Feb 17, 2009

Takziah atas kematian

Takziah saya ucapkan kepada sahabat sekelas sekolah saya, Danial Md Isa atas pemergian arwah ibunya, Cikgu Badariah Baharin. Arwah adalah guru English saya di sekolah dulu dan hubungan saya dan keluarga Danial agak baik ketika sekolah dulu. Bukan saja mengajar di sekolah, kami (study group) belajar English di rumah cikgu kalau tak silap saya menjelang peperiksaan PMR.

Saya fikir ini satu ujian yang agak berat untuk Danial yang kini menjadi ketua keluarga kepada 4 orang adik-adiknya dengan yang bongsu masih bersekolah. Arwah ayahnya (yang pernah menghantar saya balik ke rumah lepas kelas english di sekolah dulu dengan menaiki Yamah Virago nya) meninggal beberapa tahun lepas, ketika tu saya berada di US atas urusan kerja. Dan kini ibu mereka pula meninggalkan mereka. Diberitahu arwah ibunya diserang tekanan darah yang begitu tinggi sehingga sarafnya pecah dan menghembuskan nafas terakhir di sisi semua anak-anaknya di Hospital Ampang Putri.

Ketika arwah Cikgu Badariah sedang nazak di hospital, saya melihat dengan penuh sayu dan rasa simpati kepada keluarga ini. Namun inilah takdir Allah yang pasti kita semua lalui suatu hari nanti. Disebabkan Insyirah tak sihat dan meragam di hospital, saya terpaksa balik dan hanya menerima berita pemergian arwah Cikgu melalui sms jam 3.00 pagi. Hanya sedikit kata-kata semangat dapat saya bisikkan kepada Danial untuk beliau mengharungi ujian ini. Moga-moga Allah beri kekuatan kepada Danial dan adik-adiknya, dan moga Allah tempatkan arwah ibu dan ayahnya di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah.

Esoknya pula dapat berita kematian maklong Ummu Insyirah di kampung di Pahang. Bergegaslah kami balik ke Pahang dan sesampainya di kampung, jenazah sudah siap dimandi dan dikafankan, cuma menunggu kubur siap digali. Arwah maklong memang sudah lama sakit dan tinggal di rumahnya bersama anak sulungnya dengan keadaan yang uzur sekali. Seingat saya hanya 1-2 kali saja saya berkesempatan menemui beliau sejak berkahwin dengan ummi, yang terakhir adalah masa Raya Puasa lepas, sempat juga Insyirah bermain di ruang tamu rumah tersebut.

Moga berita kematian ni akan lebih sentiasa mengingatkan kita kepada maut yang pasti menjemput kita suatu hari nanti. Apa cukup amalan kita sebagai bekalan di hari akhirat kelak? Jangan sampai kita menyesal di hari pembalasan kelak sebab di sana nanti, "no turning back"

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" (An-Naba':40)

0 comments: