Feb 28, 2009

Hari Insyirah menjadi kakak...


Semalam 27/02/2009, kurang seminggu sebelum Insyirah berumur 18 bulan, Insyirah sudah bergelar kakak. Alhamdulillah ummi selamat melahirkan adik Insyirah di Hospital Ampang, selepas cukup tempoh extension daripada tarikh dijangka bersalin seminggu lepas. Anak kedua ini juga seorang bayi perempuan dengan berat semasa dilahirkan 2.88kg. Alhamdulillah proses kelahiran anak kedua kami ini terasa agak mudah, mungkin atas pengalaman pertama dulu.

Kali ni pun saya rasa lebih bersedia untuk menyambut kelahiran cahaya mata kami yang kedua ini, terutamanya ketika berada di dalam labour room hospital. Dan kali kedua berada di dalam labour room, ada lagi pengalaman-pengalaman baru yang menarik. Dan kelahiran ini pasti menyeronokkan kami seisi keluarga di samping tanggungjawab dan amanah yang semakin bertambah. Jadi kepada kawan-kawan Insyirah; Solah, Hanin, Zatul, Ubai Papa, Alya Insyirah, Ahmad Nasih (buleh ke??), cepat-cepat dapat adik!!

Insyirah jadi kakak? Rasanya dia masih belum faham kehadiran adik, walaupun di hospital tadi pertama kali tengok adik, dia punya excited bukan main lagi. Tapi sekejap saja, lepas tu dia terus dengan kegemarannya, berlari-lari keliling wad dan lobi hospital!! Dah tak kisah dah ummi, abi mahupun adik baru.

Doa-doa dan sms yang diterima dari pakcik-makcik ustaz-ustazah untuk adik Insyirah menjadi anak solehah dan juga pejuang agama-Nya, sama seperti kakak Insyirah kelak mudah-mudahan dikabulkan Allah. Nama adik? Belum ada lagi tengah cari, tunggu hari ketujuh, ada nama best? Boleh cadang..hihi :-)

Macam muka abi atau ummi?

Kakak Insyirah kiss adik dalam katil adik....

Eh ni baby besar ni, kaki pun dah tak muat..

Feb 17, 2009

Takziah atas kematian

Takziah saya ucapkan kepada sahabat sekelas sekolah saya, Danial Md Isa atas pemergian arwah ibunya, Cikgu Badariah Baharin. Arwah adalah guru English saya di sekolah dulu dan hubungan saya dan keluarga Danial agak baik ketika sekolah dulu. Bukan saja mengajar di sekolah, kami (study group) belajar English di rumah cikgu kalau tak silap saya menjelang peperiksaan PMR.

Saya fikir ini satu ujian yang agak berat untuk Danial yang kini menjadi ketua keluarga kepada 4 orang adik-adiknya dengan yang bongsu masih bersekolah. Arwah ayahnya (yang pernah menghantar saya balik ke rumah lepas kelas english di sekolah dulu dengan menaiki Yamah Virago nya) meninggal beberapa tahun lepas, ketika tu saya berada di US atas urusan kerja. Dan kini ibu mereka pula meninggalkan mereka. Diberitahu arwah ibunya diserang tekanan darah yang begitu tinggi sehingga sarafnya pecah dan menghembuskan nafas terakhir di sisi semua anak-anaknya di Hospital Ampang Putri.

Ketika arwah Cikgu Badariah sedang nazak di hospital, saya melihat dengan penuh sayu dan rasa simpati kepada keluarga ini. Namun inilah takdir Allah yang pasti kita semua lalui suatu hari nanti. Disebabkan Insyirah tak sihat dan meragam di hospital, saya terpaksa balik dan hanya menerima berita pemergian arwah Cikgu melalui sms jam 3.00 pagi. Hanya sedikit kata-kata semangat dapat saya bisikkan kepada Danial untuk beliau mengharungi ujian ini. Moga-moga Allah beri kekuatan kepada Danial dan adik-adiknya, dan moga Allah tempatkan arwah ibu dan ayahnya di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah.

