Sep 22, 2009

Salam Eidulfitri

Saya dan isteri, Nadiah dan anak-anak, Insyirah dan Ilhan mengucapkan Salam Eidulfitri, minal a'idin wal faizin, kullu am waantum bikhair kepada semua sahabat-sahabat, pakcik makcik serta semua pengunjung blog ini. Pohon maaf atas salah silap selama ini. Moga madrasah Ramadhan benar2 melahirkan insan yg bertaqwa kepadaNya..Insya-Allah.



Sep 17, 2009

Cabaran beribadah Ramadhan ini

Ramadhan dah sampai ke penghujung. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi dan beberapa malam saja lagi untuk kita memanfaatkan dengan sebaiknya peluang ganjaran daripada Allah ta'ala.

Tahun ini cabaran di bulan Ramadhan ini agak berlainan. Hasrat untuk meningkatkan amal di 10 malam akhir dengan aktiviti tahunan iaitu beri'tikaf di masjid tidak berjalan dengan begitu baik. Kebiasaannya jam 12 malam saya akan keluar menuju ke masjid-masjid di sekitar Hulu Klang ini atau ke Masjid UIA, tapi tahun ni semuanya bermula lebih lewat daripada itu.

Semuanya disebabkan si anak-anak, Insyirah dan Ilhan masing-masing menjadi segar bugar menjelang lewat malam. Kuat sungguh stamina mereka bermain dan tidak mahu tidur. Akhirnya saya sendiri tertidur ketika menidurkan Insyirah dan terjaga beberapa ketika selepas itu. Macam kisah dalam filem Pendekar Bujang Lapok pula bilamana Sudin, Aziz dan Ramlee masing-masing berusaha untuk bangun dari bilik tidur untuk bertemujanji dengan anak Pendekar Mustar. Begitulah saya berusaha bangun dan keluar rumah tapi dihalang oleh rengekan Insyirah yg meminta baring di sebelahnya sehingga dia tertidur.

Tak mengapa asalkan kita dapat bangun dan menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan ini. Malam 27 Ramadhan yg kalau mengikut ada sesetengah hadis sahih telah disebut secara jelas dan spesifik oleh Rasulullah SAW adalah malam Al-Qadr telahpun berlalu. Namun pandangan2 yg menyatakan bahawa tiada sesiapa pun yg mengetahui bilakah malam yg dijanjikan ganjaran 1000 bulan amal itu perlu juga dipegang. Maka baki-baki malam Ramadhan ini sebaiknya tidak disiakan.

Insya-Allah tahun depan jika diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan lagi, bolehlah usaha beri'tikaf ini ditingkatkan. Ilhan pun insya-Allah dah besar dan tak menangis-nangis lagi macam sekarang bila nak tidur. Insyirah pun insya-Allah dah besar dan tak terlalu susah nak ditidurkan.

Jadi bolehlah kami sekeluarga beri'tikaf di mana-mana masjid tahun depan, insya-Allah. Sebagai percubaan, esok malam akhir Ramadhan kami nak beri'tikaf di Masjid UIA (masjid yg mesra kanak-kanak dan juga baby) dan paginya terus bertolak balik ke kampung....semoga madrasah Ramadhan ini bukan saja mendidik kita tetapi juga perkenalan untuk anak-anak mengenali dan mendekati surau, masjid, puasa, solat. Ramadhan Kareem..

Sep 10, 2009

kebijaksanaan menghormati perbezaan agama

Semalam beberapa orang yg terlibat dalam satu demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri Selangor kerana membantah pemindahan kuil di Shah Alam yg begitu hangat diperkatakan beberapa minggu kebelakangan ini telah didakwa di mahkamah. Demonstrasi itu menjadi kecoh dan popular kerana ada kepala lembu yg diarak ke hadapan bangunan tersebut.

Antara dakwaan di mahkamah semalam adalah berkaitan unsur hasutan keagamaan dan juga berhimpun secara haram. Sesiapa yg melihat video rakaman suasana demonstrasi itu pasti tertumpu kepada kepala lembu yg dibawa peserta demonstrasi itu.

Tindakan beberapa orang peserta demo itu yg seolah-olah begitu marah dan seperti melepaskan kemarahannya dengan memijak-mijak kepala lembu tersebut adalah satu tindakan yg sangat melampau pada pandangan saya.

Jika kita lihat sebagai seorang Islam, apakah tindakan memijak-mijak kepala lembu, walaupun ia hanyalah kepala lembu yg sudah bercerai daripada badan lembu dan tidak bernyawa pula adalah satu tindakan yg baik? Atau adakah ia satu tindakan yg berakhlak? Bukankah kepala lembu yg merupakan anggota tubuh seekor lembu itu juga adalah makhluk ciptaan Allah? Yg mencipta kita sekalian makhluk termasuklah si pemijak kepala lembu itu?

