Nov 23, 2010

Seperti Haji bersama Nabi


Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, bulan pengorbanan. Banyak ibrah perjuangan yang wajar dan wajib diteladani. Melalui dan melepasi musim menunaikan haji pada tahun ini adalah suatu pengalaman yang baru bagi saya, bukan kerana berpeluang menunaikan haji, tetapi kesempatan mengerjakan umrah (buat kali pertama) pada Ramadhan lalu membuka perspektif baru terhadap ibadah haji dan umrah.

Selawat dan salam kita ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan Nabi Ibrahim AS Khalilullah serta keluarga baginda. Sesungguhnya musim haji tidak akan lari dari membicarakan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Yang daripada keturunan baginda lahir Nabi Muhammad SAW Rasul akhir zaman.

Kelebihan dan keutamaan baginda Nabi Ibrahim AS dicoretkan di dalam Al-Quran
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لله وَهُوَ مُحْسِنٌ واتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً
Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.(An-Nisa':125)

Perjuangan baginda dalam menegakkan agama Allah sangat menggetirkan sehingga Nabi Ibrahim AS dimasukkan dalam Nabi Ulul 'Azmi yang lima. Dan ketika hukuman dibakar hidup-hidup di dalam api yang besar yang sangat terkenal itu hendak dijalankan, datang Jibril AS menawarkan bantuan untuk menyelamatkan baginda, dengan tenang menjawab:
حَسْبُنَا اللّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."
Ujian demi ujian dihadapi baginda dengan keimanan yang tinggi, daripada baru saja dikurniakan zuriat pertama dan terus diperintahkan meninggalkan Hajar dan Ismail yang masih bayi di Mekah yang digambarkan dalam Al-Quran sebagai tanah yang kering kontang, sehinggalah diperintahkan Allah untuk 'menyembelih' anaknya sendiri. Namun baginda tetap menghadapinya dengan iman yang tinggi, bahkan dengan tenang menceritakan mimpinya yang wahyu itu kepada anaknya Ismail dengan tujuan juga untuk menguji tahap keimanan anaknya itu:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu
akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". (Ash-Shaffaat:102)
Dan sehinggalah mereka anak-beranak membangunkan binaan Kaabah yang kini menjadi kiblat bagi umat Islam yang di mana dari tanah suci Mekah itu dilahirkan dan diutuskan Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Yang seperti Nabi Ibrahim AS yang berdakwah dengan hebat terhadap ayahnya, Nabi Muhammad SAW juga menghadapi tentangan hebat dalam dakwah baginda.


Alhamdulillah 'dijemput' menjadi tetamu Allah pada Ramadhan lalu adalah satu pengalaman baru dan tidak ternilai harganya. Teman yang belajar di sana apabila balik Malaysia bercuti menggambarkan umrah di musim Ramadhan adalah satu 'kerja cari pasal'. Namun kini saya percaya bahawa walau untuk mengerjakan umrah sekalipun, belum ibadah haji lagi, ia adalah pilihan dan ketentuan Allah. Ada orang yang berkemampuan sangat dari segi kewangan, tapi masih belum diberi kesempatan hatta untuk mengerjakan umrah.

Bila kita mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan meneliti sirah dan sejarah terdahulu, pasti ibadah itu lebih bermakna. Perjalanan beribu-ribu kilometer dari bumi Jordan menuju Madinah seterusnya ke Mekah menggambarkan kepayahan Nabi dan umat terdahulu untuk mengerjakan ibadah ini. Kelelahan akibat perjalanan yang sangat 'panjang dan menyeksakan' ini tetap terasa walaupun hanya duduk di dalam bas yang sedikit berhawa dingin. Apalagi jika berjalan kaki mahupun menunggang unta!!


Tiada yang lebih mengasyikkan saya sepanjang berada di Al-Haramain ini adalah bagaimana 'antusias'nya manusia Muslim Mukmin ini untuk mengarap redha dan ganjaran Allah. Tidak pernah terbayang sebuah masjid (Masjidil Haram) yang sebesar dan seluas itu tidak mempunyai ruang seinci pun untuk menunaikan solat, hatta solat sunat 2 rakaat!! Lebih 'pelik' lagi melihat mereka 'bertengkar' untuk mendapatkan ruang solat bersama imam. Dipotretkan pada malam-malam ganjil akhir Ramadhan, khusus malam ke-27 Ramadhan, lebih 3 juta manusia berhimpun dan memenuhi setiap inci ruang di masjid besar itu sepanjang malam. Padanlah menjelang berbuka puasa malam itu, kelihatan beberapa buah helikopter berlegar di udara, khusus untuk merakamkan suasana hebat itu.

