Sep 23, 2008

Bersama Raja Petra Kamarudin

Nabi S.A.W meng'amin'kan doa Jibril a.s, "Celakalah orang-orang yang berlalunya Ramadhan tetapi dosanya tak diampunkan". Jadi celakalah orang yang tidak diampunkan dosanya, bahkan menambah pula dosanya menzalimi orang lain di bulan Ramadhan yang amat mulia ini.

Pagi tadi Raja Petra Kamaruddin tidak mengikut jejak 2 tahanan ISA (Teresa Kok dan wartawan Sin Chew) dibebaskan dari Seksyen 73(1) ISA. Tapi beliau diberi perintah tahanan 2 tahun di Kamunting, Perak di bawah Seksyen 8 ISA. Benda yang dia tak dapat masa penahanannya tahun 2001 dulu, kali ini tak dapat dielak lagi (teruk sangat agaknya kebinasaan yang dia buat terhadap keselamatan negara kita kali ni?)

Pada tahun 2001 Raja Petra pernah ditahan di bawah ISA tetapi dibebaskan sebelum tempoh 60 hari siasatan berakhir. Semangat melawan dia memang cukup kuat masa tu, dalam tahanan Polis tu pun dia sanggup buat mogok lapar (alasannya tak mau makan makanan yang disediakan oleh Polis dan jugalah strategi2 tertentu dia dalam tahanan tu, yang kalau ikut Teresa Kok makanannya lebih baik sikit daripada makanan anjing)

Imbauan mogok lapar 2002. Yang paling lembik tu saya lah tu ;-) juga ada Raja Petra (berdiri berbaju hitam serta topi) Turut dalam foto Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Dr Wan Azizah, Dr Syed Husin Ali serta semua pemogok lapar 2002

Selepas setahun dibebaskan, pada 2002 ada satu kempen untuk membebaskan tahanan ISA (termasuk ayah), iaitulah Kempen Mogok Lapar. Selain saya yang bersama mogok ini, teman paling rapat sepanjang kempen itu adalah Raja Petra (di samping Chegubard dan lain-lain). Raja Petra menjadi seolah-olah kapitan pasukan (mungkin atas pengalamannya ditahan ISA). Sepanjang hampir 14 hari mogok berlangsung, saya mengagumi semangat dan kekentalan jiwa beliau dan 'hampir-hampir' mengenali watak dan perilaku pejuang ini (masakan tidak, kami berbaring di tilam bersebelahan di hadapan Markaz Tarbiyyah PAS Tmn Melewar, tapi bukan sebantal ya!!). Hari ini beliau dihantar ke Kem Kamunting, saya pohon Allah beri kekuatan kepada beliau di sana dan auntie Marina sekeluarga.

Siri penahanan akta keparat ISA kali ini sememangnya ujian sebenar kepada kerajaan. Kita melihat sikap pemimpin-pemimpin parti komponen dacing itu sendiri. Bermula dengan tok menteri undang-undangnya yang meletak jawatan atas alasan tidak bersetuju, mufti negeri Perlis juga kata Islam tak perlukan akta keparat ISA untuk mempertahankan agama suci ini. Kemudian parti yang pernah terajui pulau pinang juga mempersoalkan akta keparat ini, parti cina pula minta dikaji semula, begitu juga tok menteri luar yang PHDnya adalah atas kajian tentang akta keparat ISA (Freedom Under Executives Power) minta kaji beberapa peruntukan dalam akta keparat ini. Tak ketinggalan juga tok samy parti kongres india minta kerajaan bebaskan tahanan ISA Hindraf, tok menteri pelajaran ketua pemuda parti keris juga tak setuju akta keparat ISA ni guna untuk lindungi yang ditahan daripada ancaman bunuh dan lain-lain pandangan yang mula berlawanan dengan kehendak kerajaan.

Apa makna semua ini? Adakah sememangnya ini pandangan peribadi mereka masing-masing? Adakah dari dulu lagi atau baru-baru ini saja?Atas dasar apakah mereka yang sepatutnya mendokong dasar kerajaan mereka itu sendiri kini mula 'berani' bersuara? Seingat saya, tak pernah akta keparat ISA ini dipertikai secara terbuka dan secara beramai-ramai sebegini, takut beb kena tahan ISA!!

Atau adakah kepala kerajaan sekarang ini sememangnya sudah tidak lagi dihormati oleh pemimpin rakan komponen dacing itu sendiri? Allahu a'lam, tak tahulah saya, walaupun nampaknya begitulah keadaannya. Walau apa, bagaimana dan siapa pun yang menentang akta keparat ISA ini, perjuangan menentang akta keparat ISA ini harus diteruskan. Moga Allah ampuni dosa-dosa saya di penghujung Ramadhan ini dan hindari saya dari golongan-golongan yang celaka...amiin

Sep 16, 2008

ribut ribut....ISA kan ada?