Esoknya pula dapat berita kematian maklong Ummu Insyirah di kampung di Pahang. Bergegaslah kami balik ke Pahang dan sesampainya di kampung, jenazah sudah siap dimandi dan dikafankan, cuma menunggu kubur siap digali. Arwah maklong memang sudah lama sakit dan tinggal di rumahnya bersama anak sulungnya dengan keadaan yang uzur sekali. Seingat saya hanya 1-2 kali saja saya berkesempatan menemui beliau sejak berkahwin dengan ummi, yang terakhir adalah masa Raya Puasa lepas, sempat juga Insyirah bermain di ruang tamu rumah tersebut.

Moga berita kematian ni akan lebih sentiasa mengingatkan kita kepada maut yang pasti menjemput kita suatu hari nanti. Apa cukup amalan kita sebagai bekalan di hari akhirat kelak? Jangan sampai kita menyesal di hari pembalasan kelak sebab di sana nanti, "no turning back"

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" (An-Naba':40)

Feb 13, 2009

Palestin terus di hati kita..

Wakil Kerajaan Hamas Palestin, Dr Sami Abu Zuhri bertandang ke kawasan Hulu Kelang dalam satu ceramah anjuran Muslimcare hari Selasa lepas. Beliau adalah jurucakap rasmi kerajaan Hamas dan akan berada di Malaysia untuk memberi penerangan kepada rakyat Malaysia di samping menerima sumbangan-sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia.


Muslimcare yang bertanggungjawab menganjurkan ceramah penerangan ini baru-baru ini dalam misi bantuan kemanusiaannya kepada rakyat Palestin di Ghazzah telah berjaya menyusup masuk ke bumi Ghazzah. Walaupun dengan sekatan ketat di sempadan Rafah oleh kerajaan Mesir, mereka berjaya masuk dan melihat sendiri kesan kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel laknat. Daripada rakaman foto dan video yang dipancarkan dalam program ceramah tersebut, memang kemusnahan dan kehancuran di bumi Ghazzah itu jauh lebih dahsyat dan teruk lagi daripada apa yang biasa kita lihat di media-media massa. Terkilan juga rasa sebab kali ni saya tak dapat join Ustaz Riduan, Hj Zul Wahijan dan lain-lain geng Muslimcare dalam misi mereka menjejak kaki ke bumi Palestin yang diberkati. Insya-Allah dalam hati kita masing-masing mesti ada impian untuk ke Palestin, moga Allah kabulkan doa dan hajat kita.

Dalam ceramah Dr Sami Abu Zuhri pula yang diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi, jelas beliau memang seorang pejuang Palestin yang tabah dan cekal semangat. Wajahnya tenang walaupun dapat dirasakan semangatnya yang membara untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Palestin yang sekian lama ditindas oleh Israel laknat. Dr Sami banyak berkongsi cerita tentang semangat anak-anak kecil dan ibu-ibu terhadap jihad dan syahid dan betapa mereka tidak sedikit pun gentar dengan Israel laknat.

Ada satu perkara yang dikongsikan beliau adalah bagaimana tentera Israel laknat mendakwa mereka melihat tentera-tentera Hamas yang memakai pakaian jubah serba putih. Bagaiamanapun menurut Hamas, anggota tentera mereka tidak memakai pakaian sebegitu. Juga tentera Israel laknat mendakwa mereka melihat tentera-tentera Hamas yang tinggi-tinggi lampai sehingga mencecah ke langit. Subhanallah, Maha Suci Allah, itulah kuasa Allah menghantar bantuan kepada tentera-tentera-Nya yang mempertahankan kesucian agama-Nya. Pasti banyak lagi kejadian-kejadian aneh yang berlaku sepanjang serangan ganas Israel laknat tempoh hari yang pastinya tidak didedahkan dalam media masa.

Dengan semangat yang membara, Dr Sami menegaskan bahawa peperangan yang berlaku baru-baru ini bukanlah kemuncak atau yang terakhir dalam sejarah panjang isu di Palestin ini, akan tetapi ia adalah satu marhalah dalam perjuangan rakyat Palestin memperjuangkan hak dan kebebasan mereka sehingga akhirnya Allah akan memberikan kemenangan kepada mereka dan Islam keseluruhannya.

