Aug 31, 2009

ujian sakit ramadhan ini...

Lama tidak menulis apa-apa, semuanya kerana terlantar kesakitan, demam panas, batuk, selsema yang agak berat selama lebih 3 minggu. Alhamdulillah sebaik 1 Ramadhan lalu, keadaan saya beransur baik. Jadi sedikit perkongsian dan perkhabaran buat sahabat2 yg bertanya dan pasti tidak bertemu saya berminggu-minggu.

Dan sebaik masuk hari kedua demam panas saya, Ilhan pula kena demam campak. Teruk sungguh keadaan bagi seorang bayi yang belum cukup 6 bulan apabila diserang demam campak. Penuh muka, leher dan badannya dengan bintik-bintik merah yg besar. Malamnya hanya menangis, tidak tidur dan tidak juga menyusu. Mukanya pula masam mencuka, langsung tiada senyum riang seperti biasa, kesakitan pastinya!

Lembik dan tidak bermaya Ilhan

Beberapa hari selepas itu pula, kakak Insyirah pula dijangkiti demam yg sama. Keadaannya tidak begitu teruk dibandingkan dengan si adik. Mungkin antibodi bagi seorang budak berusia 2 tahun sedikit kuat berbanding adiknya. Bintik-bintik merahnya tidak begitu besar dan banyak berbanding Ilhan, tetapi dilihatnya tetap tidak selesa walaupun agak ceria berbanding Ilhan.

Insyirah taknak pakai baju..kegatalan satu badan

Dalam keadaan saya yg demam, batuk dan selsema, anak-anak yg sakit dijaga oleh ummi dan adik2nya (berminggu saya menumpang di rumah mertua atas permintaan ummi bagi memudahkan urusan beliau menjaga saya dan anak2 yg kesakitan). Dan demam campak mereka semakin reda dan mula kering selepas lebih seminggu. Bagi saya pula, setelah beberapa kali berulang ke klinik, memakan pelbagai jenis ubat, membuat x-ray dan juga ke hospital, alhamdulillah tiada apa-apa yg serius (termasuk tidak positif H1N1!) dikesan. Mungkin sekadar sedikit ujian kesakitan setelah sekian lama tidak sakit sebegini berat.

Ilhan mula ceria bila sakit sudah reda

Ya setiap kali menjelang Ramadhan ataupun di dalam bulan Ramadhan itu sendiri, saya akan diuji dengan sedikit ujian kesakitan. 2 tahun lalu ketika nak menyambut kelahiran Insyirah kira-kira seminggu sebelum Ramadhan, saya diserang sakit perut yg teruk. 2 tahun sebelum itu juga (ketika masih bujang) semasa berpuasa di bulan Ramadhan, juga diserang sakit gastrik yg teruk. Semuanya saya percaya sebagai satu ujian utk menguji tahap keimanan kita.

Selepas 3 hari kesihatan saya beransur baik dan keadaan Insyirah dan Ilhan juga semakin baik, ummi pula dijangkiti demam campak. Begitu cinta dan sayang sekali anak2 kepada umminya, ummi yg pernah kena demam campak semasa kecil pun masih boleh dijangkiti oleh demam anak2. Pohon kepada Allah agar saya tidak dijangkiti pula!

Itulah ujian sebenar Ramadhan kali ini, menjaga Insyirah dan Ilhan sementara menunggu ummi benar-benar pulih daripada demam yg dijangkiti daripada anak2. Kata seorang ustaz dalam tazkirahnya tempoh hari, orang yang sedang sakit itu sebenarnya di dalam rahmat Allah. Moga-moga sakit kami sekeluarga ini melimpahkan kami dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Di samping memberi peluang memuhasabah kembali kehidupan ini.

Semoga semua cepat sihat agar Ramadhan kali ini boleh dimanfaat sepenuhnya dengan amal ibadah..Insya-Allah. Maaf juga tak dapat jemput berbuka puasa di rumah dan majlis iftar juga tak dapat dihadiri ummi dan anak2, taknak menyebarkan virus demam campak kepada orang lain. Terima kasih buat yg mendoa dan membantu urusan semasa kami sekeluarga sakit..

Insyirah rajin bertilawah sempena Ramadhan ini

Aug 9, 2009

pemikiran politik dari timbangtara

Saya ada membaca kisah ini sebelum ini dalam sebuah buku berkaitan sistem politik dalam negara Islam tulisan Muhamed S El-Awa. Namun ia disegarkan lagi oleh Cikgu Radzi dalam penyampaiannya semasa tamrin semalam yg terus mengaitkannya dengan satu pemikiran politik yg perlu diambil kira oleh sekalian sa'asatul ibaad (yg sedang saya nikmati penulisannya)

Ia berkaitan kisah timbangtara (arbitration) di antara Khalifah ke-4, Saidina Ali dengan Muawiyah bin Abu Sufyan ketikamana pasukan Saidina Ali di ambang kemenangan di dalam Peperangan Siffin sebelum tentera Muawiyah menjunjung Al-Quran di hujung tombak sebagai tanda menghulur perdamaian.

