Jan 19, 2009

Tahniah buat Hj Wahid Endut!!

Mudoh bbase, senang kire, mudoh jjupe!! Hj Wahid...Ahli Parlimen Kuala Terengganu!!

Alhamdulillah calon PAS, Hj Mohd Abdul Wahid Endut menang di Kuala Terengganu. Tiada apa yang lebih menggembirakan setelah kerja keras dan penat lelah di Kuala Terengganu membuahkan kemenangan. Perjalanan jauh KL ke KT juga tidak terasa apa-apa dengan kemenangan ini. Walaupun tidak dapat turun sepenuhnya, cukup dengan dua kali hujung minggu di sana, terasa berbaloi masa yang dihabiskan di sana. Tambah manis lagi bila peti undi yang kami ditugaskan, menang. Juga lebih manis bila DUN Ladang yang kami bertugas di situ juga menang kiraan undinya.

Suasana di Ladang (antara tempat yg paling panas)

Malam tu, bandar KT seakan berpesta. 'Mat-mat rempit' semua keluar berarak dengan bendera PAS. Angka ribu boleh cecah! Selepas lebih 3 jam mereka berpesta, perarakan dihentikan, itupun sebab polis mula buat sekatan jalanraya dan ambil bendera-bendera yang mereka bawa. Itu baru menang satu kerusi parlimen, belum ambil alih Terengganu, belum menang Malaysia lagi. Nak tunjuk betapa seronoknya bila dah menang, itu saja...

Ribuan penyokong di depan Stadium Negeri menunggu perisytiharan kemenangan

Gembira menyambut kemenangan!!

Kesesakan jalanraya...perarakan bermula jam 9.30pm

Moga kemenangan ini akan terus menjana semangat, iltizam dan istiqamah buat semua pejuang Islam di Malaysia khususnya. Insya-Allah kemenangan ini akan membuka jalan seterusnya ke arah kemenangan yang lebih besar pada masa akan datang. Allahuakbar

Gerai keropok lekor semua penuh...nak kena q sampai sejam!!

Jan 15, 2009

kesedaran memperjuangkan isu Palestin itu lebih utama

Jumaat lalu sekali lagi himpunan membantah kedurjanaan Zionis Israel diadakan. Bilangan yang turut serta kali ini adalah lebih besar daripada beberapa siri himpunan sebelum ini. Dan nampaknya perarakan lebih teratur, peserta2 juga dipimpin dengan lebih baik. Walaupun pada awalnya pasukan keselamatan seolah mahu menghalang himpunan ini daripada berlangsung, tapi saya fikir jumlah yang ramai ini membuatkan mereka bertolak ansur untuk membenarkan himpunan ini berjalan dengan baik.

Nampaknya setelah hampir 3 minggu serangan berterusan ke atas Ghazza, semakin ramai masyarakat dunia yang sedar dan cuba memahami isu sebenar di Palestin @ di Ghazza itu. Semakin ramai juga yang mula membela masyarakat tertindas di Ghazza. Isunya sudah melebar menjadi isu kemanusiaan, isu jenayah perang, isu hak asasi manusia dan melangkaui sempadan isu agama mahupun isu tanah semata-mata. Masyarakat di Malaysia juga tak terkecuali, buktinya kehadiran ke himpunan2 sebegini semakin meningkat.


Semua kelompok masyarakat, individu2, pertubuhan2 turut sama membantah kedurjanaan Zionis ini. Dan saya kira masing2 ketika ini cuba menunjukkan kepedulian yang tinggi kepada rakyat Palestin. Tetapi dalam kita menzahirkan sikap prihatin kita terhadap isu ini, saya fikir perlu untuk kita 'bersama-sama' meramaikan sesuatu himpunan bantahan itu. Tak perlu ada dalam pemikiran yang program yang kita atur telah diambil alih oleh orang lain. Bukan kita saja yang simpati dengan rakyat Ghazza, tetapi semua orang simpati. Bukan kita saja yang atur program, tapi orang lain pun atur juga! Pokoknya, program tu berjalan dengan amat baik sekali dengan kerjasama semua(seperti yang berlaku Jumaat lepas...)

Malam itu pula di DUN Hulu Kelang, satu ceramah berkaitan Palestin dianjurkan. Beberapa orang penceramah merupakan ahli-ahli Parlimen dan ADUN Selangor telah dipanggil. Tapi yang buat saya nak kongsikan di sini ialah disebabkan ceramah ini telah dihalang oleh pasukan keselamatan untuk dijalankan. Petang sebelum ceramah, surat dihantar ke pejabat mengatakan permohonan permit ceramah telah ditolak (walaupun ceramah diadakan di premis persendirian yg sebenarnya permit tak diperlukan, tak tau siapa yang tak reti undang2 kat sini)

Dan malam tu, berpuluh-puluh anggota keselamatan dah mengepung kawasan pejabat. FRU pun ada, Black Maria pun ada. Semua access ke tempat ceramah dibuat sekatan. Mencabar juga ni. Tapi kami nekad juga untuk buat ceramah ni. Atas beberapa rundingan dengan polis tu, kami setuju buat ceramah di dalam pejabat (dalam pejabat ni berapa orang je boleh masuk??). Tak cukup dengan tu, polis minta speaker dibawa masuk dalam pejabat (siapa la yg boleh dengar kalau speaker dah buh kat dalam??). Dan yang akhir ialah semua hadirin yg datang kena masuk dalam premis pejabat, tang ni kami tak berapa enforce sangat (takkan nak suruh org yg datang tu berhimpit macam sardin dalam pagar tu?)

