Jun 8, 2009

penguncup bahasa yang menyeksa bangsa

Isu bahasa dan PPSMI nampak terus hidup dan diperjuangkan. Dan nyatanya Sasterawan Negara Dato A Samad Said pula makin cekal membantah dasar pendidikan ini.


Beliau bersama Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Dato Hassan Ahmad terbaru menerima Anugerah Pejuang Bahasa sempena Muktamar PAS di Shah Alam. Semasa pengerusi penilaian, Prof Emeritus Abdullah Hasan membacakan keputusan penilaian panel penilaian, menyebut tentang perjuangan mereka terutamanya dalam isu PPSMI dan pedih gas pemedih mata dalam himpunan PPSMI baru-baru ini.

Dan sebelum itu Dato A Samad juga membacakan puisi Suara Dari Dinding Dewan semasa muktamar Pemuda di Melewar.
Angkasa, samudera, saham dan jentera
gunung-ganang ilmu tak terlidah bangsamu
dikata yakin wira bangsa
Lalu terkuak gerbang pustaka, bahasaku
menjadi pengembara turun melata ke lurah
garang sesekali hanya demi pilihan raya

Kalau ditanya pintu dan jendela
lantai, genting dan anak tangga
(kalau takhta bahasa itu masih ada)
kalau jujur dihujah sejarah dengan warkah
dan watikah (kalau sejarah benar ada, juga masih dipercaya);
pintu dan jendela
lantai dan genting, juga anak tangga
tetap juga bersepi, termengah
meniup bara api mimpi
kerlip kebingungan empat dekad ini

Bahasa yang akan terus berkata
(detak nafas yang tak wajar kalah)
bahasa itu ada dalam dewan ini 
Tulen. Letih. Genting

Bahasa itu akan terus berkata
tentang lara dan luka bangsa
Luka itu ada dalam dewan ini 
Ikhlas. Pedih. Gering
Entah tinggi bahasa sasteranya memang sukar nak dimengertikan. Sehinggalah timbul istilah "penguncup bahasa" yang sememangnya tak pernah terlintas di fikiran untuk menggambarkan pihak2 yg memperkenal dan seterusnya melaksanakan dasar PPSMI ini. Tapi mendengar pembacaan puisi oleh Dato A Samad Said malam itu sudah cukup menggambarkan ketinggian bahasa dan sasteranya. Dan akhirnya di dalam puisi yang panjang yang ditulis pada Mei-Jun 1996 itu;
Benarkan sesekali aku berduka
nelayan yang terlalu mengasihi bangsa,
benarkan lukanya didera samudera.
Dan usah datang mencarinya
sebelum dan sesudah pilihan raya
ia telah tergelongsor jauh ke lurah
jaring kebingungan tenat bahasa.

Empat dekad bahtera bangga
anak cucu wajar menduga
mereka khusyuk atas sejadah
depan Al-Quran mereka bertanya:
Buah ranum pada tangkai
bahasa gugur dari hati
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?
Beberapa malam sebelum itu, saya mendengar satu slot bicara buku dalam radio di tengah perjalanan ke Melewar. Pengulas buku itu membangkitkan perihal zaman ketamadunan Islam ketika budaya ilmu sedang memuncak di Kota Baghdad dan sebagainya, begitu banyak sekali buku-buku yang dibawa dan diterjemah ke dalam bahasa pertuturan orang di Kota Baghdad.

Membuktikan bahawa penguasaan sesuatu bidang ilmu itu lebih baik di dalam bahasa ibundanya. Tambah pula subjek sains dan matematik. Tiada aspek pengukuhan bahasa yang diperlukan di dalam subjek2 ini. Dianalogikan lagi, "kalau nak perhebat silat sendeng, kenapa perlu perbaiki skill kungfu?", begitu sinis pengulas buku itu.

Dan akhirnya "bahasa jiwa bangsa" itu akan menjadi "bahasa seksa bangsa"..katanya Dato A Samad Said lagi... 

3 comments:

muhammad said...

salam
bahasa jiwa bangsa bro

p/s : dunia tanpa sempadan memungkinkan segala2 nya dekat.

ridwanto

AKUOKU said...

jemput dtg ke kajang... 4hb julai 2009
http://cakaprakyat.blogspot.com/9

Muthanna Saari said...

ridwanto: cepat je update keputusan ye...bahasa seksa bangsa kata a samad said

akuoku: terima kasih, menarik juga program tu. boleh jumpa annisa dan annur..