Makanya dengan pengalaman yang sedikit ini, semakin mengertilah saya dengan sabda Nabi SAW tentang keutamaan mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan sebagai, "seperti mengerjakan ibadah haji BERSAMA AKU". Dengan segala jenis kepayahan dan kesesakan manusia, ia seakan hampir dengan ibadah haji, yang kurang cuma manasik-manasik haji yang khusus; wukuf, melontar dan sebagainya.
لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاء اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُؤُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidilharam, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.(Al-Fath:27)
Pastinya anak-anak, Insyirah dan Ilhan adalah sangat beruntung, walaupun mungkin tidak mengerti makna jaulah ini, namun pengalaman melihat ramainya manusia, bersesak-sesak, dihimpit-himpit, berpanas-panasan, tidur dan tersepit di celah ramainya manusia di masjid, bertawaf dengan abi dan umi dan banyak lagi pengalaman lain, pasti suatu yang istimewa buat dua anak kecil ini.

Semoga pengalaman ini bermanfaat dan diterima, juga mohon Allah menjemput kami menjadi tetamu-Nya untuk mengerjakan haji dalam masa yang paling dekat. Sesungguhnya kerinduan untuk kembali ke sana sentiasa memuncak, semoga Allah mengabulkan doa-doa kami..amiin


p/s: Mabruk buat 'Haji Haji' Shahrul dan 'Hajah Hajah' Marwah, moga kalian dirahmati Allah selalu, terkhusus juga buat Hanin yang ditinggalkan :)

Nov 19, 2010

Takrifan Bughah dalam 25 Tahun Tragedi Memali

Para ulama secara sepakat mengatakan bahawa Bughah merupakan satu kumpulan yang menentang pemerintahan (Islam) dalam perkara yang bukan melibatkan maksiat.

Ulama Hanafi mendefinasikan Bughah ialah sekumpulan kaum yang mempunyai kekuatan senjata dan keupayaan menentang dan berlawan. Mereka menyalahi umat Islam dalam sebahagian hukum dengan berdasarkan takwil atau kefahaman mereka sendiri. Mereka ini tinggal di kawasan-kawasan tertentu dan merupakan kumpulan ala tentera serta menjalankan undang-undang mereka sendiri seperti puak Khawarij dan lain-lain puak.

Ulama Maliki mentakrifkan Bughah satu kumpulan yang berperang berdasarkan takwil atau kefahaman mereka sendiri seperti yang dilakukan oleh puak Khawarij di mana mereka keluar dari kuasa Imam dan enggan mematuhi Imam atau mereka enggan menunaikan kewajipan yang diarahkan oleh Imam seperti kewajipan membayar zakat atau seumpamanya.

Ulama Hanbali mentakrifkan Bughah sekumpulan manusia yang enggan patuh dan taat kepada Al-Imam sekalipun Imam tadi tidak adil dengan berdasarkan takwil dan kefahaman mereka sendiri dan kumpulan ini mempunyai kekuatan senjata sekalipun mereka tidak mempunyai pengikut. Hukum keluar dari mentaati Imam adalah haram sekalipun Imam itu tidak adil.

Ulama Syafie mentakrifkan Bughah satu kumpulan manusia yang mengeluarkan diri mereka dari mentaati Imam atau enggan menerima semua perintah yang dikenakan ke atas mereka seperti mengeluarkan zakat dengan syarat kumpulan ini mempunyai kekuatan senjata dan tindakan mereka itu adalah berdasarkan kepada takwil dan kefahaman sendiri dan mereka mempunyai pengikut. Disebutkan lagi bahawa pengikutnya adalah ramai dan mempunyai kekuatan untuk menentang pemerintahan.

dipetik dari buku Isu Memali; Hakikat dan Realiti

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam menafsirkan ayat 9 surah Al-Hujuraat:-
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
Dengan menggunakan metod Islah dalam kaedah penafsiran ayat Al-Quran, beliau menegaskan tentang persoalan Bughah ini; yang mana dinyatakan sekiranya kerajaan itu tidak menjalankan syariat Islam, maka tidak wujudlah apa yang diistilahkan sebagai pemberontak. Mengambil contoh tindakan Saidina Ali dalam menghadapi tentangan Muawiyah dalam Peperangan Siffin dan mengaitkannya dengan peristiwa Memali sebagai perbandingan bagaimanakah tindakan sewajarnya 'jika sekiranya Memali dikatakan Bughah sekalipun"!!

Al-Fatihah untuk Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan syuhada' Memali...kamu inspirasi perjuangan kami. Tragedi 25 tahun lalu pasti subur dan segar lagi menyegarkan jiwa-jiwa pencinta syahid...
وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاء عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezki. (Ali Imran:169)