Akhirnya jam 11 malam, ketua polis tu sudah naik angin, sebab syarat ke-3 dia kami buat tak tau. Dia pun mengamuk la, siapa yg tak masuk dalam premis, dia nak tangkap. FRU dia pun dah siap berkawad dah dengan rotan, sedia nak membelasah orang yang tengah dengar ceramah Palestin (gila babi betul!!). Bila dah macam ni, barulah kami Unit Amal yang mmg standby dari awal ceramah kerah orang untuk masuk, yang taknak masuk mintak balik rumah. Akhirnya ceramah tamat tanpa sebarang insiden.

Bila ingat balik ketua polis tu mengamuk, "saya ni dah jadi macam orang bodoh je kat sini, dari tadi saya minta masuk dalam!!", pelik ada kelakar pun ada. Kesian betul puak-puak ni 'mendengar arahan'. Kat Israel, media mereka sendiri dihalang melaporkan berita tentang serangan di Ghazzah, di Malaysia ceramah penerangan Palestin pula dihalang.

Dan yang paling kelakar dan tak masuk akal pada malam tu ialah, alasan ketua polis tu untuk menghalang ceramah kami berlangsung ialah,"kami ikut arahan Menteri Besar Selangor supaya tiada ceramah di tempat terbuka diadakan". Sejak bila pula Ketua Polis Selangor dengar arahan daripada Menteri Besar? Negeri Pakatan Rakyat pula tu...bukanke Ketua Polis Negeri bosnya ialah Ketua Polis Negara?? Isk3, agak2la nak cari alasan tu....apapun moga usaha2 kita semua ni dalam membawa isu Palestin mendapat redha Allah, amiin..dan perjalanan kami malam tu ke Kuala Terengganu diisi dengan cerita macam orang bodoh polis2 itu...

p/s:jom turun lagi 23 Januari ni, insyaAllah Tuan Guru Hj Hadi Awang akan turun!!

Jan 6, 2009

Hijrah dan seribu macam erti

Tiada bahasa perdamaian lagi yang boleh difahami Isreal laknat ini. Tujuan dan matlamat mereka sememangnya hanya satu, iaitu untuk menguasai keseluruhan bumi dan tanah Palestin yang mereka duduki secara haram dan paksa sekian lama. Banyak analisa dan laporan (bukan media propaganda barat!!) mengatakan serangan ini adalah terancang, sebaik saja tamat gencatan senjata terbaru, serangan roket hanyalah alasan.

Jika Semenanjung Gaza berjaya mereka tawan melalui serangan darat (wal'iyazubillah, mohon Allah lindungi Palestin), hanya tinggal kawasan Tebing Barat yang dikuasai Mahmoud Abbas saja yang tinggal untuk mereka takluk dan jajah (tidak sukar saya kira kerana memang selama ini Presiden ini banyak bersetuju dengan Israel)

Kewajipan kita adalah menyokong perjuangan Hamas. Pendirian Hamas yang tidak mengiktiraf negara haram Israel adalah amat tepat, kerana memang selama ini Israel tidak pernah mengiktiraf hak-hak rakyat Palestin. Walaupun nampak kerdil dan lemah, namun kebenaran tetap kebenaran seperti firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "apabila tiba kebenaran maka terhapuslah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu akan benar-benar terhapus"

Kisah hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Diriwayatkan satu kisah bagaimana seorang kafir musyrik bernama Suraqah bin Malik yang teruja dengan hadiah 100 ekor unta bunting kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah SAW. Beliau seorang negro kulit hitam yang mahir dengan keadaan padang pasir akhirnya berjaya menjejaki Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar. Ketika cuba untuk menyerang Rasulullah, serangannya itu dihalang oleh satu kuasa yang melindungi batang tubuh Rasulullah SAW. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia mengalah dan akur bahawa Rasulullah bukan insan biasa, tetapi seorang yang lain daripada yang lain.