Alkisah 2 hari lepas satu ribut menggila di tengah-tengah hujan lebat di sebuah perkampungan moden di Ampang yang diagung-agungkan sebagai "Kampung Melayu Ampang ujud atas Perjuangan Bangsa/Umno". Bercemperalah penduduk kampung itu ketikamana ribut yang tidak kenal siapa itu membaham atap-atap, bumbung-bumbung rumah penduduk kampung hingga berterbangan atap dan bumbung itu. Habis rumah-rumah yang kebocoran itu dibanjiri air hujan yang sangat lebat, tidak terkecuali juga kereta-kereta yang pecah cerminnya dek diterjah atap dan bumbung yang terbang itu. Tambah mengharukan lagi ialah kedapatan papantanda2 kebanggaan penduduk kampung yang tersungkur hampir menyembah bumi.

Mujur ada yg menahan 'ia' dari tersungkur menyembah bumi

Di tengah-tengah keributan ribut itu, datanglah tok wakil kawasan itu dengan aspirasi berkebajikannya untuk memberi sedikit ketenangan di hati penduduk yang dilanda musibah itu. Nampaknya kehadiran tok wakil itu disambut penduduk dengan penuh wasangka, "ini ribut ni jadi ni sebab Pakatan lah merintah Selangor!!". Berkerut dahi tok wakil, ada juga alasan sebegini? Menambah lagi penduduk kampung itu, "tengok rumah kami semua teruk kena ribut, rumah dia saja yang tak kena apa-apa!!", marah penduduk2 sambil menunjukkan ke rumah seorang penduduk yang disyaki 'penyokong kuat' Pakatan. Tidak cukup lagi, semua yang ditimpa bencana alam ini menuntut gantirugi sepenuhnya di atas kerosakan yang berlaku.

Sewajarnya ribut bencana sebegini kita ambil sebagai satu peringatan daripada Tuhan Maha Pencipta kepada hamba-hambaNya. Berat juga jika angkara ribut ini pun dipolitikkan. Sekadar makluman, rumah 'penyokong kuat' Pakatan itu adalah rumah mertua saya ;-). Jika benarlah analogi penduduk di situ, apa lagi, marilah kita menyokong Pakatan untuk terhindar daripada diserang angin ribut!!

Papan yang itu jatuh, tapi yg satu lagi tu tetap utuh ya??

Itu satu ribut, suasana politik negara kita ribut juga. Pohon Allah makbul dan percepatkan pertukaran kerajaan baru Malaysia, tak tahan lagi melihat ada rakyat di'ISA'kan, tambah lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Yang paling tak logik ialah alasan penangkapan reporter tu adalah untuk melindungi beliau daripada ancaman bunuh. Takkan sampai nak kena tahan ISA? Nak lindung, hantarlah polis kawal dia, lepas tu siasat orang yang membuat ancaman tu, macam lah tak tau siapa yang pernah buat ancaman bunuh tu?

Walau apa pun halnye, tiada alasan yang membenarkan ISA, baik dalam dunia demokrasi, hak asasi mahupun Islam sendiri. Pak Menteri pun tak setuju sampai meletak jawatannya, mufti kerajaan Islam hadhari Perlis pun dah menempelak. Jadi fikir-fikir baliklah, cukup-cukuplah guna ISA itu...janganlah kering sangat hati tu lagi-lagi di bulan Ramadhan ni. Bagi saya hanyalah berdoa dan terus mengharap redha dan keampunan Allah di bulan Ramadhan ini!

