May 19, 2009

Perihal menegur, mengkritik dan menasihati

Imam Nawawi dalam kitab Hadis 40 ada memuatkan satu hadis yg begini maknanya, "Agama itu adalah Nasihat". Islam itu sendiri adalah satu agama nasihat-menasihati sekiranya berpandukan kepada Hadis di dalam kitab ini. Nasihat menasihati juga adalah satu perkara yg berkaitan dengan berbeza pendapat atau pandangan, ataupun ikhtilaf. Adakah ia satu yg tidak baik berbeza pendapat? Pasti tidak kerana dalam Islam kita mempunyai pelbagai perbezaan pendapat, yg nyatanya dalam kaedah Fiqh. Perbezaan pendapat telah melahirkan 4 mazhab Fiqh yg utama yg mana ia memperkayakan ilmu Usul Fiqh itu sendiri.

Bukankah juga dalam soal mengeluarkan pendapat, para ulama' yg mengeluarkan pendapat istilahnya mereka ini berijtihad dengan ilmu dan kefahaman mereka juga dijanjikan pahala? Jika benar dan tepat ijtihad mereka, maka 2 darjat untuk mereka. Adapun jika salah dan tidak tepat ijtihad mereka, mereka tetap mendapat 1 darjat atas pandangan dan ijtihad yg telah dikeluarkan itu. Ini semua jelas menunjukkan bahawa ikhtilaf itu adalah suatu yg dibenarkan dan diyakini sekiranya betul dan kena caranya, akan menguntungkan semua pihak yg berbeza pandangan itu.

Ini juga yg dikatakan sebagai adab ikhtilaf. Sekali kita berbeza pendapat, ia mesti didasarkan kepada ilmu dan fokusnya adalah kepada perkara pokok dan yg besar, tidak kepada perkara remeh dan ranting semata-mata. Dan dalam menyatakan pendapat kita, sikap selalu ingin menang harus kita buang agar kita lebih terbuka kepada pendapat pihak yg berbeza pendapat dengan kita. Dan saya kira adab yg paling penting sekali apabila kita berikhtilaf dengan sahabat, apatah lagi dalam satu jamaah ialah untuk kita hanya berbeza dalam pemikiran dan tidak dibawa perbezaan itu ke dalam hati, supaya ukhuwah yg terjalin selama ini tidak terjejas akibat kita menyatakan perbezaan pandangan kita secara terbuka.

Namun ini antara fenomena yg sukar kita hadapi. Ustaz Fathi Yakan dalam kitab Abjadiyyat nya yg sedang kami telaah sekarang ini menggariskan syarat terakhir dalam mengkritik atau menegur atau bahasa lembutnya menasihati seseorang adalah BERLAPANG DADA. Secara hakikatnya, adakah mudah untuk kita berlapang dada menerima secara terbuka sesuatu kritikan terhadap kita? Apalagi jika kritikan pedas yg memang betul2 kena tepat atas batang tubuh kita? Ia pasti suatu yg sukar jika kita tidak mempunyai sikap berlapang dada atas teguran dak kritikan sahabat. Dan memetik kata-kata Sasterawan Negara, A Samad Said, "telinga satu, berlidah dua". Maknanya banyak sangat dan pandai sangat bercakap mengkritik menghentam, tapi sukar sekali untuk mendengar dan menerima kritikan dan teguran.

Pernah sekali dalam satu mesyuarat agung di Kedah beberapa tahun lalu. Seorang ahli bangkit dan mengkritik dengan kritikan tajam dan amat pedas kepada kepimpinan. "Pemuda lembik, cheroi, tak buat keja, sibuk usung laptop sini sana, keja apa pun takdak". Begitulah lebih kurang teguran yg dibuat. Dan jika kita tidak berlapang dada dan tidak fikir yg kita pernah silap, pasti berlaku pertikaian hebat di situ. Lebih banyak kita mendengar dan terus memuhasabah buruk benar teguran itu, lebih banyak kebaikan yg boleh kita perbetulkan. Bukankah telinga kita dua dan mulut hanya satu? Jadi lebihkan mendengar, kurangkan bercakap, jika ia tidak mendatangkan manfaat.

Seringkali terjadi juga apabila kita mengkritik, orang yg dikritik itu akan berasa hati dan kadangkala dalam satu organisasi, orang itu akan membawa diri atau istilahnya merajuk. Apatah lagi sekiranya yg mengkiritik itu adalah Kaum Muda dan yg dikritik itu golongan otai2 @ Kaum Tua? Atau barangkali jika orang yg dikritik itu adalah yg empunya kuasa dan sukar menerima kritikan, maka yg mengkritik akan menerima balasan, sama ada diserang balas kritikan atau dipecat daripada kedudukan atau dalam konteks kerajaan Malaysia hari ini, disumbat ke dalam Akta celaka ISA. Itulah perihal menegur, mengkritik, menghentam atau yg lebih baik adalah menasihati, semua bergantung kepada niat dan tujuan sesuatu kritikan atau teguran itu dibuat.

Dan akhirannya, dari kitab Abjadiyyat itu juga, dipetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, "Aku suka sekiranya kalian dapat menunjukkan kesalahan aku!!" Moga sikap lapang dada dan terbuka dapat kita praktiskan sebaik-baiknya.

0 comments: