Dec 22, 2010

Takut itu Ibarat Fatamorgana

إِنَّمَا ذَلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءهُ فَلاَ تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman.(Ali Imran:175)
Ketakutan itu ibarat fatamorgana, suatu yang dari jauh kita lihat seperti suatu yang benar, tetapi hanyalah ilusi semata-mata. Ia tidak wujud sama sekali, sekadar satu bayang-bayangan yang membataskan kita. Pun begitu siapa yang tidak punyai rasa takut? Seseorang yang melepasi tembok ketakutan dalam dirinya, maka saya yakin dia akan menjangkau ke satu tahap manusia yang lain daripada yang sebelumnya.


Berlebih lagi jika yang ditakutkan itu adalah terhadap terjejasnya atau berlakunya sesuatu terhadap keselamatan diri atau keluarga dan juga atas pendapatan dan sumber rezekinya. Senang cerita takut periuk nasinya terjejas, walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan (eh termelalut pula!!)

Namun sifatnya manusia itu khususnya seorang da'i yang pasti menempuh pelbagai ujian dan cabaran, sifat takut ini pasti membelenggu diri.

Al-Ustaz Fathi Yakan memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi:-
"Orang yang paling banyak mengalami ujian (bala') ialah para Anbiya', kemudian yang lebih mulia, kemudian yang lebih mulia. Seseorang diuji mengikut agamanya. Jika dia kuat berpegang dengan agamanya maka ujiannya adalah hebat (kuat). Jika agamanya lembut maka ujian adalah mengikut kadar agamanya itu. Ujian akan terus menimpa seseorang sehinggalah dia membiarkannya berjalan bebas di atas muka bumi"
Kerana menurut ilmu Usul Fiqh, setiap manusia yang bernyawa itu adalah mukallaf dan mempunyai taklifan tertentu. Walaupun taklifan atau bebanan itu disyaratkan suatu yang mesti boleh dipikul oleh seseorang itu, namun tidaklah semua yang membebankan itu tidak diwajibkan atas manusia. Kerana Allah ta'ala tidak membebankan seseorang melainkan dengan upayanya:
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Al-Baqarah:286)
مَا يُرِيدُ اللّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Allah tidak hendak menyulitkan kamu (Al-Maidah:6)
Dan sampai satu tahap untuk kita mengendurkan diri daripada ikatan harakah dan dakwah, Al-Ustaz Mustafa Masyhur pernah mengingatkan kita bahawa; "jamaah boleh berjalan dengan pertolongan Allah, sama ada dengan penyertaan kita atau penyertaan orang lain. Dalam hal ini kita bukan sayang kepada saff jamaah, tetapi sayang kepada diri kita sendiri dan kepada orang yang kita kasihi agar jangan terputus daripada mendapat berkat dan kebaikan jamaah"

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Al-Maidah:54)
Dan akhirnya, penerangan dan perbahasan tentang sabda Nabi SAW oleh Ustaz Imran Al-Malizi inilah yang pasti menjadi ingatan semua!! (yang tak hadir, minta maaflah kena dapat 'ijazah' daripada ustaz dulu :)

(( تعس عبد الزوجة ))
"Binasalah orang yang menjadi hamba kepada isterinya"(Bukhari)
Wallahua'lam bisowab...moga ada manfaatnya perkongsian ini...

Dec 20, 2010

Kemuliaan Masjid dan Kesempatan bersama Tuan Syeikh Nuruddin

Dan daripada 7 golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya ialah golongan yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim sebagai seorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.

Begitu besarnya martabat hamba-hamba Allah yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid, pasti solat lima waktunya sentiasa terjaga untuk dikerjakan di masjid, ditambah lagi dengan urusan-urusan pengajian, kuliah dan sebagainya yang berlangsung di masjid.

Apalagi jika Masjid itu adalah Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau Masjidil Aqsa. Ganjaran yang beratus ribu mahupun beribu kelebihan hanya dengan mengerjakan solat di dalamnya.

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Bertasbih kepada Allah di mesjid-mesjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang (An-Nuur:36)

Kisah seorang sahabiah Rasulullah SAW bernama Ummu Mihjan. Ingin saja saya kongsikan kisah wanita tua berkulit hitam ini yang tugasnya hanyalah sebagai seorang yang menjaga kebersihan masjid di zaman Rasulullah SAW.


Dan ditakdirkan beliau meninggal dunia pada suatu malam dan jenazahnya diuruskan dalam tempoh malam tersebut juga sehingga selesai dikebumikan. Dan pada keesokan harinya, Rasulullah bertanya sahabat ke manakah perginya Ummu Mihjan. Lantas dimaklumkan bahawa wanita itu telah kembali ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan.

Sebaik mendengar khabar ini, Rasulullah SAW terus memanggil para sahabat ke kubur Ummu Mihjan dan baginda sendiri mengimami solat di atas kubur Ummu Mihjan ini. Begitulah besarnya sumbangan dan kerja 'kecil' yang dilakukan oleh Ummu Mihjan ini sehingga Rasulullah mengarahkan sekalian para sahabat untuk menunaikan solat ke atasnya.

Soal pengurusan masjid pasti sentiasa menarik perhatian saya kerana ia sentiasa menjadi perbahasan hangat tentang isu mempolitikkan masjid, larangan-larangan terhadap perkara tertentu di dalam masjid, isu non-muslim masuk ke dalam masjid, fungsi dan peranan masjid dalam struktur sosial masyarakat, sehingga kepada aspek yang berkenaan dengan peranan dan keperibadian pegawai-pegawai masjid. Kerana harus diingat, masjid ini rumah Allah, dan bukan hakmilikan mana-mana individu atau institusi.

Justeru terlihat tulisan arab di belakang uniform petugas-petugas kebersihan dan petugas air zam-zam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, pantas saya teringat dan berdiskusi dengan Shahrul tentang ayat ini:-

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَ يَسْتَوُونَ عِندَ اللّهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Apakah (orang-orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.(At-Taubah :19)

Dua hari ini kembali berkesempatan mendengar pengajian daripada Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu di Masjid Kota Damansara, ya pengajian seputar permasalahan menghormati masjid dan kisah Ummu Mihjan yang dikongsikan ini. Bahkan di kuliah Dhuha tadi, lebih 30 minit disentuh beliau tentang permasalahan penggunaan telefon bimbit semasa berada di dalam masjid.

Lebih lima tahun selepas kali terakhir bertemu dengan beliau dalam satu program pengajian khas ketika cuti pertengahan semester di UTM (kebetulan di kemuncak kesibukan semester akhir saya sebagai seorang siswa), kali ini mendengar pengajiannya yang sememangnya sentiasa menyegarkan dan berupaya meningkatkan semangat untuk 'kembali' dalam suasana iman yang terbaik.


Walaupun di kesibukan sebagai siswa semester akhir lalu, saya tetap cekal dengan teman-teman kolokium mengendalikan program pengajian khas itu (walau tahu masa-masa berbaki itu sepatutnya ditumpukan kepada projek akhir dan subjek-subjek lain yang sangat mencengkam), namun mantra oleh seorang sahabat, "ambil berkat ulama" itu saya sematkan dan hasilnya tidaklah mengecewakan buat pengajian saya, dan bonus mendapat perkenalan selama seminggu itulah yang mengenalkan saya dengan Tuan Syeikh.

Moga ada kesempatan lain pula, tidak di sini, di Derang atau di Bogor, insya-Allah!!

Jika pertama kali bertandang ke Masjid Kota Damansara itu semasa majlis perasmian masjid oleh Al-Sultan Selangor, yang dapat hanya menghadiri majlis dan dijamu dengan jamuan rakyat. Tetapi kali kedua dan ketiga ke masjid ini lebih bermakna, kerana dapat ilmu yang lebih bermanfaat!!