Sep 12, 2008

jangan lawan taukey

Artikel ni saya petik sebahagian daripada kolum favourite saya dalam Harakah, Mauidzah oleh Tuan Gurun Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Harakah Bil. 1374 terbaru yang bertajuk "Makmum dahului imam antara golongan terkutuk". Tak lain tak bukan kepada orang-orang yang bersolat jemaah bersama imam, tetapi cenderung untuk kalau tidak mendahului imam pun, tapi pergerakannya sama dengan imam. Kalau saya jadi imam, ada makmum macam ni, sakit hati, nak je ketuk kepala tu, tak reti nak sabar. Jadi tulisan ni saya kira sesuai untuk dikongsi di sini. Moga ada manfaat bersama.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Perlu difahami bahawa makmum tidak boleh mendahului imam, sama ada ketika rukuk dan sujud atau ketika bangun daripada kedua-duanya dan seluruh kaifiyat yang lain dalam solat jemaah.
Tidak sayogia makmum bergerak serentak sama pergerakan imam. Makmum mestilah menyusul kemudian sedikit pergerakan imam.
Inilah makna mengikut imam, disiplin dan syarat yang diajar oleh islam, terhadap mematuhi orang yang layak memimpin.
Tiada yang lebih layak menjadi pemimpin melainkan Nabi Muhammad S.A.W dan orang yang mematuhi jejaknya.
Ada pendapat ulama menghukumkan batal solat orang yang mendahului imam.
Namun Imam Ghazali sendiri tidak menghukumkan demikian kerana kedudukan perkara tersebut sebagai khilaf ulama.
Setiap makmum mesti mengetahui bahawa perbuatan mendahului imam boleh membawa kepada batal solat, oleh yang demikian turutlah benar-benar sebagai membuktikan kepatuhan.
Nabi Muhammad S.A.W mengecam hebat perbuatan makmum mendahului imam melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidakkan mereka merasa gerun, makmum yang angkat kepala mendahului imam, pada hari akhirat kelak Allah SWT akan tukar kepalanya menjadi kepala khimar. Atau hendaklah dia sedar bahawa perbuatan mendahului imam itu dikutuk oleh Allah SWT"
Makmum mendahului imam dikutuk oleh Tuhan kerana ia menunjukkan tiada kepatuhan terhadap imam. Dalam solat atau kepimpinan dalam masyarakat, sedangkan kesetiaan itu amat dituntut dalam Islam bagi membuktikan kesatuan ummah.

Sep 9, 2008

spesialnya Ramadhan al-mubarak

Hujung minggu lalu khusyu' saya mendengar siri taujihat berkenaan Ramadhan dari Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Pertama sebelum iftar di rumah Ustaz Riduan Md Nor dan keduanya sebelum majlis iftar di bangunan Perkim, Jalan Ipoh. Perbahasan yang dikupas cukup menyegarkan.

Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 183 menjelaskan puasa kita adalah untuk mendapat taqwa. Dan sifat orang bertaqwa dalam surah Al-Baqarah ayat 3 ialah orang-orang yang mempercayai perkara ghaib dan yang mendirikan solat. Di mana melalui solatnya itulah dia membuktikan keimanannya kepada perkara ghaib yang sememangnya tidak dia jelas dan lihat dengan mata kepala kita perkara ghaib itu.

Sebagaimana dalam ayat 183 juga dinyatakan yang puasa ini bukanlah syariat Allah yang beri untuk ummat Nabi Muhammad saja, bahkan telah lama diperintahkan kepada ummat terdahulu. Yang bezanya cuma kita ditentukan untuk berpuasa selama 30 hari dan di bulan Ramadhan. Dan mengapa bulan Ramadhan yang Allah pilih? Bukankah bulan-bulan Haram itu lebih mulia lagi, sejak Allah cipta langit dan bumi lagi telah dijelaskan mulianya 4 bulan Haram ini. Pastinya ada kelebihan Ramadhan ini yang tiada pada bulan lain.

Disebabkan diturunkan Al-Quran pada bulan Ramadhan, puasa berkait rapat dengan Al-Quran. Maka kita diseru memperbanyakkan bacaan Al-Quran di bulan ini, sebagai tanda kita berterima kasih kepada Allah yang menurunkan Al-Quran. Sebab Al-Quran ini adalah petunjuk buat orang bertaqwa. Jadi siapa yang berhajat petunjuk, kena berpuasa sebab puasa memberi ketaqwaan kepada kita.

Begitulah hubung kait kitaran antara Ramadhan, Al-Quran, petunjuk dan ketaqwaan. Moga kita mendapat petunjuk dan juga mendapat ketaqwaan.

Sep 8, 2008

080908 - Insyirah sudah setahun

Hari ni 8 September 2008, Insyirah dah genap usia setahun. Dah tumbuh 8 batang gigi, dah pandai berjalan (dengan lasak sekali!), dah makan macam-macam makanan (tanpa henti!), dan juga dah pandai panggil 'abi' dengan tepat (pastinya ummu insyirah kurang berpuas hati!). Apapun perjalanan Insyirah masih jauh di depan. Pohon doa atok opah, wan aki, pakcik makcik, abang kakak, ustaz ustazah semua semoga Insyirah menjadi seorang anak yang solehah dan juga seorang mujahidah Islam, Insya-Allah.


Setahun yang lalu dan setahun kini...begini tidurnya!!


