Dec 20, 2010

Kemuliaan Masjid dan Kesempatan bersama Tuan Syeikh Nuruddin

Dan daripada 7 golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya ialah golongan yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim sebagai seorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.

Begitu besarnya martabat hamba-hamba Allah yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid, pasti solat lima waktunya sentiasa terjaga untuk dikerjakan di masjid, ditambah lagi dengan urusan-urusan pengajian, kuliah dan sebagainya yang berlangsung di masjid.

Apalagi jika Masjid itu adalah Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau Masjidil Aqsa. Ganjaran yang beratus ribu mahupun beribu kelebihan hanya dengan mengerjakan solat di dalamnya.

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Bertasbih kepada Allah di mesjid-mesjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang (An-Nuur:36)

Kisah seorang sahabiah Rasulullah SAW bernama Ummu Mihjan. Ingin saja saya kongsikan kisah wanita tua berkulit hitam ini yang tugasnya hanyalah sebagai seorang yang menjaga kebersihan masjid di zaman Rasulullah SAW.


Dan ditakdirkan beliau meninggal dunia pada suatu malam dan jenazahnya diuruskan dalam tempoh malam tersebut juga sehingga selesai dikebumikan. Dan pada keesokan harinya, Rasulullah bertanya sahabat ke manakah perginya Ummu Mihjan. Lantas dimaklumkan bahawa wanita itu telah kembali ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan.

Sebaik mendengar khabar ini, Rasulullah SAW terus memanggil para sahabat ke kubur Ummu Mihjan dan baginda sendiri mengimami solat di atas kubur Ummu Mihjan ini. Begitulah besarnya sumbangan dan kerja 'kecil' yang dilakukan oleh Ummu Mihjan ini sehingga Rasulullah mengarahkan sekalian para sahabat untuk menunaikan solat ke atasnya.

Soal pengurusan masjid pasti sentiasa menarik perhatian saya kerana ia sentiasa menjadi perbahasan hangat tentang isu mempolitikkan masjid, larangan-larangan terhadap perkara tertentu di dalam masjid, isu non-muslim masuk ke dalam masjid, fungsi dan peranan masjid dalam struktur sosial masyarakat, sehingga kepada aspek yang berkenaan dengan peranan dan keperibadian pegawai-pegawai masjid. Kerana harus diingat, masjid ini rumah Allah, dan bukan hakmilikan mana-mana individu atau institusi.

Justeru terlihat tulisan arab di belakang uniform petugas-petugas kebersihan dan petugas air zam-zam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, pantas saya teringat dan berdiskusi dengan Shahrul tentang ayat ini:-

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَ يَسْتَوُونَ عِندَ اللّهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Apakah (orang-orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.(At-Taubah :19)

Dua hari ini kembali berkesempatan mendengar pengajian daripada Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu di Masjid Kota Damansara, ya pengajian seputar permasalahan menghormati masjid dan kisah Ummu Mihjan yang dikongsikan ini. Bahkan di kuliah Dhuha tadi, lebih 30 minit disentuh beliau tentang permasalahan penggunaan telefon bimbit semasa berada di dalam masjid.

Lebih lima tahun selepas kali terakhir bertemu dengan beliau dalam satu program pengajian khas ketika cuti pertengahan semester di UTM (kebetulan di kemuncak kesibukan semester akhir saya sebagai seorang siswa), kali ini mendengar pengajiannya yang sememangnya sentiasa menyegarkan dan berupaya meningkatkan semangat untuk 'kembali' dalam suasana iman yang terbaik.


Walaupun di kesibukan sebagai siswa semester akhir lalu, saya tetap cekal dengan teman-teman kolokium mengendalikan program pengajian khas itu (walau tahu masa-masa berbaki itu sepatutnya ditumpukan kepada projek akhir dan subjek-subjek lain yang sangat mencengkam), namun mantra oleh seorang sahabat, "ambil berkat ulama" itu saya sematkan dan hasilnya tidaklah mengecewakan buat pengajian saya, dan bonus mendapat perkenalan selama seminggu itulah yang mengenalkan saya dengan Tuan Syeikh.

Moga ada kesempatan lain pula, tidak di sini, di Derang atau di Bogor, insya-Allah!!

Jika pertama kali bertandang ke Masjid Kota Damansara itu semasa majlis perasmian masjid oleh Al-Sultan Selangor, yang dapat hanya menghadiri majlis dan dijamu dengan jamuan rakyat. Tetapi kali kedua dan ketiga ke masjid ini lebih bermakna, kerana dapat ilmu yang lebih bermanfaat!!


1 comments:

SALAHUDDIN said...

http://barahinahmadi.blogspot.com/2011/02/akidah-jemaat-ahmadiyah.html