Jan 13, 2008

berjalan untuk 'save taman melawati hill'

Pagi tadi saya dan beberapa teman UKJ berjalan (atau berjogging?) menuju puncak bukit Taman Melawati. Ada apa dengan bukit ini? Lihat laman web ini Save TamanMelawati Hill untuk mengetahui ada isu di sebalik kehijauan bukit Taman Melawati ini dan di sebalik ketenangan penduduk sekitarnya belakangan ini. Ramai juga penduduk sekitar yang bersenam di sini menghirup udara segar, tak kurang juga yang memakai t-shirt "Save TamanMelawati Hill"

Isu pembangunan di atas bukit, atau lebih tepat lagi di lereng-lereng bukit. Yang mana mengikut sejarah pembangunan bagi kawasan sekitar ini, memang banyak berlaku peristiwa runtuhan tanah yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Kalau masih ingat sekitar 1992, satu blok kondominium Highland Towers menyembah bumi mengakibatkan kehilangan nyawa yang begitu ramai, dekat saja kondo ni dengan rumah keluarga saya! Juga kes tanah runtuh di jalan ke Bukit Antarabangsa dan juga kes runtuhan tanah pada sebuah kondominium di atas puncak Bukit Antarabangsa, kondo ni pula boleh nampak dari tingkap depan rumah keluarga saya!! Dan juga kalau masih ingat sekitar tahun 2004, menjelang waktu sahur di bulan Ramadhan, rumah seorang pegawai atasan tentera di Taman Hillview musnah dilanda runtuhan tanah dari bukit di sebelah rumahnya, pun juga Taman Hillview ni bersebelahan saja dengan rumah keluarga saya!!

Dan perkembangan terbaru ialah pemaju telah diberi lampu hijau oleh pihak berkuasa tempatan untuk memulakan pembangunan di atas bukit tersebut. Tak boleh dibayangkan bagaimana bentuk pembangunan nak dilaksanakan di kawasan berbukit curam seperti itu (dengarnya yang nak dibangunkan adalah lot-lot kondominium/apartment)

Kehijauan alam dari atas bukit Tmn Melawati (boleh nampak dam Kelang Gate)

Sudah banyak pembangunan di bawah bukit, atas bukit pun nak dibuat?

Boleh bayangkan ada rumah/apartment/kondo di lereng bukit ni?

Berjalan untuk support Save TamanMelawati Hill campaign!! (dengan bro Habib)

Notis cadangan pembangunan di laluan masuk ke bukit Taman Melawati

Laluan ke bukit tmn melawati berhadapan dengan banglo mewah seorang pengarah terkenal

Itulah laluan masuk ke bukit tmn melawati yg nak dibangunkan, kecil bukan?

Besarlah harapan agar pihak berkuasa tempatan yang telah memberi kelulusan pembangunan di kawasan berbukit sebegini telah membuat kajian mendalam serta kajian terhadap kes-kes runtuhan tanah yang banyak yang telah berlaku sebelumnya, serta mengambil kira pandangan penduduk-penduduk sekitar. Saya pun risau juga jika berlaku apa-apa, ramai kenalan, saudara, bahkan kakak sulung juga tinggal di tmn melawati ini. Harap aspek keselamatan dan kerisauan penduduk sekitar diambil pertimbangan lebih daripada keuntungan material yang akan diperolehi.

Bukankah Allah menyebut di dalam Al-Quran surah An-Naba' ayat 6-7 : "Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan? dan gunung-ganang sebagai pasak?" Kalau pasak bumi itu sudah hilang, apa akan jadi dengan bumi itu sendiri? Tidak cukup dengan itu, perlukah kita disedarkan dengan ayat dari surah Ar-Ruum ayat 41 ini pula? "Telah zahirlah kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia sendiri, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)"

Save Bukit Taman Melawati Hill!!!

Jan 1, 2008

2008

Tahun masihi 2007 melabuhkan tirainya sebentar tadi. Selamat datang diucapkan kepada tahun masihi 2008 pula. Yang mana saya secara tak sengaja melihat keputusan sms polling di saluran berita ntv7 jam 8.30pm tadi; yang keputusannya 75% merasakan bahawa tahun 2008 bukan merupakan tahun yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Saya pun tak faham apakah mesej yang cuba disampaikan oleh penghantar2 sms ini dan mengapa mereka mempunyai perasaan sebegitu, wallahua'lam..

Dan mengakhiri tahun 2007 ini, saya seperti tahun2 yang lepas akan ke KLCC...ops jangan salah sangka, saya bukan ke sana untuk ber'countdown' dan meraikan kedatangan tahun baru, tapi untuk tujuan XPDC Dakwah edaran risalah dakwah. Memang terlalu ramai manusia yang datang ke KLCC, sama ada rakyat Malaysia, mahupun rakyat asing (dan besar bilangannya yang saya lihat adalah warga Indonesia!!).

Apa yang saya lihat pada sambutan tahun ni ialah banyak pihak seolah-olah berebut untuk menganjurkan sambutan tahun baru dan konsert-konsert hiburan. Di Kuala Lumpur sahaja (seperti diberitakan dalam akhbar The Star), ada 8 lokasi sambutan tahun baru ini; Dataran Merdeka, KLCC, Bukit Bintang, Bangsar/Telawi, Stadium Merdeka, Mid Valley dan KL Sentral. Hebat ya??

Edaran risalah dakwah (tentang gejala sosial yang melanda masyarakat) yang kami edarkan kepada orang ramai selesai awal. Dan ketika detik 12 tengah malam 1 Januari 2008, orang ramai mula menumpukan perhatian kepada ruang udara sekitar KLCC itu untuk acara kemuncak sambutan. iaitu tembakan mercun bunga api.

Fuh berdentam-dentum dan terang benderang langit KLCC!! Saya perhatikan jam besar di Menara Maxis itu sehingga jam 12.08 barulah tembakan mercun itu selesai. Entah berapa banyak duit dihabiskan untuk tembakan mercun selama 8 minit itu?? Ada sahabat terus menjawab, RM8 juta lah, seminit sejuta, wah kaya aku kalau dapat kontrak supply mercun ni...sahabat seorang lagi pula agak emosional, "habis duit kat bakar mercun, banjir kat Pahang tak dibantunye...."

Saya pun sebenarnya agak bingung, entah apa yang terlalu special dengan sambutan tahun baru masihi ini yang boleh menghimpun ratusan ribu manusia...nampaknye tahun 2007 ni ditutup dengan himpunan ratusan ribu manusia yang pelbagai ragam dan rencam!! Melihatkan sambutan sebegini (lihat foto amatur di bawah), dengan masyarakat yang seolah-olah terlalu dahagakan hiburan, jelaslah masih banyak lagi tugas dakwah yang perlu kita laksanakan....

KLCC menjelang 1 Januari 2008

Berkumpul mendengar taklimat sebelum XPDC Dakwah

Muslimat pun turut serta!!

Konsert Nasyid Akil Hayy di Masjid KLCC, tapi yg di luar lebih menarik perhatian!!

Asyik sungguh pasangan ni menyaksikan percikan bunga api!!

Tengokla couple tu, bukan main lagi berpeluk sakan..