Dengan syarat tidak memberitahu kepada kafir musyrik yang lain kedudukan Rasulullah SAW, beliau dijanjikan oleh Rasulullah SAW untuk dikalungkan mahkota Kisra Parsi. Dengan logik akal kita, bagaimana Rasulullah SAW yang ketika itu dalam keadaan yang amat lemah sekali, tiada sebarang kekuatan, bahkan terpaksa berhijrah ke Madinah untuk menyebarkan ajarannya, sanggup menjanjikan mahkota kepada kuasa besar dunia ketika itu, Parsi. Ini menunjukkan keyakinan Rasulullah SAW bahawa Islam akan menang dan menguasai dan memerintah dunia suatu masa nanti. Dan dalam kebingungan itulah Suraqah bin Malik terus mempercayai janji Rasulullah SAW dan kembali ke Mekah tanpa memberitahu kaum kafir musyrik bahawa beliau telah berjaya menjejaki Rasulullah SAW.

Dan akhirnya janji Rasulullah SAW itu ditunaikan oleh Saidina Umar al-Khattab yang berjaya menundukkan Parsi semasa pemerintahannya. Ketika harta-harta rampasan perang diagihkan, Umar memanggil nama Suraqah yang ketika itu sudah tua, untuk dikalungkan mahkota Kisra tersebut, menandakan tertunailah janji Rasulullah SAW. Walaupun bukan pada zaman Rasulullah masih hidup, tetapi janji tersebut ditunaikan oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Menitislah air mata Suraqah bin Malik.

Maka yakinlah kita akan kemenangan Islam, tidak di masa ini, ia pasti tiba di masa akan datang. Insya-Allah Hamas juga akan menang di dalam pertempuran ini, kita sampaikan doa dan solat hajat kita buat mereka, kerana soal Palestin bukan semata-mata soal tanah dan peperangan, tetapi ia adalah soal iman dan aqidah kita sebagai Muslim.

p/s:jumpa malam ini di Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang untuk ceramah penerangan isu Palestin

Jan 4, 2009

cucu ke-8


Itu adalah gambar cucu atok dan opah yang ke-8, tahun 2008 dapat cucu yang ke-8. Nampaknya 2008 berlalu, hanya seorang cucu dilahirkan dan menyertai keluarga besar Pak Abu. Gambar ni pun dimasukkan hanya selepas lebih 3 minggu cucu baru ni dilahirkan pada 11 Disember 2008 lalu (bangge die konon2 sama dengan tarikh Keputeraan Sultan Selangor). Sebabnya lepas lahir je, cucu yang seorang ni asyik keluar masuk wad, mula tu sebab demam kuningnya tinggi sangat. Lepas keluar, masuk balik. Dikhuatiri paru-parunya dijangkiti kuman pula, kesian ye!

Dan alhamdulillah pada hari ke-21/22, majlis aqiqahnya dapat dilangsungkan. Laziiz, ada kambing panggang seekor, kambing masak kuzi seekor, baby boy lah katakan. Jadi baby boy yang hebat dan macho ni dinamakan Said bin Zaid. Anak putera pertama kepada Zaid bin Zahar dan Zilal binti Saari, adik perempuan saya. Mudah-mudahan kelahiran anak mereka ini akan menambah seri dan kebahagiaan dalam rumahtangga mereka.

Saya doakan juga buat adik saya dipermudah dalam urusan mendatang (nak sambung belajar semula semester baru, dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga). Dan Said bin Zaid juga menjadi anak yang soleh dan perwira agama hendaknya...amiin..jangan lupa isi borang Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) tau!!

Jan 1, 2009

Salam Hijrah dan Tahun Baru

Salam Hijrah 1430 dan Tahun Baru Masihi 2009. Begitu pantas masa berlalu, tahun baru muncul lagi. Tekad dan azam baru wajar diperbaharui. Namun ketibaan tahun baru ini dicemari kedurjanaan Israel Zionis menyerang saudara kita di Palestin. Tiada yang lebih menyayat hati melihatkan Semenanjung Gaza diserang tanpa belas kasihan.



Perjalanan masih panjang, kerja masih banyak yang perlu dibuat. Kelekaan dan kelalaian perlu disedarkan, tatkala Dubai membatalkan sambutan tahun baru 2009 tanda solidariti kemanusiaan dan persaudaraan terhadap rakan-rakan di Palestin, di tanah air Malaysia masih tiada apa-apa yang berlaku.

Mungkin begitu sikap kita di Malaysia, contohnya selepas peristiwa Tsunami melanda sebahagian penduduk di Utara tanah air pada 2004 lalu, maka sambutan tahun baru 2005 dilangsungkan dalam keadaan yang sedikit menginsafkan dan 'kurang meriah'. Mungkin Palestin terlalu jauh di mata kita di Malaysia ini, namun hakikatnya Palestin dekat di hati kita selaku seorang Muslim yang merindui kiblat pertama kita, Masjid Al-Aqsa.

Luangkanlah sedikit masa untuk memahami isu Palestin..
Luangkanlah sedikit masa untuk menginsafi perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin..

Kami bersamamu Palestin..
Kami bersamamu Hamas...
Kami bersamamu Briged Izzuddin Al-Qassam...

Allah Save Palestine