Begitu banyak manfaat lembu untuk manusia yg Allah kurniakan, tetapi di sini ia dipijak-pijak walau atas alasan apa sekalipun.

Dari pandangan penganut Hindu pula, tindakan ini pasti mengundang kemarahan mereka. Bukan saja kepala lembu itu diarak sebegitu, dipijak-pijak sedemikian sudah pasti cukup menaikkan darah mereka.

Di sinilah tidak bijaknya para peserta demo tersebut. Sekalipun sudah dinyatakan motif dan simbolik di sebalik kepala lembu dan tindakan yg dibuat ke atas objek itu bukanlah bertujuan menghina penganut Hindu, namun tindakan yg tidak disertai dengan memikirkan kesan-kesan akibat tindakan itu tetap dilihat oleh penganut Hindu sebagai sesuatu yg menghina agama mereka.

Bukan saja penganut Hindu saja terasa agama mereka dihina, saya sebagai seorang Islam juga berasa agama saya dihina. Memang tindakan melampau mereka itu amat memalukan saya sebagai seorang muslim, tetapi ada satu lagi perkara yg jelas menghina Islam. Itulah kain rentang "TAKE BEER, TAKE BEER, TAKE BEER". Kain rentang ini adalah satu bukti jelas peserta demo tersebut bermotif politik kepartian, untuk mengenakan PAS dalam isu ini.

PAS yg menggunakan slogan ALLAHU AKBAR yg membawa makna membesarkan Allah sentiasa menyeru lafaz TAKBIR ini dilaungkan. Bahkan bagi setiap muslim juga berTAKBIR dalam solat 5 kali sehari semalam, dan tidak kurang juga berzikir bertakbir 33 kali selepas solat. Maka tindakan menyamakan atau menggantikan TAKBIR sebagai TAKE BEER adalah suatu yg bukan saja cuba menghina PAS, tetapi lebih teruk lagi adalah menghina Islam...sungguh saya terkesan melihat kain rentang tersebut!!

Yg pasti, 'tokoh2 agama' dan para mufti tidak menyanggah tindakan2 tidak beradab ini, sama ada memijak kepala lembu mahupun melaungkan slogan Take Beer itu..satu lagi bukti ia adalah bermotif politik kepartian.

Adapun saya tidaklah menyokong pendakwaan atas nama berhimpun dalam satu perhimpunan haram itu dilakukan terhadap mereka. Bukankah hak untuk berhimpun, berucap dan sebagainya terjamin di sisi Perlembagaan Malaysia dan juga satu hak asasi bagi setiap manusia.

Asalkan himpunan itu berjalan secara aman, ia seharusnya dibenarkan. Dan dalam himpunan tersebut, polis juga seolah-olah 'faham' akan peruntukan perlembagaan apabila tiada sebarang sekatan jalan, mahupun gas pemedih mata apatah lagi semburan water cannon dihalakan kepada mereka sepertimana yg selalu pihak pembangkang nikmati selama ini. Adakah ini boleh dijadikan juga bukti bahawa demo itu sememangnya bermotif politik kepartian?

Akhirnya teringat saya kepada filem The Kingdom of Heaven, selepas kota Baitul Maqdis berjaya ditawan oleh Sultan Solahuddin Al-Ayyubi, satu scene yg dipaparkan adalah bagaimana Sultan Solahuddin sendiri ketika melangkah masuk ke kota itu mengangkat kembali satu tanda salib yg terjatuh ke atas lantai.

Tidaklah digambarkan beliau menendang atau memijak tanda keagamaan agama Kristian itu, bahkan menghormati kepercayaan keagamaan agama lain pula. Justeru, kita yg terdidik dengan akhlak dan keperibadian Muslim seharus dan sewajarnya sentiasa menghormati dan bersikap toleransi dengan agama lain, tambahan pula kita berada di bulan Ramadhan al-Mubarak yg sangat mulia ini.

Semoga Allah terus memberi hidayah dan pedoman kepada kita. Selamat memburu Lailatul Qadr....

Sep 7, 2009

nuzul Quran

17 Ramadhan hari dinuzulkan (diturunkan) Al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia mengikut pandangan ulama. Dan seterusnya selama 23 tahun Al-Quran disampaikan kepada Rasulullah SAW sebagai satu mukjizat kenabian Rasulullah SAW.

