajaan Mesir, mereka berjaya masuk dan melihat sendiri kesan kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel laknat. Daripada rakaman foto dan video yang dipancarkan dalam program ceramah tersebut, memang kemusnahan dan kehancuran di bumi Ghazzah itu jauh lebih dahsyat dan teruk lagi daripada apa yang biasa kita lihat di media-media massa. Terkilan juga rasa sebab kali ni saya tak dapat join Ustaz Riduan, Hj Zul Wahijan dan lain-lain geng Muslimcare dalam misi mereka menjejak kaki ke bumi Palestin yang diberkati. Insya-Allah dalam hati kita masing-masing mesti ada impian untuk ke Palestin, moga Allah kabulkan doa dan hajat kita.

Dalam ceramah Dr Sami Abu Zuhri pula yang diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi, jelas beliau memang seorang pejuang Palestin yang tabah dan cekal semangat. Wajahnya tenang walaupun dapat dirasakan semangatnya yang membara untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Palestin yang sekian lama ditindas oleh Israel laknat. Dr Sami banyak berkongsi cerita tentang semangat anak-anak kecil dan ibu-ibu terhadap jihad dan syahid dan betapa mereka tidak sedikit pun gentar dengan Israel laknat.

Ada satu perkara yang dikongsikan beliau adalah bagaimana tentera Israel laknat mendakwa mereka melihat tentera-tentera Hamas yang memakai pakaian jubah serba putih. Bagaiamanapun menurut Hamas, anggota tentera mereka tidak memakai pakaian sebegitu. Juga tentera Israel laknat mendakwa mereka melihat tentera-tentera Hamas yang tinggi-tinggi lampai sehingga mencecah ke langit. Subhanallah, Maha Suci Allah, itulah kuasa Allah menghantar bantuan kepada tentera-tentera-Nya yang mempertahankan kesucian agama-Nya. Pasti banyak lagi kejadian-kejadian aneh yang berlaku sepanjang serangan ganas Israel laknat tempoh hari yang pastinya tidak didedahkan dalam media masa.

Dengan semangat yang membara, Dr Sami menegaskan bahawa peperangan yang berlaku baru-baru ini bukanlah kemuncak atau yang terakhir dalam sejarah panjang isu di Palestin ini, akan tetapi ia adalah satu marhalah dalam perjuangan rakyat Palestin memperjuangkan hak dan kebebasan mereka sehingga akhirnya Allah akan memberikan kemenangan kepada mereka dan Islam keseluruhannya.

Serangan terhadap Ghazzah kali ini sebenarnya telah membuka mata masyarakat dunia dan masyarakat di Malaysia khususnya terhadap isu sebenar di Palestin. Simpati dan sokongan terhadap Hamas selaku kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin semakin meningkat. Kalau dulu semasa Hamas baru menang pilihanraya, masyarakat dunia memandang serong terhadap Hamas atas palitan organisasi militan oleh Amerika Syarikat. Namun atas semangat jihad dan mempertahankan kedaulatan Palestin, Hamas kini mula difahami oleh masyarakat dunia. Sekurang-kurangnya rakyat Palestin yang diwakili Hamas dapat menerima sumbangan daripada seluruh masyarakat dunia.

Dan semalam Dr Sami mewakili kerajaan Hamas Palestin menerima sumbangan lebih RM500,000 daripada Tabung Harakah. Moga Allah memberkati penyumbang-penyumbang dan sumbangan yang diberikan. Allahuakbar!

1 comments:

ahl mujahideen wa syuhadaa' said...

ALLAHU Akbar!!!