Mar 3, 2010

Apa yang tidak kena dengan Sambutan Maulidurrasul...

Sangat ceria 'berarak'..seragam semua satu warna

Selawat dan salam kita ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insan teragung di muka bumi ini. Sekalipun baginda telah meninggalkan kita lebih 1,400 tahun lampau, namun jasa dan sumbangannya menyebarkan Islam yang sampai kepada kita hari ini.

Sehingga Nabi Adam a.s sendiri bertanya kepada Allah siapakah Muhammad yang namanya banyak sekali tertera di dalam syurga menggambarkan betapa istimewanya baginda Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah.

Tidaklah sama baginda dengan mana-mana insan sekalipun kerana terpelihara keturunan baginda SAW daripada sebarang perhubungan di luar pernikahan, Allah memelihara nasab keturunan baginda SAW. Disucikan hati baginda SAW oleh Jibril a.s dengan air zamzam daripada sifat-sifat keji dan tercela.

Yang wanita pun gembira 'berarak'...semua juga seragam warna bajunya

Saban tahun tarikh 12 Rabi'ul Awwal 'wajib' disambut oleh umat Islam di negara ini dengan perarakan dan sambutan yang meriah dan gilang-gemilang. Pun begitu apakah hasil dan kesan sambutan sekali setahun ini terhadap kesedaran dan kecintaan kita kepada baginda SAW dan ajaran yang dibawanya.

Tahun ini juga sedikit kecoh apabila 'dikatakan' sebuah kerajaan negeri tidak menganjurkan perarakan seperti yang lazim dilaksanakan. Dan pada masa yang sama banyak lagi kerajaan negeri yang memilih untuk tidak melaksanakan perarakan ini.

Apakah yang istimewanya perarakan sambutan maulidurrasul ini sehingga layak digelar anti-Islam jika tidak mengadakannya? Mungkin di sudut untuk menggalakkan peserta perarakan itu berselawat dengan sebanyak-banyaknya semasa perarakan itu adalah suatu yang baik, kerana barangkali jika tiada perarakan itu, tidak berselawatlah kita.

Majlis berjalan 'gilang-gemilang'

Akan tetapi pada pemerhatian saya, perarakan ini kini dilihat menjurus kepada acara pertandingan semata-mata. Tidak nampak unsur memperingati Rasulullah SAW apatah lagi menghayati ajaran baginda. Sorak-sorai peserta perarakan ketika pengumuman pemenang perarakan terbaik, slogan perarakan terbaik, kain rentang terbaik telah menenggelamkan tujuan sebenar sambutan ini diadakan.

Seperti biasa perkara sebegini sudah menjadi upacara ritual keagamaan semata-mata. Cukup ia disambut, di'majlis'kan, dibuat ucapan serba-serbi dan ada cenderahati dan anugerah untuk diberi. Dan tampak kegembiraan perarakan itu kepada cantiknya dan samanya warna baju seragam pasukan perarakan (tidak pasti sama ada baju itu dibayar sendiri atau ditaja jabatan/agensi), jamuan makan yang diberikan dan juga kepada anugerah dan hadiah yang disampaikan.

Mungkin kita perlu lebih kreatif mengolah sambutan maulidurrasul yang disambut setiap tahun ini supaya bukan saja peribadi bahkan ajaran baginda Rasulullah SAW itu dapat meresap jauh ke dalam hati sanubari kita. Ada berkata sambutan di negeri Kelantan adalah jauh berbeza dan sangat menarik untuk dihadiri, allahu a'lam saya pun tak pernah hadir.

Dan supaya tidaklah dewan sambutan itu menjadi seperti majlis konsert rock ber'peewwit-peewit', hanya kerana yang menyampaikan persembahan itu adalah Amy Search..walaupun berpakaian lengkap baju Melayu dan menyanyikan lagu Selawat dan ketuhanan....pasti ada yang tidak kena dengan format sambutan maulidurrasul ini....

1 comments:

eden said...

yang tak kenanya ialah orang yang nak disambut dan diraikan tak de kat situ...(Rasullullah)
takdak maknalah sambutan tu...
macam syok sendiri je..