Justeru Ramadhan adalah satu bulan yg mulia kerana dinuzulkan Al-Quran padanya. Yang Allah tidak kurniakan kepada umat terdahulu. Itu tandanya Allah kasihkan umat Nabi Muhammad SAW. Sebab itu juga banyak amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan ini hanya disunatkan dan tak diwajibkan, tarawih, sahur, qiamullail dan lain-lain sebagai tanda Allah nak uji keikhlasan kita beramal ibadah. Kerana dengan memperbanyakkan amalan sunat akan mendekatkan diri kita dengan Allah, menurut satu hadis qudsi.

Disebabkan Al-Quran ini satu mukjizat, maka berapa banyak kali kita baca, diulang lagi bacaan, didengar bacaannya juga tidak pernah kita merasa bosan dan jemu bahkan ia suatu yg menggembira dan menyeronokkan. Boleh ke kita baca dan ulang baca mana-mana buku sepertimana kita mengulang bacaan Al-Quran berulang kali?

Seperti yg kita maklum, orang Arab jahiliyyah sebelum diutuskan Nabi begitu hebat bersyair. Dikisahkan kehebatan mereka bersyair memuji-muji perkara2 seperti memuji arak, memuji wanita dan lain-lain boleh bermula dari awal pagi sehingga tengahari tanpa sebarang teks. Kerana Allah berfirman penyair-penyair ini dibisikkan ke telinga mereka oleh syaitan.

Jadi apabila Nabi SAW yg dalam selawat ke atas baginda ada kita nisbahkan dengan "nabiyyil ummiy", iaitu bersifat ummi yg tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis, adalah suatu kebanggan pada baginda pada ketika itu. Orang yg tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis tetapi menyampaikan ayat-ayat Allah yg begitu indah. Sehingga baginda SAW dituduh sebagai seorang ahli sihir. Walhal penyair2 arab jahiliyah tahu apa yg disampaikan Nabi itu bukan suatu syair.
وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ
Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Qur'an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan,
(Yaasiin:69)
Maka di dalam bulan Ramadhan ini lah sebaiknya kita mentelaah isi kandungan Al-Quran, mahupun mendengar pengajaran-pengajaran daripada Al-Quran, majlis tazkirah dan kuliah di bulan Ramadhan ni kan banyak? Takkan tak ada masa, bukannya nak sarapan, lunch, mahupun minum petang di bulan Ramadhan? Peringatan syurga neraka itu juga suatu yg perlu dan sepatutnya suatu yg menyegarkan kita.

Dikisahkan dalam Peristiwa Israk Mikraj (kalau tak silap saya), Rasulullah SAW melihat seorang lelaki apabila di memaling kepalanya ke kanan, dia tersenyum riang. Dan selepas itu dia memaling kepalanya ke kiri dan kelihatan amat takut dan sedih sekali. Terus Rasulullah bertanya kepada Jibril a.s siapakah lelaki itu. Jibril menjawab itulah Abu Basyar, iaitu bapa manusia, Adam a.s.

Dan Jibril menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian. Kerana di kanannya beliau melihat anak cucu cicitnya berada di dalam syurga. Dan di kirinya pula melihat anak cucu cicitnya di dalam syurga. Kemudian Allah memerintahkan beliau membahagi anak cucu cicitnya kepada dua, iaitu yg akan ke syurga dan yg akan ke neraka. Ditanya Adam kepada Allah ta'ala, berapa banyakkah ke syurga dan berapa banyak ke neraka?

Maka Allah menjawab, bahagikan SATU ke SYURGA, dan 999 ke NERAKA. Ke manakah kita kelak? Maka Ramadhan inilah kesempatan terbaik untuk kita terus-menerus berdoa kepada Allah kerana sepanjang Ramadhan ini, pintu langit terbuka luas untuk kita panjatkan doa munajat kita kepada Allah.

Walaupun rezeki, ajal dan kesudahan kita syurga atau neraka itu telah ditetapkan oleh Allah sejak ruh kita ditiupkan lagi, namun dengan keimanan, amalan dan doa yg kita pohon kepada Allah, moga-moga kita akan beroleh kesudahan yg baik kelak.

Oleh itu marilah kita manfaatkan Ramadhan kita yg masih berbaki ini dengan sebaiknya. Nuzul Quran ini juga punyai banyak pengiktibaran yg patut kita teladani daripada Al-Quran. Dan demi sesungguhnya, bukan sekadar mudah2an, kita akan beroleh taqwa sepertiman yg Allah janjikan di dalam ayat puasa Ramadhan yg famous sekali, Al-Baqarah ayat 183.

Wallahu ta'ala a'lam...