Dalam proses timbangtara itu, Saidina Ali mewakilkan sahabat Nabi, Abu Musa Al-Asyaari manakala Muawiyah mewakilkan Amru bin Al-As. Hasil perbincangan yg dilakukan antara dua wakil pihak yg bertelagah ini, satu keputusan telah dicapai bersama, iaitu untuk 'melucutkan' jawatan kedua-dua Saidina Ali (yg ketika itu adalah Khalifah yg sah dibai'ah) dan Muawiyah (yg ketika itu adalah de facto Gabenor Damsyik yg dilantik oleh Saidina Uthman bin Affan)

Apabila tiba saat untuk mengumumkan keputusan tersebut, Amru bin Al-As menawarkan kepada Abu Musa untuk membuat pengumuman terlebih dahulu atas alasan Abu Musa mempunyai tahap keimanan dan pengorbanan yg lebih tinggi berbanding beliau. Lantas Abu Musa bangkit dan mengumumkan bahawa beliau dan Amru telah setuju melucutkan jawatan Ali dan Muawiyah dan memberikan jawatan khalifah kepada Abdullah bin Umar Al-Khattab kerana beliau tidak terlibat dalam peperangan tersebut.

Selepas itu Amru bin Al-As bangun dan menyatakan bahawa Abu Musa telah melucutkan Saidina Ali sedangkan aku telah memastikan kedudukan Muawiyah. Sebaik pengumuman ini dibuat oleh Amru, Abu Musa terus mempertikaikan Amru kerana didakwanya telah mengkhianati dan melakukan 'penipuan'. Maka berlakulah ketegangan di situ dalam banyak riwayat.

Namun apa yg ingin dikaji daripada peristiwa ini adalah apakah punca sebenar pertikaian di antara Saidina Ali dengan Muawiyah sehingga akhirnya berlaku timbangtara ini. Juga apakah sebenarnya locus standi kedua-dua pihak ini dan bagaimanakah personaliti Abu Musa dan juga mungkin Amru bin Al-As di dalam proses ini.

Riwayat yg banyak menyatakan pertikaian antara Ali dan Muawiyah adalah disebabkan pembunuhan Saidina Uthman yg mana Muawiyah (dan juga sahabat2 lain termasuk Ummul Mukminin Aisyah RA) menuntut agar si pembunuh Saidina Uthman dikenalpasti dan dikenakan hukum Qisas. Muawiyah yg ketika itu adalah Gabenor di Damsyik menuntut supaya urusan menghukum pembunuh Saidina Uthman diselesaikan terlebih dahulu sebelum urusan melantik dan memberi bai'ah kepada Khalifah dilakukan, oleh itu beliau enggan memberi ketaatan dan bai'ah kepada Saidina Ali yg telah dibai'ah oleh masyarakat Islam di Madinah.

Hujah Saidina Ali bahawa beliau adalah Khalifah yg sah. Tatkala Muawiyah tidak mahu menyatakan taat setianya kepada Khalifah, maka beliau telah melakukan satu kesalahan iaitu menentang Khalifah dan juga bai'ah yg diberikan oleh masyarakat Madinah kepada beliau. Maka orang ini wajib ditentang sepertimana Surah Hujurat ayat 49
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.


Justeru pertikaian sebenar yg berlaku antara kedua pihak ini adalah sama ada bai'ah kepada Saidina Ali patut diberi sebelum atau selepas tindakan dikenakan terhadap pihak yg membunuh Saidina Uthman. Dan bukannya atas sebab siapa yg lebih berhak menjadi Khalifah.

Tambahan pula sebaik sahaja Saidina Uthman dibunuh, jawatan Gabenor di Damsyik itu adalah atas hak Khalifah. Muawiyah sebelumnya dilantik oleh Saidina Umar Al-Khattab memegang jawatan itu dan terus disambung lantikannya oleh Saidina Uthman setelah Saidina Umar dibunuh. Apabila Saidina Ali diangkat menjadi Khalifah, riwayat menyatakan yg Saidina Ali belum mengesahkan jawatan Gabenor di Damsyik itu. Maka persoalan yg timbul adalah atas kapasiti apakah keputusan yg dicapai oleh Abu Musa dan Amru untuk melucutkan jawatan Ali dan Muawiyah? Keputusan melucutkan jawatan Saidina Ali sebagai Khalifah adalah logik, namun atas jawatan apakah Muawiyah itu hendak dilucut? Maka keputusan ini adalah tidak relevan jika mengambilkira kedudukan Muawiyah.

Dan yg terakhir yg menarik untuk dikaji adalah mungkin persoalan seorang sahabat Nabi, Abu Musa Al-Asyaari yg 'diperdaya' di dalam proses timbangtara ini. Persoalan ini sebenarnya adalah berlawanan dengan peribadi Abu Musa berdasarkan pengalaman2nya, kebijaksanaannya, kefahamannya terhadap Islam serta kepercayaan yg telah diberi semasa zaman Nabi SAW sendiri. Nabi telah melantik beliau sebagai Gabenor, Saidina Umar juga melantik beliau sebagai Gabenor di Basra, dan diteruskan oleh Saidina Uthman.

Dengan kefaqihan beliau dalam meriwayatkan lebih 360 hadith Nabi SAW yg meletakkannya sebaris dengan Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud dan Umu Salamah, ditambah pula beliau adalah seorang hafiz Al-Quran semasa zaman Nabi SAW lagi.

Jadi persoalan beliau terlalu naif sehingga begitu mudah 'diperdaya' oleh Amru bin Al-As dalam proses timbangtara ini sebenarnya merupakan suatu persoalan pendekatan dan pemikiran politik yg diaturkan oleh Amru bin Al-As itu sendiri.

Kisah hidung patung gereja Kristian yg dihadapi oleh Amru bin Al-As sebagai seorang Gabenor kemudiannya wajar memberi gambaran perilaku tindakan dan pemikiran politik dalam proses timbangtara ini. Dan sememangnya suatu yg menarik untuk dikaji bagi menajamkan lagi ilmu siasah syar'iyah yg diresolusikan bersama tengahari tadi. Moga Allah bimbing kita ke jalan yg benar...