Setahun yang lalu dan setahun kini...begini tangis rengek manjanya!!


Jadi anak abi dan ummi yang solehah ya Insyirah!!

Sep 4, 2008

Ramadhan dan Tazkirah

Salam Ramadhan.

Bulan untuk mendidik jiwa dan nafsu kita seperti yang Al-Quran ajar dalam Al-Baqarah ayat 183, supaya kita beroleh ketaqwaan daripadanya.

Dalam Forum Ihya' Ramadhan di tengah padang MPAJ selesai Subuh pagi merdeka lepas, Ustaz Fauze Hussin pesan, Ramadhan adalah Syahrul Jihad (Bulan Jihad). Banyak kisah jihad diceritakan, termasuk kisah jihad syuhada' Memali kira-kira 20 tahun lalu.

Pesan Ustaz Nik Abduh pula, Ramadhan adalah Syahrul Quran (Bulan Al-Quran). Umat Islam dekat dengan Al-Quran dalam bulan Ramadhan. Bulan ini Al-Quran diturunkan oleh Allah dari Luh Mahfuz ke langit dunia, dan seterusnya diturunkan selama 23 tahun kepada Rasulullah.

Pesan YB Zaki Kelabore pula, kisah seorang sahabat, Sa'ad bin Mu'az yang meletakkan kepentingan Islam dan jamaah lebih daripada kepentingan peribadi (dalam kes sahabat ini ialah untuk bernikah) dibalas oleh Allah dengan ganjaran syahid hingga bergegar 'Arasy Allah dengan tangisan para malaikat selepas syahidnya Sa'ad.

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan berilah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat untuk orang-orang beriman" (Az-Zariyat : 55)

Ayat ini Allah ajar kita tentang tazkirah atau peringatan. Kita pun selalu dengar yang manusia ni pelupa dan perlu sentiasa diperingatkan. Dan tazkirah itu suatu yang bermanfaat dan merupakan tuntutan dalam agama. Dan dalam bulan Ramadhan ni, tazkirah adalah suatu yang amat sinonim sebab banyak masa makan kita di siang hari boleh diisi dengan tazkirah. Tak dilepaskan juga adalah tazkirah semasa solat Tarawih di malam hari.

Dulu saya di Intel Kulim selama 2 kali Ramadhan, mesti dapat tugas tambahan (entah, sebab saya ni Pemuda PAS kot??), iaitu untuk menyusun jadual tazkirah Zohor dan tazkirah Asar. Disebabkan saya yang susun, turn saya untuk bagi tazkirah adalah yang paling sikit (biasalah ngelat sikit! bagi kat orang yang lebih berumur bagi tazkirah lebih)

Dan tahun ni, saya tolong ayah untuk menghidupkan aktiviti Ramadhan kali ini di surau dan masjid di bawah kawasannya, bukan apa sangat, cuma untuk minta diadakan tazkirah masa solat Tarawih dan galakkan untuk jemput imam hafiz untuk solat Tarawih. Barulah Ramadhan lebih terisi dan bermakna sikit.

Kalau masih ingat, Ramadhan tahun lepas kerajaan Negeri Selangor keluarkan pekeliling ke surau dan masjid yang menghalang tazkirah diadakan dan mewajibkan solat Tarawih 20 rakaat. Mungkin kesan arahan ni masih membekas dan badan Pengerusi dan AJK sebahagian masjid dan surau di Selangor ni, walaupun tahun ni tiada arahan sedemikian dikeluarkan lagi bahkan digalakkan pula untuk mengadakan tazkirah kepada jemaah yang hadir.

Jadi satu yang amat menjengkelkan apabila Pengerusi dan beberapa AJK tertinggi sebuah surau di sini telah overrule keputusan sebelumnya untuk memanggil ustaz-ustaz pentazkirah dan juga imam hafiz. Semuanya dikenselkan. Jadilah imam solat Tarawih yang biasa dan membaca surah-surah biasa (surah lazim). Dan tiadalah slot-slot tazkirah atas alasan mereka, "..tazkirah ni budaya PAS..."

Hmm nampaklah sangat karat pekat likat keris dacing mereka ini. Hingga tazkirah yang dituntut dalam Al-Quran ini pun dianggap salah, dan bukan ajaran Islam, tetapi ajaran PAS?? Pelik betul bila dengar alasan yang diberikan. Namun dari satu perspektif, terserlah jelas yang sememangnya apa yang diamalkan dan didukung oleh 'orang-orang PAS' selama ini adalah apa yang sebenar-benarnya dianjurkan oleh Islam. Allah pelihara kami dari kejahilan...amiin