Serangan terhadap Ghazzah kali ini sebenarnya telah membuka mata masyarakat dunia dan masyarakat di Malaysia khususnya terhadap isu sebenar di Palestin. Simpati dan sokongan terhadap Hamas selaku kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin semakin meningkat. Kalau dulu semasa Hamas baru menang pilihanraya, masyarakat dunia memandang serong terhadap Hamas atas palitan organisasi militan oleh Amerika Syarikat. Namun atas semangat jihad dan mempertahankan kedaulatan Palestin, Hamas kini mula difahami oleh masyarakat dunia. Sekurang-kurangnya rakyat Palestin yang diwakili Hamas dapat menerima sumbangan daripada seluruh masyarakat dunia.

Dan semalam Dr Sami mewakili kerajaan Hamas Palestin menerima sumbangan lebih RM500,000 daripada Tabung Harakah. Moga Allah memberkati penyumbang-penyumbang dan sumbangan yang diberikan. Allahuakbar!

Feb 4, 2009

keadilan yang dicari

Ini bukan cerita pasal parti keadilan, terutamanya di Perak yang tak menentu sekarang ni, dek 3 wakil rakyat parti keadilan dan seorang dari parti dap berpatah arang dengan parti masing2. Kita tunggulah apa jadi esok di Perak, doa moga-moga Allah selamatkan kerajaan Pakatan di Perak.

Tapi ini cerita pasal perbicaraan altantuya wanita mongolia. Pasti kebanyakan akhbar membuat liputan kenyataan pembelaan diri tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar yang mengatakan dia dijadikan kambing hitam dalam kes ni. Saya agak tersentuh membaca apa yang dilaporkan dalam laporan ini, jika benar lah itu sebenarnya yang berlaku, saya cukup simpati dengan beliau.

Jika benar sememangnya dia dikambing hitamkan untuk melindungi orang2 tertentu, mahkamah sepatutnya meminta dia mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Dan jika dia benar2 ingin membela dan membersihkan dirinya, dia perlu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Dan jika benar apa yang diadukannya yang dia diminta/dipaksa untuk bergambar dengan bahan2 bukti terbabit untuk melepaskan diri daripada apa2 sabitan mahkamah, maka pegawai polis yang meminta dia bergambar tu juga mungkin tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Jika benar pengakuan dia tu, entah apa jadi kalau dia taknak bergambar dengan bahan bukti tu? Ada can jadi macam si Kugan tu ke, allahu a'lam. Kita pun tak kenal dengan si tertuduh ni, muka pun tak pernah tengok (duk berkelubung satu badan), tapi kalau lah betul dan jujur pengakuannya tu, saya fikir keadilan harus ditegakkan untuk dia dan juga kepada yang benar2 bersalah.

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. Al-Maidah: 8)

Feb 3, 2009

Erdogan yang 'kurang ajar'

Salut kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang betul-betul BERANI menunjukkan bantahannya terhadap apa yang Israel haram lakukan terhadap rakyat Palestin dalam serangan 22 hari terhadap Ghazza. Gambar2 yang dipaparkan dalam akhbar bagaimana detik2 Erdogan meninggalkan Forum Ekonomi di Davos menarik minat saya, begitu salah satu caranya mengajar pemimpin biadap Israel dan juga pemimpin dunia lain tentang apa yang dideritai oleh rakyat Palestin selama ini.


Mungkin inilah sebabnya Israel haram ini terus menerus melakukan kezaliman dan kekejaman terhadap rakyat Palestin selama ini, kerana apabila pemimpinnya bercakap, hadirin bertepuk tangan seolah menyokong tindakan mereka selama ini. Nah kali ini, ada pemimpin Islam, bukan Arab pula tu yang berani menyanggah mereka. Bukan sekadar berucap membantah di negara sendiri, tapi membantah secara depan2, tak cukup dengan tu meninggalkan majlis secara depan2 di hadapan ribuan pembesar2 dan pemimpin2 dunia.

Secara kebiasaannya, tiada istilah lain yang boleh menterjemah perbuatan ini selain 'KURANG AJAR'. Tapi ya, saya fikir dengan bangsa Israel ni, 'kurang ajar' itu perlu kerana mereka ni sememangnya bangsa yang tidak faham bahasa perdamaian dan tidak faham bahasa yang sopan-sopan. Sebab itu saya minat betul dengan puisi Allahyarham Tongkat Warrant (Usman Awang)...walaupun saya masih belum berjaya menghayati sepenuhnya puisi ini ;-)

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

~ Usman Awang


Tabik dan salut untuk kamu Erdogan!! Moga Allah memberi kekuatan kepadamu..