Nov 19, 2010

Takrifan Bughah dalam 25 Tahun Tragedi Memali

Para ulama secara sepakat mengatakan bahawa Bughah merupakan satu kumpulan yang menentang pemerintahan (Islam) dalam perkara yang bukan melibatkan maksiat.

Ulama Hanafi mendefinasikan Bughah ialah sekumpulan kaum yang mempunyai kekuatan senjata dan keupayaan menentang dan berlawan. Mereka menyalahi umat Islam dalam sebahagian hukum dengan berdasarkan takwil atau kefahaman mereka sendiri. Mereka ini tinggal di kawasan-kawasan tertentu dan merupakan kumpulan ala tentera serta menjalankan undang-undang mereka sendiri seperti puak Khawarij dan lain-lain puak.

Ulama Maliki mentakrifkan Bughah satu kumpulan yang berperang berdasarkan takwil atau kefahaman mereka sendiri seperti yang dilakukan oleh puak Khawarij di mana mereka keluar dari kuasa Imam dan enggan mematuhi Imam atau mereka enggan menunaikan kewajipan yang diarahkan oleh Imam seperti kewajipan membayar zakat atau seumpamanya.

Ulama Hanbali mentakrifkan Bughah sekumpulan manusia yang enggan patuh dan taat kepada Al-Imam sekalipun Imam tadi tidak adil dengan berdasarkan takwil dan kefahaman mereka sendiri dan kumpulan ini mempunyai kekuatan senjata sekalipun mereka tidak mempunyai pengikut. Hukum keluar dari mentaati Imam adalah haram sekalipun Imam itu tidak adil.

Ulama Syafie mentakrifkan Bughah satu kumpulan manusia yang mengeluarkan diri mereka dari mentaati Imam atau enggan menerima semua perintah yang dikenakan ke atas mereka seperti mengeluarkan zakat dengan syarat kumpulan ini mempunyai kekuatan senjata dan tindakan mereka itu adalah berdasarkan kepada takwil dan kefahaman sendiri dan mereka mempunyai pengikut. Disebutkan lagi bahawa pengikutnya adalah ramai dan mempunyai kekuatan untuk menentang pemerintahan.

dipetik dari buku Isu Memali; Hakikat dan Realiti

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam menafsirkan ayat 9 surah Al-Hujuraat:-
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
Dengan menggunakan metod Islah dalam kaedah penafsiran ayat Al-Quran, beliau menegaskan tentang persoalan Bughah ini; yang mana dinyatakan sekiranya kerajaan itu tidak menjalankan syariat Islam, maka tidak wujudlah apa yang diistilahkan sebagai pemberontak. Mengambil contoh tindakan Saidina Ali dalam menghadapi tentangan Muawiyah dalam Peperangan Siffin dan mengaitkannya dengan peristiwa Memali sebagai perbandingan bagaimanakah tindakan sewajarnya 'jika sekiranya Memali dikatakan Bughah sekalipun"!!

Al-Fatihah untuk Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan syuhada' Memali...kamu inspirasi perjuangan kami. Tragedi 25 tahun lalu pasti subur dan segar lagi menyegarkan jiwa-jiwa pencinta syahid...
وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاء عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezki. (Ali Imran:169)



0 comments: