Dec 10, 2009

BTN dan soal perkauman melampau

Kursus Biro Tata Negara (BTN) tiba-tiba heboh diperkatakan apabila kerajaan Negeri Selangor mula membantah pelaksanaannya ke atas kakitangan awamnya dan yg berkaitan. Jika sebelum ini banyak sudah diperkatakan tentang pengisian kursus ini, namun bila ia keluar daripada sebuah kerajaan Negeri yg sah, maka ia menjadi isu negara.

Apabila desakan supaya kursus ini dimansuhkan terus, kabinet membuat keputusan untuk merombak kurikulum kursus ini supaya ia benar-benar mencerminkan sifat dan aqidah 1Malaysia yang sedang dipegang oleh kerajaan kini. Dengan keputusan ini nampak sahih lah yang kursus BTN ini sememangnya mengandungi pengisian2 yg tidak sepatutnya disampaikan dan yg pasti bersifat perkauman Melayuwiyah Assobiyyah.

Kemudian berperang pula bekas memanda menteri dan seorang bapak menteri tentang keputusan untuk merombak kurikulum kursus ini. Tuduh-menuduh tentang siapa yg lebih perkauman, siapa bapak perkauman, kenyataan paling bodoh dan semuanya habis terkeluar seolahnya mereka berdua ini sememangnya sudah sekian lama mempunyai perselisihan. Dan akhirnya diakui juga bahawa parti keris itu sememangnya satu parti perkauman.

Dan seperti biasa bapak menteri ini selalu dibiar berhadapan berseorangan dengan kritikan bekas memanda menteri ini terhadap keputusan 'kerajaan'. Walhal keputusan merombak kurikulum kursus BTN ini adalah keputusan kabinet menteri, tetapi yg berperang dengan kritikan bekas memanda menteri ini adalah bapak menteri yg seorang ini saja. Apa pula pendirian memanda menteri dan timbalan memanda menteri 1Malaysia terhadap serangan terbaru ini...hairan juga, senyap saja.

Teringat saya dengan kursus BTN yg pernah saya hadir semasa masih menuntut di UTM dulu. Konon diwajibkan kursus ini kepada saya dan kami ketika itu bagi melayakkan diri menjadi AJK Haluan Siswa pelajar baru sesi pengajian akan datang. Selepas berbincang akan kemaslahatannya, kami pun turut serta menyertai kursus 5 hari 4 malam ini dengan pelbagai bekalan persiapan minda terhadap pengisian2 brainwash seperti yg biasa disebut di luar daripada kursus ini.

Dan ternyata sepanjang mengikuti kursus ini ternyata benarlah apa yg disebut-sebut di luar. Daripada ceramah ekonomi, keselamatan dan ada dua lagi modul yg tidak saya ingati, semuanya diisi dengan serangan-serangan kepada pihak pembangkang dan tokoh2 tertentu dalam negara ini dan yg pastinya bersifat perkauman Melayuwiyah Assobiyyah ditambah lagi dengan lagu yg pertama kali saya dengar dan 'terpaksa nyanyikan', Anak Kecil Main Api.

Dalam satu kesempatan memanggil seorang jurulatih di kediaman jurulatih, ternampak saya bahan2 risalah berbaur perkauman serta seolah bahan2 kempen pilihanraya untuk parti dacing dan parti keris. Makin yakinlah saya yg kursus BTN ini sememangnya senjata ampuh untuk membasuh pemikiran dan fahaman peserta kursus.

Satu modul terakhir yg tidak akan saya lupakan dalam kursus BTN ini yg begitu keras menerapkan semangat perkauman adalah 'permainan' jual-beli tawar-menawar sebuah kapal layar. Kami diminta melukis sebuah kapal layar di atas sehelai kertas dan selepas itu diminta untuk menjual kapal layar itu kepada rakan peserta yg lain dengan harga yg paling tinggi. Ketika dewan hingar dengan proses tawar-menawar tersebut, satu lagu klasik Melayu yg mendayu-dayu dimainkan sebagai lagu latar.

Saya dan teman-teman, Che Mat Khomeini, Humaidi Botol dan lain-lain sudah sedar tentang 'permainan' ini hanya duduk di tempat kami tanpa melakukan proses jual-beli tersebut. Sehinggalah jurulatih memecah suasana hingar tersebut dengan menyalahkan peserta2 yg sedang berjual beli itu sebagai begitu murah sekali menjual maruah dan harga diri bangsa Melayu. Macam2 lagilah yg di'khutbah'kan dengan penuh emosi sambil memainkan sentimen Melayu di ambang bahaya dan lain-lain.

Kami memerhati sekian banyak peserta lain mula teresak-esak dan tersedu-sedan tanda proses membasuh pemikiran mereka supaya bersifat perkauman (atau istilah bapak menteri, bloody racist) sudah berjaya menguasai sebahagian para peserta. Dan lebih teruk lagi ada seorang peserta yg tidak dapat mengawal emosi marahnya kepada bangsa lain, seperti dirasuk mencapai sebatang kayu dan mula mengamuk, entah apa dan kepada siapa yg nak diamuknya.

Begitulah betapa perkaumannya kursus BTN ini dan mudahnya sentimen perkauman ini menyerap ke dalam pemikiran para peserta. Sokongan saya kepada digantikan saja kursus ini kepada kursus lain yg lebih baik modul dan pengisiannya.

0 comments: