Sep 30, 2007

Drama klip video menjadi semakin menarik

Ini adalah klip video VK Lingam on phone with Ahmad Fairuz yang diperkatakan ketika ini, melibatkan krisis kehakiman negara. Saya fikir wajar untuk seluruh rakyat Malaysia menontonnya supaya kita tahu apa yang sedang berlaku.

Walaupun sepengetahuan saya, berdasarkan pembacaan dan penceritaan orang-orang yang lebih arif tentang sejarah negara ini, krisis kehakiman berlaku sejak kes pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas pada tahun 1988 oleh satu tribunal. Tapi dengan kehadiran bukti dalam bentuk video sebegini, ia pasti tambah memberi keyakinan kepada orang ramai akan kebenaran berlakunya krisis dalam bidang kehakiman ini.

Jika kita membaca akhbar The Star hari ini, dalam ruangan pandangan bertajuk Weighing state of the judiciary, 3 orang bekas hakim telah ditemuramah untuk memberi komen berkenaan isu krisis kehakiman di negara ini. Saya tertarik dengan beberapa pandangan mereka
Datuk K.C. Vohrah: Judges should not be cowed by superior judges if their directions are not consonant with the principles of justice
Datuk Shaik Daud Ismail: We have many cases where seniors and seniors with merit are not promoted but juniors without merit are
Datuk V.C. George: If you appoint the right people, You don’t need some code to tell them how to behave

Dan dalam kesimpulan akhir, semua ketiga-tiga bekas hakim ini menyokong penuh satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu ini, suatu yang diperlekeh dan 'ditentang' oleh kesemua pimpinan kerajaan hadhari hari ini.

Berkenaan klip video itu, Anwar Ibrahim dalam ceramahnya semalam memberitahu baki klip video yang masih belum didedahkan itu akan didedahkan apabila tiba masanya. Dan beliau juga memberi sedikit hint tentang kandungan baki video itu sememangnya dengan jelas menyebut nama Ahmad Fairuz Abd Halim (Ketua Hakim Negara) sebagai orang yang sedang berbual di dalam telefon dengan peguam Lingam itu.

Nampaknya episod ini semakin menarik, Anwar menerangkan skandal percaturan hakim dan kaitannya dengan taikun-taikun judi di negara ini dan bagaimana percaturan di dalam perbualan telefon itu benar-benar menjadi realiti dengan akhirnya Ahmad Fairuz dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dalam tempoh 6 bulan seperti yang diaturkan.

Sebagai seorang warganegara,
dengan pengakuan-pengakuan bekas-bekas hakim yang arif dalam bidang kehakiman serta fakta-fakta kes yang jelas, saya amat berharap isu ini disiasat seadilnya, jangan akhirnya ia disapu di bawah permaidani dan rakyat terus diperbodohkan lagi. Dan Malaysiaku terus Gemilang....

Sep 29, 2007

Al-Quran, Tazkirah dan Ramadhan

Hari ini sudah masuk hari yang ke-17 Ramadhan. Pada hari inilah Al-Quran diturunkan, maka banyaklah acara-acara Nuzul Al-Quran diadakan di merata tempat, surau-surau, masjid-masjid, sekolah-sekolah, dewan-dewan dan di mana-mana saja.

Nuzul Al-Quran itu diturunkan Al-Quran oleh Allah ta'ala kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril as. Ayat 1-5 dari surah Al-'Alaq itu diturunkan:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Mahamulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka Al-Quran menjadi kitab suci umat Islam. Di dalamnya terkandung segala macam isi kandungan, sirah, sejarah, hukum, perundangan dan segalanya yang melengkapi aspek kehidupan. Bukankah Nabi SAW sendiri pernah bersabda yang membawa pengertian kepada kita, dengan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnahnya, kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Di sini, di negara ini saban tahun Musabaqah Tilawah Al-Quran diadakan. Namun hanya bacaan Al-Quran diperdengarkan, isi kandungan Al-Quran tidak pula diambil hukum dan pengajarannya. Saya fikir memang itu sahaja taraf Al-Quran di sini, di negara ini. Setiap hari ketika saya menjamah sahur di bulan Ramadhan ini, peti televisen akan menontonkan pembaca-pembaca Al-Quran sedang membaca Al-Quran, ya memang lunak dan merdu bacaan mereka.

Di satu sisi yang lain, di negeri saya, Selangor Negeri Maju, pak menteri besarnya menghalang tazkirah diberikan di masjid-masjid ketika waktu terawih. Alasannya ialah jangan diganggu umat Islam di Selangor Negeri Maju untuk beribadah (yakni solat terawih). Adakah ibadah itu hanya solat terawih? Bukankah menuntut ilmu, mendengar tazkirah peringatan itu juga satu ibadah? Ini satu lagi takrifan sempit daripada pak menteri besar kita.

Sesungguhnya tazkirah itu suatu yang bermanfaat, umat Islam lemah dan lalai kerana tiada tazkirah dan peringatan. Buka Al-Quran surah Al-A'la ayat 9-12:
Oleh sebab itu berikanlah peringatan(tazkirah), kerana peringatan itu bermanfaat. Orang yang takut (kepada ALlah) akan mendapat pelajaran. Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya. (Iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)
Hebat bukan Al-Quran? Lihatlah sendiri apa janji Allah kepada orang-orang yang menjauhi tazkirah....inikan pula orang yang menghalang tazkirah...wal'iyazubillah

Sepatutnya benarkan sajalah tazkirah diadakan di surau-surau atau di masjid-masjid di Selangor Negeri Maju ini, jangan ganggu orang yang dah ke masjid-surau ni. Tu di luar sana, berapa lambak lagi orang Islam yang tak berpuasa, yang malam-malam Ramadhannya dihabiskan dengan arak, judi, pub, maksiat? Mengapa tak disibukkan arahan untuk membanteras aktiviti-aktiviti maksiat ini, masjid-surau pula menjadi mangsa....

Fasa kedua Ramadhan (maghfirah Allah) sudah ke penghujung, fasa ketiga (pembebasan dari api neraka) akan menjelang. Mari kita tambah kelajuan amalan kita di bulan Ramadhan ini...Allah berkatilah kami di bulan Ramadhan ini!

Antara himpunan merah dan hitam putih

Nun di bumi Burma (Myanmar nama barunya) kita melihat ratusan ribu orang-orang berbaju merah dan oren berjalan sepanjang-panjang jalan di kota Yangon itu. Tidak berkasut, tidak berselipar, meredah hujan dan panas, mereka tetap terus berjalan. Berjalan dengan aman, berjalan tanda protes. Ya bumi Burma itu sudah lama mati demokrasinya, semua orang tahu dan kenal nama Aung San Suu Kyi, dulu dia dan pengikutnya saja yang menentang pemerintah tentera, namun hari ini orang-orang berbaju merah dan oren turut sama bangkit menentang.

Asalnya himpunan itu tenang-tenang saja, juak tentera pun tak berapa ambil pusing, berlakulah ia dengan aman dan high-profile sekali di seluruh dunia. Tapi bila himpunan itu sudah semakin besar, orang-orang yang tidak berbaju merah dan oren pun sudah ikut sekali, juak tentera mula bertindak. Himpunan aman disurai dengan ganas, peluru hidup...ya PELURU HIDUP digunakan untuk menyuraikan himpunan. Maka ramailah hingga ke hari ini yang menjadi korban.

Dan ketika itu jugalah pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma ini untuk menangani masalah dan bantahan ini dengan bijak sambil terus mengecam juak tentera Burma untuk mengembalikan demokrasi di sana

Beberapa hari lepas, saya berkesempatan pula menyertai ribuan orang berbaju hitam putih di bumi saya sendiri, bumi Malaysia. Himpunan dan perarakan dari Palace of Justice ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Atas nama "Walk for Justice", orang-orang berbaju hitam putih ini menyatakan reaksi mereka terhadap institusi kehakiman yang mereka dokong selama ini. Ya klip video perbualan seorang peguam dengan seorang hakim kanan itu yang membuatkan mereka berhimpun.

Dalam perjalanan ke sana, jalan-jalan utama ke Kompleks Kerajaan telah ditutup, maka berlakulah kesesakan lalulintas yang selama ini saya fikir tidak pernah berlaku di pusat pemerintahan kerajaan Malaysia itu. Ditambah pula dengan orang-orang bertopi merah lengkap bersenjata berkawal seolah-olah satu peperangan akan meletus. Nampak sangat takut dengan bayang-bayang sendiri.

Terdetik seketika, dalam masa sama pak menteri luar kita mengecam juak tentera Burma untuk mengizinkan demokrasi di sana, di negaranya sendiri kalau tidak seteruk Burma pun, namun masih dihalang-halang demokrasi itu berjalan dengan baik. Juga sehari sebelum himpunan ini, seorang pak menteri terus menghentam dan menyamakan orang-orang berbaju hitam putih yang berhimpun dan menyatakan pandangan mereka ini sebagai pembangkang...

Hmm saya fikir, setakat ini sahaja kah tahap pemikiran dan kefahaman demokrasi pak-pak menteri kita di negara ini? Kalau begitu memang saya tak hairanlah dalam Indeks Demokrasi tahun lepas, Malaysia diletak dalam kategori negara yang mengamalkan demokrasi yang cacat, bahkan rankingnya lebih teruk daripada Bangladesh, Indonesia mahupun Mongolia! Aduh, Malaysiaku Gemilang....

Album himpunan berbaju hitam putih

Sep 15, 2007

anak itu bernama Insyirah - lahir 8 september

Alhamdulillah semuanya selamat untuk isteri saya melahirkan anak sulung kami...ya seorang bayi perempuan seberat 2.83 kg di Hospital Bersalin Kuala Lumpur jam 8.25 pagi 8 September 2007 lepas.

Dan alhamdulillah semalam sudah hari ke-7, anak itu sudah diaqiqahkan dengan seekor kambing, diberi nama...namanya Insyirah bt Muthanna...dan sebahagian kepalanya sudah dicukur, aduh tak larat abinya nak menggondolkan kepala Insyirah dalam satu masa...
lagi gambar Insyirah di Album Insyirah

Tika ini Insyirah masih lagi kuning dan harapnya sehari dua ni kuranglah kuning dia dan biar sihat sikit. Umminya pula alhamdulillah perlahan-lahan nak pulih selepas bersalin. Hmm pengalaman di dalam bilik bersalin? Dari jam 3 pagi hingga saat lahirnya Insyirah jam 8.25 pagi hari 8 September lepas, huh memang suatu pengalaman baru...

Pengalaman itu tak mampu diterjemah dengan kata-kata, ia satu pengalaman agung lagi membawa insaf yang bukan kepalang...bila ditanya, saya hanya mampu mengungkap kata 'POWER', apa yang power, hmm mmg tak terungkap dengan kata-kata...moga Allah rahmati kami sekeluarga....